JOM MASUK AHLI

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

DENGARKAN KOBAT FM ONLINE

Isnin, 21 Februari 2011

PAS MESTI SEGERA MENGGANTIKAN UMNO

Oleh: WFAUZDIN NS

ISLAM mengajar kita agar kasih dan cinta kepada bangsa, suku atau kaum kita sendiri kerana kejadian manusia berbagai bangsa dan kaum ini dicipta Allah untuk saling kenal mengenal dan kasih mengasihi.

Apabila Allah mengajar tentang sifat kasih mengasihi sesama manusia walaupun terdiri dari berbilang bangsa, ini bererti sesuatu bangsa atau kaum tidak boleh menzalimi atau tidak berlaku adil kepada bangsa dan kaum yang lain. Kasih keterlaluan terhadap bangsa sendiri sehinggakan tidak berlaku adil kepada kaum yang lain apatah lagi kasihnya kepada bangsa melebihi kasih dan taat kepada agama itu sesuatu yang dilarang oleh Allah dan itulah sifat Assobiyyah yang sesat.

Umno sebuah parti yang terang dan nyata sekular kerana Umno adalah parti kebangsaan yang sering menonjolkan ketuanan Melayu semata-mata sehinggakan bangsa lain merasa seperti tidak mendapat keadilan. Sekularnya Umno adalah kerana memisahkan agama dengan politik dan dasarnya yang tidak menjurus ke arah menegakkan hukum Islam bahkan komited menentang perjuangan Islam. Islam di dalam Umno umpama wanita menampalkan gincu dibibir.

Umno berjuang kununnya untuk menyelamatkan Melayu, dan perjuangan itu tidak salah di sisi Islam, namun harus diingat Melayu tidak akan selamat jika terus memperjuangkan ketuanan Melayu tanpa memperkasakan Islam. Hanya Islam yang mampu menyelamatkan semua bangsa kerana kepimpinan Islam menekankan amanah, bukan bersifat menindas antara satu sama lain. Tuan Guru Hj Hadi menyebut, “Kita kena yakin kalau Melayu nak selamat maka Melayu hendaklah tegakkan Islam. Kalau tegakkan Melayu, Melayu tak akan selamat kerana Islam memang dipelihara oleh Allah SWT,” (Harakahdaily).

Sejarah lampau boleh dijadikan bukti bahawa selama lebih kurang 50 tahun Umno berkuasa di negara ini, di mana letaknya kehebatan orang-orang Melayu? Apakah Melayu di negara ini menguasai ekonomi? Di dalam senarai 10 terkaya di negara ini, berapa orangkah Melayu di situ? Ini bukti jelas betapa Umno gagal menyelamatkan orang-orang Melayu. Orang-orang Melayu di negara ini seperti merempat di negara sendiri. Masalah kemiskinan, pendidikan dan masalah sosial di negara ini dijuarai oleh kaum Melayu.

Usah bicara tentang Islam kerana Umno tidak menunjukkan minat untuk menegakkan hukum Islam di negara ini. Umno gagal membela Melayu dan lebih gagal lagi parti sekular ini di dalam mendaulatkan Islam. Umno kehilangan Melayu dan Islam. Ini adalah kerana Umno hanya mementingkan Melayu sehingga mengenepikan Islam.

Justeru itu, kita tiada pilihan selain dari memilih PAS yang meletakkan Islam jauh lebih tinggi darjatnya dari Melayu. Kesimpulannya, jika kita sayang kepada Melayu, kita mestilah terlebih dahulu mematuhi ajaran Islam. Melayu hanya boleh selamat dengan Islam bukan dengan Umno. /wfauzdin.blogspot.com

Ahad, 20 Februari 2011

NOH OMAR SEMAKIN MEROYAN DI SELANGOR

Oleh: WFAUZDIN NS

NOH OMAR telah dicabar untuk membuktikan kejantanannya agar membuat laporan kepada SPRM berkaitan dakwaannya tentang penyalahgunaan dana awam Kerajaan Negeri Selangor sewaktu Kongres PKR November laku. Cabaran ini dibuat oleh Naib Pengerusi II PKR Selangor, Us Dr Badrul Amin Bahron.

Noh Omar tidak perlu menyalak di depan Utusan Meloya dan TV 3 kerana stail sedemikian sudah lapok dan rakyat Selangor sudah muak hampir termuntah mendengarnya. Sebelum ini, Umno Selangor menyalak tentang lembu korban, tentang ladang ternakan babi, isu kereta Lexus, isu pemimpin DAP masuk masjid dan berbagai isu lagi tetapi kesemuanya dibuat `pengesat pungung' oleh rakyat Selangor yang sudah bijak menilai.

Menggunakan media untuk menjatuhkan Kerajaan PR Selangor untuk menipu saki baki rakyat Selangor jika ada yang masih berfikiran `ulu' itu adalah satu cara yang dayus. Selaku seorang Menteri sudah tentu mengetahui selok belok untuk melaporkan sesuatu perkara yang dirasakan menyalahi undang-undang. Tidakkah sebelum ini SPRM sendiri mahu agar sebarang kes hendaklah dilaporkan terlebih dahulu kepada pihaknya dan tidak menghebahkan maklumat kepada media? Maka, kita tahu sebab sebenar mengapa Noh Omar menceritakan kisah karutnya itu kepada media.

Us Dr Badrul Amin menjelaskan, "Tan Sri cukup jaga bab duit, saya kerja sudah separuh bulan dengan Tan Sri. Kalau bab duit, beliau cukup berkira dan sangat jaga fasal kewangan. “Saya tetap pertahankan Menteri Besar, beliau sangat telus dan beliau tidak akan buat benda salah dengan duit, even satu sen pun,” katanya.

Kelmarin Noh Omar mendakwa Kerajaan PR menyalahgunakan dana awam Kerajaan Negeri sebanyak RM80,000 untuk menampung perbelanjaan Kongres Parti Keadilan Rakyat (PKR) November lalu. Noh mendakwa, Kerajaan PR menggunakan Menteri Besar Incorporated (MBI) tersebut untuk menempah 100 bilik hotel dan perbelanjaan logistik lain.

Noh Omar jangan bertangguh lagi, sila lapor kepada SPRM kerana MB Selangor sendiri mungkin teramat rindu dengan kehadiran SPRM di pejabatnya. MB Selangor pernah mencadangkan agar SPRM membuka pejabat badan tersebut di bangunan pejabatnya. /wfauzdin.blogspot.com

RAYUAN BUAT PIMPINAN PR, GERAKKAN USAHA BANTU BLOGGER INI


Oleh: WFAUZDIN NS

BLOGGER Din Binjai @Sharpshooter kini berdepan dengan saman yang dikemukakan oleh Rais Yatim berkaitan isu `rogol amah'. Blogger ini bukan blogger asing buat pengunjung-pengunjung blog pro PR. Beliau dikatakan orang kuat PKR dan lantang mengkritik parti jika didapati terdapat kepincangan, dan beliau juga menerima kritikan dari orang lain yang mungkin tidak bersetuju dengan pendapatnya. Itu biasa sebagai seorang Blogger.

Mengkritik hebat dan dikritik hebat tidak membuatkan Blogger ini hilang akal untuk menjadi seperti beberapa Wakil Rakyat dari PKR yang menjadi `katak' demi mencari makan cara yang lebih mudah. Blogger ini tetap setia dengan parti, tetap yakin dengan perjuangan PR. Blogger ini komited untuk berjuang menghancurkan Umno sekutu Apco ini.

Kini, beliau diuji dalam perjuangannya. Ujian beliau tidaklah sehebat seperti yang dialami oleh DS Anwar, namun beliau diuji di mahkamah. Mahkamah juga menguji DS Anwar sejak dari tahun 1998 sehingga kini. Blogger ini bukan dari golongan elit dan beliau menjadi Blogger bukan kerana dibayar. Beliau bukan hidup di dunia ini sebatang kara, beliau punyai keluarga yang perlu disara. Beliau juga punyai pemimpin dari partinya, beliau juga mempunyai rakan-rakan seperjuangan.

Saya dapat merasakan apa yang beliau rasakan. Saya bukan Blogger sehebat beliau, malah tidak pernah bertemu muka sekali pun. Malah, saya juga pernah menulis mengkritik pandangannya walaupun tidak secara langsung. Namun, dihati kecil saya tetap mempercayai bahawa Blogger ini selalu ikhlas di dalam penulisannya.

Apalah kiranya jika parti dapat berbuat sesuatu untuk meringankan bebanan yang beliau hadapi waktu ini. Seandainya pemimpin parti kita miskin dan tidak mempunyai wang untuk dihulurkan kepada Blogger ini, carilah jalan lain bagaimana untuk membantu beliau. Jika perlu, di dalam setiap ceramah yang diadakan oleh parti diadakan tabung khas bagi membantunya. Sampaikah hati kita melihat Blogger ini akan menadah tangan `meminta sedekah' untuk mencari dana menghadapi tindakan puak yang selama ini kita tentang?

Samada Blogger ini bersalah atau tidak belum tentu lagi. Tidak salah kita membantunya kerana beliau dibawa ke mahkamah bukan atas kesalahan jenayah berat yang boleh memalukan parti. Jangan kita berkata `Berani Buat, Berani Tanggung' sedangkan belum pun terbukti seseorang itu bersalah. Bayangkan jika ada di antara kita akan berkata `Berani Buat Berani Tanggung' terhadap DS Anwar di dalam kesnya sekarang? Sudah tentu ianya tidak adil dan bakal mengguris hati dan perasaan DS Anwar dan keluarganya.

Saya merayu dan memohon agar pimpinan PKR, pimpinan PAS dan DAP menggerakkan usaha untuk membantu Blogger ini. Biarlah kita senang dan susah bersama. /wfauzdin.blogspot.com

PENULIS YANG AMBIL KESEMPATAN KELEMAHAN PKR UNTUK HANCURKAN PAKATAN PEMBANGKANG

Oleh: WFAUZDIN NS

SEORANG Penulis bernama Wan Nasuha Wan Hassan telah menulis di sini, yang mencemuh Timbalan Presiden PKR, YB Azmin Ali yang telah menyebut bahawa rundingan pembahagian kerusi di antara PR menjadi agak sukar kerana PAS mula mengintai kawasan yang bukan majoriti Melayu.

Sekiranya kritikan atau cemuhan penulis berkenaan hanya kerana Azmin mengeluarkan pandangan secara terbuka melalui media, itu saya faham dan saya juga tidak bersetuju dengan kaedah Azmin yang terlajak. Tetapi apabila Penulis mengaitkan kegagalan PKR mengawal beberapa Wakil Rakyatnya dari melompat parti sejurus PRU Ke 12 yang lalu, maka beliau mencadangkan agar PAS dan DAP meninggalkan PKR, maka saya merasakan ada niat jahat Penulis berkenaan secara peribadi terhadap kepimpinan PKR sekaligus beliau mahu melihat PR hancur di tangan Umno/Bn.

`Penulis batu api' seperti ini amat merbahaya kerana sentiasa mencari kelemahan pemimpin dari parti yang beliau tidak suka untuk mencapai cita-citanya. Mungkin cita-citanya sama seperti cita-cita Umno yang sentiasa memburukkan DS Anwar dan Tuan Guru Nik Aziz bertujuan untuk mendatangkan kesangsian di kalangan penyokong-penyokong kedua tokoh tersebut. Saya tidak pasti Penulis berkenaan adalah ahli dari mana-mana parti di dalam PR atau mungkin juga ejen dari pihak sebelah sana.

Penulis cuba untuk menunjukkan beliau lebih pintar dan bijak berpolitik daripada pemimpin PAS dan DAP. Hujah dangkal yang dibawanya jelas menunjukkan betapa ceteknya beliau membaca sejarah politik Pembangkang. Mungkin kerana teramat bencinya beliau kepada DS Anwar dan Azmin, maka beliau berusaha untuk mengesyorkan satu pandangan yang bodoh.

Saya tidak mahu mengulas isu yang beliau sebut bahawa Azmin hanya mendapat mandat 9 % daripada jumlah ahli-ahli PKR kerana hujah beliau itu teramat lemah sekali. Beliau terikut dengan hujah pemimpin Umno yang menyebut bahawa peratusan yang mengundi di dalam pemilihan pimpinan PKR baru-baru ini teramat rendah peratusannya jika dibandingkan dengan jumlah keahlian. Ternyata beliau akhirnya terpedaya dengan hujah Umno yang tidak tahu mathematik itu.

Cuba bandingkan, jika 9 % daripada ahli-ahli PKR yang dikatakan mengundi Azmin berapa ribukah yang mengundi? Jumlah itu jauh lebih ramai daripada yang mengundi Tun Mahathir, Pak Lah, Najib atau Muhyiddin di dalam Pemilihan Pucuk Pimpinan Umno sendiri. Ini adalah kerana kaedah yang digunapakai oleh PKR adalah satu ahli satu undi. Masakan Penulis tidak faham? Wajarkah hanya kerana beliau sakit hati Azmin memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR dan hanya kerana Azmin mengeluarkan pendapat seperti di atas maka PAS dan DAP harus tinggalkan PKR? Jangan sangka pemimpin PAS dan DAP sebodoh kamu yang mempunyai nawaitu peribadi sejahat itu.

Saya bukan mengatakan pemilihan di dalam PKR semuanya bersih kerana saya sendiri banyak menulis dan mendesak agar PKR berbuat sesuatu dengan telus terutamanya berkaitan dakwaan berlakunya salah laku sepanjang pemilihan yang lalu. Tetapi, mengambil kesempatan di atas beberapa kelemahan ini untuk menghancurkan kerjasama di dalam PR tidak boleh diterima sama sekali.

Kesimpulannya, cadangan beliau agar PAS dan DAP meninggalkan PKR adalah satu cadangan yang tiada asas, tiada sebab, tiada hujah melainkan untuk melihat PR berkubur. Itu sahaja./wfauzdin.blogspot.com

Sabtu, 19 Februari 2011

MALANG SUNGGUH DAPAT MENTERI SEJAHIL INI

Oleh: WFAUZDIN NS

TERKEJUT beruk saya bila membaca kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kepenggunaan, DS Ismail Sabri yang mencabar PR menurunkan harga barang keperluan di negeri-negeri yang diperintah oleh PR. Saya terkejut kerana tidak menyangka manusia sejahil ini pemikirannya boleh diangkat menjadi Menteri dalam kabinet Najib.

Saya merasakan mungkin saya seorang sahaja yang terkejut, tetapi nampaknya kenyataan Menteri yang tidak tahu melaksanakan tugas itu turut mendatangkan kehairanan kepada Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA). Apabila sudah ramai yang merasa hairan dan terkejut, maka sahih lah Menteri itu tidak tahu buat kerja atau sudah kehabisan modal untuk mengatasi masalah kenaikan harga barang sekarang.

`Tidak masuk akal'. Itulah yang dikatakan oleh Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Sha'ani Abdullah terhadap cabaran Menteri berkenaan. Sha'ani berkata jika benar kerajaan pusat ingin melepaskan tanggungjawab tersebut kepada Pakatan Rakyat, kerajaan pusat seharusnya menyerahkan kutipan hasil cukai kepada Pakatan Rakyat.

"Kerajaan sendiri tidak faham bagaimana mahu membantu pengguna dalam menghadapi kenaikan harga barang dan kenyataan menteri-menteri sebenarnya memperdayakan pengguna", ujar Sha'ani.

Cabaran bodoh dari Menteri berkenaan juga turut mendapat reaksi dari pemimpin muda DAP, Tey Kok Kiew. Mana mungkin PR boleh menurunkan harga barang di negeri-negeri bawah pemerintahannya kerana harga majoriti barang keperluan berada di bawah Kerajaan Pusat. Samalah juga dengan harga tol lebuhraya yang berada di bawah negeri-negeri PR, harga petrol dan gas. Cabaran sedemikian rupa hanya boleh di utarakan sekiranya PR mengambil alih Putrajaya. Justeru itu, Menteri berkenaan jangan cuba untuk memperbodohkan rakyat./wfauzdin.blogspot.com

TUAN IBRAHIM TUAN MAN BAKAL KEJUTKAN UMNO DI KERDAU?

Oleh: WFAUZDIN NS

BIJAKNYA SPR apabila mengumumkan tarikh Pilihanraya Kecil Dun Kerdau, Pahang diadakan serentak dengan Pilihanraya Kecil Dun Merlimau, Melaka. SPR menetapkan pilihan raya kecil DUN Kerdau diadakan pada 6 Mac dan penamaan calon pada 26 Februari. Keputusan itu diumumkan Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof semalam dalam sidang media di Kuching.

PRK Dun Kerdau adalah merupakan PRK yang pertama di Pahang sejurus PRU Ke 12 ekoran kematian Adunnya dari Umno Allahyarham Zaharuddin Abu Kassim yang meninggal dunia pada 12 Februari lalu akibat serangan jantung. Dalam pilihan raya umum lalu Zaharuddin menang kerusi DUN Kerdau dengan majoriti 1,615 undi, menewaskan calon PAS, Hassanudin Salim.

Siapakah calon PAS yang bakal dicalonkan kali ini? Difahamkan beberapa nama telah pun disenaraikan termasuk Pesuruhjaya PAS Pahang sendiri iaitu Us Tuan Ibrahim Tuan Man dan juga Ketua Pemuda PAS Pusat Us Nasruddin Hassan Tantawi. Memandangkan Dun Kerdau lebih separuh dari pengundinya datang dari kawasan Felda, saya merasakan calon yang paling layak untuk menambat hati para pengundi di situ adalah Us Tuan Ibrahim Tuan Man. Beliau pernah menjadi Wakil Rakyat di kawasan felda iaitu di Jengka.

Us Tuan Ibrahim Tuan Man juga mempunyai pengaruh yang besar dan dikenali ramai sebelum beliau aktif politik di dalam PAS. Pesuruhjaya PAS Pahang ini juga amat disenangi oleh masyarakat bukan Melayu walaupun jumlah pengundi di kalangan bukan Melayu tidak begitu ramai. Kawasan tersebut mempunyai pengundi yang terdiri daripada 89 peratus Melayu, 6 peratus Cina, 3.7 peratus India dan 2.5 peratus kaum-kaum lain.

PRK Dun Kerdau amat penting untuk menguji sejauh mana sokongan rakyat terutamanya orang-orang Melayu terhadap PAS dan PR di Pahang. Keputusan yang bakal diperolehi nanti bakal menjadi aras pengukur kekuatan PR di dalam menghadapi PRU Ke 13 nanti. Pahang dikatakan berpotensi untuk menambahkan jumlah kerusi PR samada di Parlimen mahupun di Dun Pahang.

Kekuatan Umno/Bn sebenarnya telah kita jangka kerana senjata mereka tetap sama di dalam mana-mana jua pilihanraya diadakan. Mereka cuma bergantung kepada Media, Jentera Kerajaan dan juga longgokan wang ringgit. Tanpa ketiga-tiga ini, Umno tidak mampu bernafas walau sesaat pun. Justeru itu, PAS dengan kerjasama padu dari rakan di dalam PR semestinya telah bersedia dengan kesemua aset mereka itu. /wfauzdin.blogspot.com

CADANGAN BERNAS DARI KETUA PEMUDA DAP YANG WAJAR DISOKONG

Oleh: WFAUZDIN NS

APABILA Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali menyebut bahawa PR menghadapi sedikit masalah kerana dikatakan PAS mula mengintai kerusi yang bukan majoriti Melayu di dalam PRU akan datang, beliau banyak dikritik oleh beberapa pemimpin dari PAS. Sewajarnya Azmin dikritik dan ditegur kerana anggapan beliau sedemikian rupa boleh menyebabkan salah faham di kalangan penyokong PR.

Selaku Timbalan Presiden PKR, Azmin sepatutnya lebih tahu saluran mana yang beliau boleh gunakan untuk menyatakan kebimbangannya. Namun dapat difahami kenyataan Azmin itu bukan satu sangkaan buruk terhadap PAS, cuma beliau ingin menyebut betapa di masa akan datang ini pembahagian kerusi sesama PR sedikit sukar dari sebelumnya memandangkan situasi dan perkembangan mutakhir yang menunjukkan PAS tidak lagi boleh bergantung kepada kawasan majoriti Melayu samata-mata.

Saya tertarik dengan cadangan Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke yang menekankan bahawa sebarang keputusan samada mengekalkan `status quo' di dalam PRU Ke 12 yang lalu atau membuat beberapa perubahan taktikal perlulah dipersetujui bersama di antara pimpinan PR. Beliau turut mencadangkan agar kawasan yang PR dahulunya tewas, mestilah diletakkan calon dari parti yang mempunyai potensi besar untuk menang.

Sebagai contoh, jika di dalam PRU Ke 12 yang lalu kawasan itu ditandingi oleh PKR tetapi tewas, ada baiknya di dalam PRU Ke 13 nanti kawasan itu ditandingi oleh parti yang mempunyai potensi untuk menang di situ samada dari PAS mahupun DAP. Apa yang penting katanya, PR dapat merampas kerusi tersebut. Ini satu idea yang baik dan bukan bertujuan untuk merampas hak sesebuah parti di dalam PR.

Di sinilah kebijaksanaan pimpinan PR itu penting. Sikap mementingkan diri sendiri dan menjaga kepentingan parti masing-masing sahaja harus dikikis. Perubahan wajar dilakukan dari semasa ke semasa mengikut situasi dan perkembangan politik di sesebuah kawasan itu. Sasaran untuk menang perlu diletakkan di hadapan./wfauzdin.blogspot.com