JOM MASUK AHLI

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

DENGARKAN KOBAT FM ONLINE

Jumaat, 31 Julai 2015

ULAMAK YANG TIDAK KENAL SIAPA MUSUH LEBIH BAIK JANGAN BERPOLITIK

Baru-baru terbaca berita dari Haron Din, Mursyidul Am Pas yang menyatakan bahawa Pas bersedia untuk tinggalkan PKR jika parti itu bekerjasama dengan Gabungan Harapan Baru (GHB).

Bagi aku, PKR tidak pernah berdiri dengan ugutan atau arahan pihak lain.  PKR tentunya bersedia untuk berbaik dengan sesiapa saja yang mempunyai matlamat yang sama untuk menjatuhkan rejim, samada ianya dari parti politik mahupun NGOs.

Ugutan Haron Din itu menunjukkan beliau terlalu tertekan dengan masalah dalaman yang berlaku di dalam partinya.  Sepatutnya Pas tidak boleh meluahkan amarahnya pada PKR akibat kegagalan partinya menyelesaikan kemelut yang berlaku.  

Sewaktu Pas menubuhkan DHPP dulu, PKR sedikitpun tidak merasa terancam dengan sokongan kaum Cina dan India yang berada di dalam DHPP kerana bagi kami DHPP juga memainkan peranan untuk menjatuhkan rejim.  PKR yakin lebih banyak NGOs yang menentang rejim, itu adalah lebih baik.

Pas sepatutnya menunjukkan sikap atau prestasi yang lebih baik selepas mereka berjaya menyusun barisan kepimpinan ulamaknya.  Ulamak mesti lebih arif  mengenal siapa musuh dan siapa kawan.  Jika Ulamak gagal mengenali siapa musuh sebenar, maka lebih baik ulamak itu tidak berada di dalam kancah politik kerana politik juga merupakan satu medan perjuangan atau peperangan yang memerlukan kita kenal musuh dan tahu mengatur strategi untuk memenangi peperangan.

Ahad, 28 Jun 2015

JANGAN MARAH PKR KERANA TIDAK TINGGALKAN PAS, SELAGI.....

Aku tengok ramai juga yang bengang dengan PKR kerana tidak ikut macam Dap yang terus menolak Pas setelah Pas sendiri menolak Dap di dalam muktamarnya.

Bagi aku, sebelum kita mahu marah kepada PKR, kita kena lihat dulu mengapa kita mahu PKR memutuskan hubungan dengan Dap.  Tentunya, kita mahu PKR bersama-sama dengan kumpulan G18 iaitu ingin memperkukuhkan PR, sama juga dengan matlamat PasMa.  Bukankah begitu?  Kita tidak suka PKR terus berada bersama Pas yang sebelum ini menunjukkan tiada keserasian lagi bersama PKR, sebelum PRU 13 lagi kita sudah nampak jelas langkah-langkah pincang Pas ini.

Baiklah, jika benar kita mahu PKR memutuskan hubungan dengan Pas kerana kita mahu sokongan kuat diberikan kepada parti baru yang dipimpin oleh pimpinan G18 bagi menggantikan Pas, kita kena tekan pimpinan-pimpinan yang bersama G18 itu yang kini masih lagi bersama Pas.  Mana lojiknya jika PKR memutuskan hubungan dengan Pas, sedangkan Mat Sabu, Khalid Samad, Dr Hatta, Mujahid, Hanipa, Dr Mariah, Suhaizan dan ramai lagi itu masih sayang kepada Pas?  Itu tidak lojik.  Mengapa PKR perlu lebih-lebih sedangkan mereka masih sayangkan Pas?

Mereka mesti berani tinggalkan Pas dan tubuhkan parti baru bagi menggantikan Pas, barulah PKR mesti bertindak tinggalkan Pas.  Ini baru betul dan realistik.  Soalnya, bila?


Selasa, 2 Jun 2015

TANTAWI TARIK DIRI

Khabarnya Tantawi tidak jadi masuk bertanding Naib Presiden.  Katanya, nak beri tokoh lain lebih berwibawa.  

Elok sangatlah tu kerana kita pun bimbang kalau-kalau dia tewas di dalam PRU14 nanti, tentu amat memalukan jika Naib Presiden tewas.  Jadi, untuk menjaga air muka parti kena juga berkorban.  Patut kita puji langkah Tantawi ini.

Begitu juga dengan Nik Amar.  Dia kini Timbalan MB Kelantan, jika dia kalah sekali lagi mungkin dia tak merasa apa-apa sebab Timb MB masih dia juga.  Begitulah hebatnya pertembungan di dalam PAS.  Macam-macam kita dengar sehinggakan sesiapa yang melawan Presiden, itu adalah geng-geng DAP.  Taktik juga tu untuk berkempen.  Soal menepati akhlak Islam, itu lain kira.

Sabtu, 16 Mei 2015

KAKI FITNAH BAWA HUDUD DENGAN HARAPAN AKAN DIBANTU OLEH KAKI FITNAH JUGA?


Kamu dari parti Islam.  Kamu pemimpin yang mengaku ulamak dari parti Islam.  Tiada kah rasa sedikit pun perasaan bersalah setidak-tidaknya malu bila Non Muslim mengatakan kamu kaki fitnah?  

Jangan marah jika DAP amat sukar mahu terima Hudud yg mahu kamu bawa itu kerana yang ingin membawa hukum Allah ini di kalangan kaki fitnah.  Mengapa parti kamu berantakan tidak henti-henti?  Ini semua patut kamu hisab sendiri, mungkin kerana perjuangan kamu telah lari dari perjuangan asal.  Kamu bawa Hudud bukan kerana Allah tetapi kerana ingin melihat pakatan kamu berpecah.  Apabila berpecah, kamu ada harapan cerah untuk bersama rejim amno.  Itu saja.

Sekarang, kamu jawab pertanyaan pemimpin DAP ini.  Mengapa kamu harus lakukan fitnah hanya kerana kamu tidak menyukai DAP?  Ini bukan cara Islam.  Kalau akhlak Islam pun kamu gagal jaga, usah bicara soal Hudud.  Tiada siapa lagi yang akan mempercayai seseorang kaki fitnah mahu bawa Hudud dengan bantuan kaki fitnah dan perompak.

Parti kamu akan hancur tidak lama lagi kerana kamu sudah berperangai seperti amno yg zalim itu. 

Khamis, 12 Mac 2015

DEBAT YB KHALID - DR ZUHDI MALAM TADI BONGKAR RAHSIA LAMA

Malam tadi ada forum menemukan YB Khalid Samad (MP Shah Alam) dengan Dr Zuhdi jentik-jentik.  Aku sempat mendengar live di Radio D'Pedas FM.  

Rengkasnya, malam tadi terbongkar sekali lagi bahawa;

1.  Memang wujud usaha PAS untuk bersama Umno pada tahun 2008 di Selangor dan melantik Dr Hassan Ali untuk menjadi MB Selangor.  Namun usaha itu gagal apabila dibantah oleh YB Khalid Samad sendiri yang hadir selaku Timb Pesuruhjaya PAS Selangor waktu itu yang beliau pun turut hadir bertemu Khir Toyo dan Pak Lah.  Pemimpin PAS yang hadir waktu itu adalah Us Nasa, ketika itu Timbalan Presiden PAS dan Mustafa Ali.

2.  Memang benar, tahun 2009 di Perak masih cuba diusahakan gabungan PAS - Umno ketika MB Perak waktu itu adalah YB Nizar.  Malang lagi, usaha itu gagal juga apabila dihalang oleh Pesuruhjaya PAS Perak ketika itu iaitu Ustaz Ahmad Awang.  Turut membantah adalah Mursyidul Am Pas ketika itu, Allahyarham Tok Guru Nik Aziz.

Khabarnya yang menghubungi Pesuruhjaya PAS Perak untuk bergabung dengan Umno itu adalah yang sekarang katanya telah dilantik sebagai Mursyidul Am Pas yang baru menggantikan Almarhum Tok Guru Nik Aziz.  Apakah sesuai untuk beliau?  Jawapannya memang sesuai sebab usaha untuk bersama dengan Umno tidak mustahil terhenti.

Alhamdulillah, bagusnya PAS ini adalah kerana tidak semua bodoh untuk bergabung dengan Umno.  Yang ingin bergabung itu mereka mahu cepat naik dan tidak mahu mengalami kesusahan dalam perjuangan.

Jumaat, 6 Mac 2015

52% MAHU TUKAR KERAJAAN TETAPI BERAPA PERATUS SANGGUP BERSUARA?



Soalnya bukan jumlah sedikit atau banyak yang akan berhimpun di Sogo pada petang 07 Mac (Sabtu) ini nanti.  Soalnya ada atau tidak hatta seorang pun yang berani menuntut keadilan di dalam negara ini secara terbuka?

Ya, memang kita sedar lebih dari 52% rakyat Malaysia mahu negara ini berubah, tetapi berapa ramai dari sejumlah itu yang berani suarakannya secara terbuka?  Aku akur, yang tidak datang berhimpun pada petang itu nanti bukan bererti mereka tidak menyokong pembebasan Anwar, tetapi sikap mereka yang suka melawan secara diam-diam.  Itu lebih baik dari menyokong kezaliman secara terang-terangan.  Namun, memadaikah itu sahaja untuk kita merubah negara ini.

Aku pun tidak setuju jalanan dipilih untuk jatuhkan rejim.  Kita belum sampai tahap itu tetapi aku amat tidak bersetuju jika rejim ingin dijatuhkan hanya kita berdiam diri.  Gunakan hak kita untuk berhimpun dan bersuara secara aman.  Tiada siapa pun mahu hura-hara berlaku di dalam negara ini.  Amat bodoh jika ada yang berangapan negara ini boleh berubah ke arah yang lebih baik apabila berlaku huru-hara.  

Sehubungan itu, marilah kita beramai-ramai tunjukkan bahawa kita mahu negara ini diselamatkan dari tangan-tangan penzalim.  Kita mahu mereka sedar bahawa kemenangan 47% yang mereka perolehi di dalam PRU 13 yang lalu bukan bererti mereka bebas lakukan apa saja.

Ayuh !!  Bangkit #KitaLawan !!

Ahad, 15 Februari 2015

PRK DUN CHEMPAKA - PAS TIDAK MUNGKIN MENANG TANPA BERTANDING

Khabarnya amno tidak berminat untuk bertanding di PRK Dun Chempaka, Kelantan setelah Kerusi tersebut dikosongkan akibatkan pemergian Almarhum Tok Guru Nik Aziz ke Rahmatullah.  Tok Pa Mohamad, bos amno Kelantan kata, amno mungkin tidak bertanding demi menjaga penyatuan umat kerana jika bertanding tentu ada kempen dan berlaku sedikit sebanyak perbalahan.

Dun Chempaka sebelum ini diwakili oleh Mursyidul Am PAS yang juga mantan MB Kelantan, Almarhum Tok Guru Nik Aziz apabila almarhum menang di dalam PRU 13 yang lalu dengan majoriti lebih kurang 6,000.  Ertinya, amno tahu parti keris telanjang tak bersarung ini pasti terlentang lagi apatah lagi rakyat Kelantan masih di dalam keadaan 'berkabung' dan bersedih, tentunya semangat untuk memenangkan Kerusi tersebut amat tinggi.  Amno pasti tidak mahu menjejaskan imejnya setelah berjaya di PRK Pengkalan Kubur yang lalu.

Alasan amno tidak mahu bertanding kerana untuk menjaga perpaduan satu alasan yang lucu.  Jika betul begitu, apa kata amno juga tidak perlu bertanding di PRK Permatang Pauh setelah Kerusi tersebut turut dikosongkan kerana Anwar Ibrahim kini di dalam penjara.  Jika amno memang tidak akan bertanding, percayalah amno akan meletakkan calon 'proksi'nya untuk 'test market'.  Ada yang berkata amno sekarang cuba untuk menunjuk baik kepada PAS kerana amno sedar ada sekumpulan UG yang tidak sabar untuk bersama amno.  Oleh itu, amno perlu ber'taktik' untuk memperdaya PAS.  

Aku yakin PAS tidak akan mudah terpedaya dengan amno.