JOM MASUK AHLI

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

DENGARKAN KOBAT FM ONLINE

Isnin, 9 November 2009

Nik Aziz terunggul, presiden PAS gagal...

kemaskini 6.08pm Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat mengekalkan kepercayaan politik dan persepsi positif masyarakat awam terhadapnya tetapi Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula gagal mencapainya, kata seorang ahli akademik berdasarkan satu tinjauan.

Pensyarah kajian media Universiti Malaya (UM) Dr Abu Hassan Hasbullah berkata, Nik Aziz mendapat kepercayaan politik yang positif dalam semua peringkat umur responden, antara 21 hingga 50 tahun.

Abdul Hadi sebaliknya diberikan reaksi negatif oleh semua peringkat umur responden.

Kesimpulan tersebut, tambahnya, dicapai daripada lebih 2,000 responden di seluruh negara apabila diajukan lima soalan - antaranya sama ada pemimpin yang dinamakan patut meletakkan jawatan dan sama ada mereka dipengaruhi kumpulan tertentu.

Turut disoal, sama ada seseorang pemimpin tersebut gagal di negeri masing-masing, dan juga peranan pemimpin berkenaan dalam pembangunan ekonomi, politik dan sosial.

Membentangkan dapatan tinjauan yang dikendalikannya itu di seminar politik PAS pagi ini, Dr Abu Hassan berkata, Nik Aziz juga masih mengungguli di tempat pertama sebagai pemimpin paling popular dalam PAS.

Sementara itu, terdapat penemuan mengejutkan apabila Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Razak berada di tangga kelima pemimpin PAS paling popular.

Abdul Hadi, yang berada di kedudukan belakang Nik Aziz, diikuti dua lagi pemimpin PAS: bekas menteri besar Perak Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin (ketiga) dan ahli jawatankuasa pusat parti Mohamad Sabu (keempat).

Dr Abu Hasaan juga berkata tinjauan sama menunjukkan separuh daripada masalah PAS berpunca daripada kelemahan kepemimpinan.

Penceramah popular itu menambah, masalah kepemimpinan menyebabkan 50 peratus kelemahan PAS, berbanding faktor individu (27 peratus), jentera parti (11 peratus), masalah ideologi (10 peratus), dan manifesto (1 peratus).

Daripada aspek kekuatan pula, tinjauan tersebut mendapati, Dewan Muslimat mempunyai jentera yang terbaik dalam pilihan raya berbanding Pemuda PAS.

Tinjauan tersebut dimulakan selepas pilihan raya umum tahun lalu dan dikemaskini dari masa ke semasa sehingga pilihan raya umum akan datang, tambah pensyarah itu.

Dr Abu Hassan berkata beliau mengetuai tinjauan tersebut yang melibatkan sokongan secara sukarela ratusan sarjana dari seluruh negara./Malaysiakini

Ahad, 1 November 2009

FINAL PIALA MALAYSIA - PERISTIWA BAGAN PINANG MEMPENGARUHI PENYOKONG KELANTAN?

KELANTAN negeri yang diperintah oleh PAS selama 20 tahun, kini mencipta rekod menjejakkan kaki ke Perlawanan Akhir Piala Malaysia setelah menewaskan Perlis malam tadi. Manakala, Negeri Sembilan yang terkenal dengan negeri `keUmnoannya' turut melangkah ke Perlawanan Akhir setelah berjaya menewaskan Terengganu pada malam yang sama. Tahniah kepada Kelantan dan Negeri Sembilan.

Sepanjang perlawanan yang telah diadakan di Stadium Sultan Mohamed Ke IV Kota Bharu, suasana kibaran bendera hijau bulatan putih dan merah dapat dilihat. Sukan sewajarnya tidak boleh dikaitkan dengan politik tetapi pada waktu ini amat sukar untuk menyekat penyokong-penyokong bola sepak Kelantan khususnya yang juga terdiri dari penyokong tegar PAS untuk mengibarkan bendera negeri dan juga bendera parti. Anehnya, tiada berlaku kekecohan di dalam stadium angkara bendera yang dikibarkan tetapi yang berlaku kekecohan adalah kerana suasana hangat perlawanan sahaja. Mungkin di negeri Serambi Mekah itu sudah sinonim dengan hijau bulatan putih. MB Kelantan juga tidak senang dengan kibaran bendera parti di dalam acara sukan tetapi beliau lebih bimbang dengan keganasan penyokong seperti melontar botol mahu pun mercun ke dalam padang kerana ia lebih merbahaya dari kibaran sehelai kain berwarna hijau.

Perlawanan Akhir Piala Malaysia menyaksikan perlawanan di antara negeri Tuan Guru Nik Aziz bertemu dengan Dato' Mohamad Hassan. Di arena politik, negeri di bawah PAS ini masih tidak hilang ingatan mereka peristiwa di Bagan Pinang sewaktu PRK Dun Bagan Pinang baru-baru ini. Adakah peristiwa keganasan terhadap penyokong PAS di Bagan Pinang akan mempengaruhi penyokong PAS ketika kedua-dua negeri ini bertemu di arena sukan pula? Mudah-mudahannya tidak berlaku sesuatu yang buruk nanti, tetapi saya ingin menyeru mana-mana peminat bola sepak yang menyokong kepimpinan Tuan Guru Nik Aziz agar hadir memakai jersey penyokong Kelantan.

Penyokong-penyokong yang berada di Wilayah Persekutuan dan Selangor terutamanya, ayuh ke stadium untuk bersama dengan pasukan Tuan Guru Nik Aziz. Tunjukkan disiplin kita semua walaupun kita merasakan wajar untuk membawa bersama bendera hijau bulatan putih. Alangkah indahnya stadium nanti jika dipenuhi dengan warna kehijauan di samping kain pemidang terpamir wajah MB Kelantan yang amat disayangi itu. Ayuh....lakukan rancangan ini mulai sekarang. Bersedialah untuk gegarkan Stadium Bukit Jalil, meriahkan dengan kibaran bendera negeri Serambi Mekah ini./Mandor.blogspot.com

Sabtu, 31 Oktober 2009

UMNO SUDAH KUAT, TUNGGU APA LAGI, LETAK LAH JAWATAN

Friday, October 30, 2009

Angkatan Muda Keadilan Selangor mendesak agar ADUN Pelabuhan Klang,YB Badrul Hisham Abdullah untuk meletakkan jawatannya sebagai ADUN dengan kadar segera. Ini adalah untuk membolehkan seorang wakil rakyat baru dipilih setelah beliau gagal melaksanakan tugas dan amanah yang diberi rakyat dengan baik, demikian menurut satu kenyataan media daripada Ketua Penerangan AMK Selangor, Mohd Ezli Mashut.

Menurut kenyataan itu lagi, AMK Selangor amat menghargai ketegasan Dato’ Menteri Besar Selangor,Tan Sri Dato’ Abdul Khalid Ibrahim dalam isu YB Badrul Hisham di mana ADUN Pelabuhan Klang ini telah gagal menjalankan amanah rakyat yang diberi dan pelbagai masalah dan kerenah yang ditimbulkannya. Tindakan dan ketegasan Menteri Besar Selangor ini jelas mendahulukan kepentingan dan kebajikan rakyat adalah amat penting dan terutama daripada kepentingan politik semata-mata.AMK Selangor membuat desakan kuat ini agar ADUN Pelabuhan Klang yang menang dalam Pilihanraya Umum ke-12 menggunakan tiket Parti Keadilan Rakyat apabila mengistiharkan dirinya keluar daripada PKR perlu melepaskan jawatan ADUN tersebut segera. Tindakan beliau tidak melepaskan jawatan ADUN tersebut dan menyokong pembangkang Barisan Nasional di Selangor seolah-olah beliau sudah tidak mempunyai harga dan maruah yang tinggi lagi.

AMK Selangor merasakan tindakan beliau semasa mengistiharkan keluar daripada PKR dan memilih untuk menjadi ADUN Bebas dengan menyerang kepimpinan tinggi PKR dan kerajaan Selangor, jelas membuktikan agenda perancangan busuk dan keji pihak tertentu untuk menjejaskan keutuhan dan kekuatan Pakatan Rakyat di Selangor. Malahan tindakan beliau seperti ‘kacang lupakan kulit’ yang sebelum ini memenangi jawatan ADUN Pelabuhan Klang menggunakan platform Parti Keadilan Rakyat.

Rakyat keseluruhannya dan pengundi di DUN Pelabuhan Klang sendiri sudah mengetahui segala-galanya berkenaan kegagalan total YB Badrul Hisham dalam melaksanakan tugas dan amanah yang diberi rakyat sejak sekian lama. Malahan kepimpinan parti dan juga negeri sudah beberapa kali memberikan teguran dan nasihat agar melaksanakan tugas dengan baik namun beliau sehingga kini gagal menjalankan tugasnya sebagai wakil rakyat seperti yang diharap-harapkan.

AMK Selangor berpandangan pemimpin yang mendatangkan terlalu banyak bermasalah,karenah dan menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat dan pengundi dalam melaksanakan tugas dan amanah perlu dihumban jauh-jauh daripada menjadi liabiliti kepada parti dan kerajaan. Dengan keluarnya YB Badrul Hisham daripada kerajaan Pakatan Rakyat Selangor membuktikan bahawa Pakatan Rakyat amat mementingkan dan mutu kerja yang cemerlang,bertanggungjawab dan bersih. Tindakan beliau keluar dan menyokong UMNO/BN membuktikan dan menjelaskan lagi itulah wadah politik yang amat sesuai dengan imej kini UMNO/BN yang penuh dan terpalit dengan pelbagai skandal,penyelewengan,rasuah dan jenayah politik.

AMK Selangor yakin bahawa imej positif Pakatan Rakyat di Selangor semakin meningkat mendadak pada pandangan rakyat yang berharap pemimpin yang menerajui Selangor adalah kalangan yang bersih,bertanggungjawab dan melaksanakan tugas dan amanah yang diberi dengan penuh berhemah dan komitmen. Isu ini juga sebenarnya memberikan gambaran bahawa menjelang PRU-13 ini,Pakatan Rakyat akan diwakili oleh pemimpin yang lebih berkredibiliti dan mempunyai rasa amanah dan integriti yang amat tinggi kepada rakyat untuk memimpin arus perubahan besar negara kelak.

AMK Selangor berpandangan pemimpin yang berhak memimpin perubahan perlu mempunyai jatidiri,integriti dan komitmen yang kuat untuk memimpin rakyat dan perubahan. Pemimpin yang lemah,rasuah,mempunyai pelbagai masalah serta kerenah, tidak mempunyai jatidiri dan perjuangan yang kuat sepatutnya tidak layak untuk bersama-sama dengan arus perjuangan rakyat semuanya.

AMK Selangor melihat pelbagai ‘kemelut politik kecil’ yang disensasikan oleh media yang melanda khususnya Parti Keadilan Rakyat akan mematangkan lagi proses pengalaman politik PKR yang baru berusia 10 tahun. Sebuah parti yang langsung tidak diberi harapan langsung dalam PRU-12 tetapi membuat kejutan dan tsunami politik besar bersama-sama rakan Pakatan Rakyat daripada PAS dan DAP atas semangat dan kesedaran memuncak rakyat.

AMK Selangor berharap agar rakyat terus memberikan keyakinan dan sokongan kepada Pakatan Rakyat untuk terus memimpin dan membawa perubahan. Kejayaan parti baru sepertiDemocratic Parti of Japan (DPJ) yang menumbangkan seteru kuat politik daripada Liberal Democratic Parti (LDP) yang memerintah selama 50 tahun di Jepun membakar semangat dan iltizam baru seluruh rakyat dan pendukung Pakatan Rakyat untuk menerajui Putrajaya dalam PRU-13 ini.

AMK Selangor menaruh harapan yang amat tinggi bahawa semangat dan dokongan rakyat di Selangor akan terus meningkat kerana terbukti kini bahawa Pakatan Rakyat amat mementingkan individu pemimpin yang mampu menjalankan tugas, amanah, mempunyai integriti dan jatidiri unggul untuk memimpin arus perubahan dan kepimpinan negeri.

Ini jelas berbeza dengan dasar pemilihan kepimpinan UMNO/BN yang akan terus mendambakan pemimpin yang rasuah, menyeleweng kuasa dan penuh dengan pelbagai skandal keji dan jijik. Memang layak YB Badrul Hisham untuk menghuni parti seperti ini yang hanya menunggu masa sahaja untuk karam dan pupus daripada kamus politik negara.

Akhirnya,AMK Selangor mengulangi pendirian tegas mencabar YB Badrul Hisham jika masih mempunyai harga diri dan maruah yang tinggi untuk segera melepaskan jawatan ADUN Pelabuhan Klang dan bertanding semula atas tiket sendiri dalam pilihanraya kecil yang diadakan kelak.

Jumaat, 30 Oktober 2009

Nik Aziz puas hati perjalanan mesyuarat

BACHOK - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, beliau berpuas hati dengan perjalanan Mesyuarat Khas kelmarin walaupun jawatankuasa memutuskan tidak akan mengadakan Muktamar Khas (EGM) seperti yang dicadangkan beliau baru-baru ini.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, dengan luahan pendapatnya serta dengan keputusan yang diambil Jawatankuasa Pas Pusat itu, segala gangguan fikiran dan masalah ditimbulkan dari artikel Profesor Dr Abdul Aziz Bari dapat diselesaikan dengan baik.

“Puas hati dah... Mana ada pandangan semua orang terima, ada masa orang terima, ada masa orang tolak, sebab itu dalam artikel saya sebut Nabi Muhammad ditegur oleh Allah.

“Kalau Nabi ditegur jadi pelik apa orang tolak EGM tetapi tukar alternatif dengan menganjurkan seminar,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Bakti Siswa Mesir 2009 di Masjid Kampung Bakong di sini, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan Mesyuarat Khas Pas yang turut dihadirinya kelmarin yang mengambil ketetapan tidak akan mengadakan Muktamar Khas EGM) sebaliknya mengadakan seminar politik pada 7 November ini.

Nik Abdul Aziz berkata, dalam keadaan kini, dua tiga kerat pemimpin bermasalah’ yang menyebabkan timbulnya konflik dalaman parti perlu insaf dan sedar bahawa perbuatan mereka itu boleh merosakkan parti.

“Dr Aziz Bari menggunakan perkataan `kapten` (ketua) kepada ketiga-tiganya, saya guna perkataan sama. Insya-Allah, orang itu akan terasa, benda apa yang dibuat sehingga ditegur, kita nak muhasabah benda ni,” katanya.

Mengulas mengenai siasatan jawatankuasa disiplin yang akan dilakukan terhadap Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, Nik Aziz berkata, beliau tidak akan mencampuri urusan berkenaan.

“Dia (Dr Hasan) bukan tajuk (perbincangan) saya, tetapi dia memang ditegur. Macam saya juga ditegur, tetapi saya tidak mahu cakap hal peribadi orang lain,” katanya.:

Dalam pada itu, Nik Abdul Aziz berkata, tindakan beliau keluar awal dari mesyuarat tersebut tiada kaitan dengan ketidakpuasaan beliau dengan sesi perjalanan mesyuarat sebaliknya kerana faktor kesihatan./Sinar

Rabu, 28 Oktober 2009

Nik Aziz janji ganjaran jika Kelantan menang Piala Malaysia

28 Oct 2009 4:16PM Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berjanji akan memberikan ganjaran jika pasukan Kelantan berjaya menjuarai Piala Malaysia musim ini.

Beliau berkata kerajaan negeri akan memberikan sumbangan itu sejajar dengan kejayaan Kelantan dalam sukan bola sepak.

"Saya nak sebut Kerajaan Negeri Kelantan akan memberikan sedikit sumbangan jika kita menang," katanya kepada pemberita selepas majlis sempena Aidilfitri di Kota Darulnaim di sini pada Rabu.

Semalam pasukan "The Red Warriors" berjaya menewaskan Perlis 2-0 dalam pusingan pertama separuh akhir Piala Malaysia di sini.

Beliau berkata sebagai komitmen pertama dalam penghargaan kerajaan negeri kepada pasukan Kelantan, beliau sendiri telah memberikan RM5,000 kepada Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa semalam.

Nik Abdul Aziz berkata sebuah stadium dengan keluasan tanah 10 hektar akan dibina di Tunjung, di sini.

"Cumanya kita sedang fikirkan sama ada kita nak bangunkan sendiri ataupun kita akan minta geran daripada kerajaan pusat," katanya.

Nik Aziz melahirkan kekecewaan beliau dengan sikap penonton dan penyokong Kelantan yang melontar mercun serta mengibarkan bendera politik.

Mursyidul Am PAS itu berkata tindakan melontar mercun itu membahayakan orang lain manakala sikap mengibarkan bendera parti politik itu tidak mencerminkan semangat kesukanan sebenar.

"Pergi sahaja tengok bola sudah la.. Kalau hendak pun kita takbir tidak payah buat perkara macam itu," katanya.

Beliau turut meminta pasukan Kelantan memantapkan stamina pemain di dalam perlawanan kerana daripada pemerhatiannya pemain Kelantan mudah terjatuh dan kurang bertenaga./KLpost

Isnin, 26 Oktober 2009

PAS ajak Nik Aziz berdepan

kemaskini 2.54pm Datuk Nik Aziz Nik Mat diundang khas dalam pertemuan dengan jawatankuasa pusat PAS dan barisan pesuruhjaya negeri bagi membincangkan isu beberapa pemimpin kanan "bermasalah" berhubung idea kerajaan perpaduan.

Mursyidul am PAS, yang juga pesuruhjaya Kelantan, antara lebih kurang 60 pemimpin parti itu yang diundang untuk membahaskan isu tersebut Rabu ini sejak ia timbulkan Jumaat lalu.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali bagaimanapun berkata beliau tidak pasti sama ada menteri besar itu - yang paling berkeras dengan isu tersebut - akan turut hadir.

"Beliau (Nik Aziz) hadir sebagai pesuruhjaya dan sebagai jemputan khas kerana kita nak dengar sendiri (mengapa) beliau buat kenyataan begitu.

"Kita berharap tok guru akan hadir," katanya dalam sidang media berhubung isu itu di Kuala Lumpur pagi ini.

Didesak pemberita reaksi selanjutnya jawatankuasa pusat PAS dan pesuruhjaya negeri jika Nik Aziz tidak hadir dalam pertemuan tersebut, Mustafa berkata:

"Tok Guru (Nik Aziz) sudah bercakap dengan Salahudin, dan Salahudin akan menyampaikan dalam mesyuarat.

"Mesyuarat akan menentukan keputusan, mesyuarat pasti akan buat keputusan."

Mengulas cadangan mengadakan muktamar khas seperti desakan Nik Aziz, Mustafa berkata perlembagaan PAS membolehkan satu mesyuarat agung luar biasa diadakan apabila:

- ia dipanggil oleh presiden parti,
- satu pertiga daripada 37 anggota jawatankuasa pusat menulis surat memohon mengadakannya, dan
- satu pertiga kawasan-kawasan PAS menulis untuk berbuat demikian./Malaysiakini

EGM - PAS BINCANG RABU INI

kemaskini 12.34pm

Jawatankuasa pusat PAS dengan barisan pesuruhjaya negeri akan bertemu Rabu ini bagi membincangkan isu yang dibangkitkan oleh mursyidul amnya, termasuk satu muktamar khas.

Lebih kurang 60 pemimpin parti itu, termasuk Datuk Nik Aziz Nik Mat yang juga pesuruhjaya PAS Kelantan, akan diundang untuk membahaskan isu tersebut.

Dalam sidang medianya di Kuala Lumpur pagi ini, Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali bagaimanapun berkata beliau tidak pasti sama ada menteri besar itu - yang paling berkeras dengan isu tersebut - akan turut hadir.

Mengulas cadangan mengadakan muktamar khas, kontroversi terbaru yang dilontarkan oleh Nik Aziz minggu lalu, Mustafa berkata perlembagaan PAS membolehkan satu mesyuarat agung luar biasa diadakan apabila:

- ia dipanggil oleh presiden parti,
- satu pertiga daripada 37 anggota jawatankuasa pusat menulis surat memohon mengadakannya, dan
- satu pertiga kawasan-kawasan PAS menulis untuk berbuat demikian.

Menulis di blognya Khamis lepas, Nik Aziz menggesa satu muktamar khas diadakan bagi membincangkan "beberapa pemimpin bermasalah" kerana masih berpegang kepada idea kerajaan perpaduan dengan Umno.

Beliau mengulas analisis politik seorang pensyarah undang-undang Dr Abdul Aziz Bari yang mengaitkan ketewasan teruk PAS di Bagan Pinang baru-baru ini dengan kekalutan, yang melibatkan pemimpin parti itu, dalam pentadbiran kerajaan Selangor.

Di sidang media sama, Mustafa turut menafikan kontroversi terbaru itu satu masalah dalaman parti seperti ditanggap pihak luar, antaranya Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mustafa juga berkata isu kerajaan perpaduan PAS-Umno "sudah ditutup" dalam muktamar lalu dan kini parti itu sedia bekerjasama dengan dua lagi rakannya dalam Pakatan Rakyat./Malaysiakini