Tuesday, February 9, 2010

Ezam akhirnya kantoi - penipu dan penakut hadir ke mahkamah

Dua hari berturut-turut Ezam yang kononnya dianggap panglima (sebenarnya anjing kurap) oleh umno gagal hadir ke Mahkamah untuk dibicarakan kes isu arsenik.

Ezam sebenarnya tidak berani berdepan dengan reformis-reformis lain yang turut hadir ke mahkamah atas kes yang sama.

Peguamnya memberitahu bahawa Ezam kini berada di Jakarta sebab itu beliau tidak dapat hadir ke mahkamah.

Allah itu Maha Besar.... Maklumat yang saya baru terima, Ezam akhirnya kantoi sebab beliau ditemui sedang makan bersama Anuar Shaari di Restoran O'brien di pusat beli belah The Curve Damansara.

Jelas bahawa Ezam berbohong dan penipu serta takut serta malu untuk berdepan dengan reformis. "kusangkakan ayam sabung..rupanya ayam piru"...

Mahkamah sepatutnya keluar waran tangkap kepada Ezam kerana gagal hadir ke mahkamah.

Sumber: Rakyat Marhaen

RAKYAT TETAP ANGGAP ZAMBRY MB TIDAK SAH - ANWAR

Dzulfikar Mashoor
KUALA LUMPUR, 9 Feb: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendapat rakyat lebih layak membuat keputusan sama ada memilih Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin atau Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak melalui pilihan raya kecil peringkat negeri.

“Keputusannya adalah keputusan rakyat dan ini adalah isu demokrasi, suatu kepentingan politik, siapa sebenarnya yang mendapat mandat dan sokongan rakyat,” ujarnya di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, petang ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, walaupun Zambry berjaya diputuskan sebagai menteri besar melalui mahkamah, namun keputusan tersebut bukan mewakili rakyat.

“Saya percaya Zambry dan Umno/BN sendiri tidak bersedia berdepan dengan rakyat melalui pilihan raya, mereka lemah dan longlai untuk berdepan dengan kita.

“Maka Umno tidak boleh berselindung di sebalik apa-apa, termasuk mahkamah selama-lamanya, kecuali perlu kembali diputuskan oleh rakyat (melalui) pilihan raya,” jelasnya.

Beliau yang juga Ketua Umum PKR tidak terkejut dengan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan rayuan Nizar.

“Sebenarnya saya tidak terkejut dengan keputusan awal Mahkamah Persekutuan, tetapi sepertimana kita faham Pakatan Rakyat Perak dan Kebangsaan menyatakan,” jelasnya.

Beliau juga menyeru semua kepemimpinan Pakatan Rakyat supaya bersikap bijaksana dan rasional meneruskan persiapan menghadapi pilihan raya peringkat negeri Perak yang dijangka diadakan bila-bila masa.

Tambahnya lagi, dijangkakan persiapan tersebut turut diperlukan untuk menangkis serangan-serangan media propaganda yang dimiliki oleh Umno.

“Selain memperkuatkan parti dan jentera Pakatan Rakyat menghadapi pilihan raya kecil pada bila-bila masa, tidak mustahil kita terpaksa menghadapi serangan bertubi-tubi dari media-media Umno selepas ini,” katanya.

Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh berkata, rakyat lebih layak membuat keputusan memilih Menteri Besar Perak yang baru.

“Keputusan ‘Mahkamah Rakyat’ lebih layak buat keputusan berhubung Menteri Besar Perak yang sah, mahkamah hanya terdiri lima Hakim sahaja, mahkamah rakyat lebih dari itu,” jelasnya.

Seperti kenyataan Nizar tengah hari tadi, beliau turut mencabar Zambry membubarkan Dun demi membenarkan pilihan raya kecil peringkat negeri Perak diadakan dalam masa terdekat.

Ujarnya, keputusan mahkamah itu sebenarnya tidak menyelesaikan fundamental politik di Perak kerana rakyat mengganggap Zambry sebagai menteri besar yang tidak sah, selepas Umno kudeta kerajaan dari Pakatan Rakyat./Harakahdaily

SEMPENA TAHUN BARU CINA - DISKAUN TOL, HARGA BARANG MELAMBUNG, TAHNIAH 1 MALAYSIA

Ramai mengeluh harga ikan naik


HARGA beberapa jenis ikan serta udang di pasar basar sekitar Kuala Lumpur naik mendadak sejak minggu lalu.


KUALA LUMPUR - Orang ramai sekitar ibu negara mula mengeluh apabila harga beberapa barangan keperluan terutamanya hasil laut dan sayur-sayuran di pasar-pasar basah meningkat secara mendadak.

Tinjauan Kosmo! di Pasar Pudu, Pasar Sungai Besi, Pasar Keramat dan Pasar Chow Kit di sini semalam mendapati, kebanyakan harga barangan keperluan itu meningkat melebihi 10 peratus sejak minggu lalu.

Antara hasil laut yang mengalami kenaikan ialah ikan senangin daripada RM18 kepada RM24


sekilogram, kerapu (RM16 ke RM20), bawal putih besar (RM20 ke RM40), bawal tambak besar (RM40 ke RM60), udang harimau (RM40 ke RM70) tenggiri (RM16 ke RM18) dan ikan parang (RM10 ke RM13).

Selain itu, harga barang keperluan lain seperti limau nipis, cili api Thailand dan timun turut naik.

Malah, terdapat kemungkinan harga barang terbabit akan naik lagi bermula minggu depan sebelum perayaan Tahun Baru Cina./Kosmo

Bala:"Pegawai Khas Najib Ada Ditempat Kejadian Semasa Altantuya Diculik"

Pegawai Khas kepada Perdana Menteri Najib Razak berada di tempat kejadian apabila dua anggota polis menculik warga Monglia Altantuya Shariibuu untuk di bunuh, kata penyiasat persendirian P. Balasubramaniam.

Bala mengesahkan beliau nampak pegawai khas Najib, Nasir Safar, dalam sebuah kereta berwarna biru ketika Azilah Hadri dan Sirul Azhar menculik Altantuya pada 19 Oktober 2006 sebelum bekas model itu dijumpai mati dibom, 17 hari selepas itu.

Hal ini didedahkan peguam Bala, Americk Sidhu kepada Suara Keadilan melalui emel.

Nasir ketika ini menjadi tumpuan setelah beliau menghina kaum India dan Cina sebagai bangsa pendatang. Beliau juga menggunakan ungkapan "India pengemis, Cina jual tubuh' pada majlis 1Malaysia di Melaka baru-baru ini.

Tunduk kepada kemarahan orang ramai, pejabat Perdana Menteri mengumumkan minggu lalu bahawa Nasir sudah meletak jawatan atas perbuatannya itu.

Pendedahan bahawa Nasir turut didakwa terbabit dalam pembunuhan Altantuya dan berada di tempat kajadian warga Mongolia itu diculik menguatkan persepsi umum tentang pembabitan Najib dalam kes Altantuya.

Americk berkata, pada hari kejadian Balasubramaniam nampak sebuah kereta Proton biru melalui depan perkarangan Abdul Razak Baginda dengan perlahan ketika Azilah dan Sirul mengarahkan Altantuya masuk ke kenderaan mereka.

Katanya, tingkap kereta Proton itu terbuka dan Balasubramaniam melihat wajah pemandu kereta berkenaan tetapi tidak mengecamnya.

Namun beliau masih mampu memberi lakaran wajah orang itu kepada polis ketika disoal siasat. Polis kemudian memberitahu Bala bahawa pemandu kereta itu orang awam yang tinggal berhampir rumah Razak, kata Americk.

Walaupun polis tidak mengambil berat hal itu, Americk berkata, Balasubramaniam tiada maklumat apa- apa berkaitan lelaki berkenaan sehinggalah wajah itu terpapar dalam blog berikutan kenyataan kontrovesial Nasir di Melaka.

"Balasubramanian kemudian mengecam lelaki itu sebagai Nasir Safar sebagai orang yang memandu kereta Proton biru itu di depan rumah Razak Baginda," katanya.

Bala adalah penyiasat persendirian yang diupah Razak bagi mengelak dirinya diganggu Altantuya. Dalam akuan bersumpahnya Bala memberitahu bahawa Abdul Razak mendedahkan hubungan sulit antara Najib dan Altantuya.

Bala bagaimanapun ditawarkan RM5juta oleh seorang rakan Rosmah Mansor untuk menarik balik SD itu serta meninggalkan Malaysia. Adik Najib, Nazim pula didakwa mengugut Bala atas keselamatan keluarganya.

Bala kini berlindung di luar negara namun telah menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa dengan syarat soalsiasat itu dibuat di negara jiran kerana beliau bimbang keselamatannya jika kembali ke Malaysia.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia masih belum menemubual Bala mengenai dakwaannya itu walaupun sudah dihubungi oleh peguam Bala. /TVSelangor

Semangat Seksyen 51A Diketepi Mahkamah

Kegagalan pasukan peguambela Datuk Seri Anwar Ibrahim memperoleh dokumen relevan nyata bertentangan dengan semangat Seksyen 51A Kanun Prosedur Jenayah.

Tanpa dokumen itu, pasukan pembelaan Anwar sukar menyediakan pembelaan yang rapi dalam menghadapi pertuduhan yang mencurigakan.

Seksyen itu dipinda dan mula dikuat kuasa sejak 6 Mac 2006 bagi memberi keadilan kepada kedua-dua pihak termasuk tertuduh.

Parlimen memasukkan Seksyen 51A dalam kanun it dengan meletakkan tanggungjawab terhadap pendakwa untuk membekal kepada pembela sebelum perbicaraan bermula, semua dokumen yang hendak diguna oleh pendakwa dalam perbicaraan.

Tujuan Parlimen dalam memasukkan seksyen itu dapat dilihat melalui perbahasan Ahli Parlimen ketika meluluskan rang undang-undang itu.

Walaupun perbahasan semasa meluluskan rang undang-undang pindaan itu bukan sebahagian dari seksyen berkenaan tetapi ia boleh dijadikan sebagai tingkap untuk melihat sebab dan falsafah di sebalik kepentingan seksyen itu.

Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad selaku Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri ketika itu memberitahu Dewan Rakyat:

"Fasal 8 ialah fasal yang memasukkan seksyen baru 51A. Beberapa pihak mengemukakan pandangan mereka untuk mewajibkan pihak pendakwa membekalkan kepada pihak pembelaan mana-mana dokumen atau laporan yang menjadi sebahagian dari kes pendakwaan sebelum perbicaraan dimulakan."

"Pemberian apa-apa dokumen atau laporan yang akan dikemukakan oleh pihak pendakwa dalam kesnya kepada pihak pembelaan akan memberi peluang kepada pihak pembelaan untuk menyediakan kes mereka dengan lebih sempurna."

"Ini akan membawa keadilan bukan sahaja kepada tertuduh tetapi kepada semua pihak. Selain itu, ia menjimatkan masa mahkamah apabila pihak pembela tidak memohon untuk penangguhan jika dokumen itu lebih awal diberi."

"Jawatankuasa berpendapat fakta yang menguntungkan kepada pembelaan yang diperoleh semasa siasatan hendaklah diberi demi keadilan sesuatu kes."

Sebelum seksyen itu dilulus dan diguna pakai, Timbalan Pendakwa raya kerap membantah permohonan mana-mana tertuduh untuk mendapat dokumen terutama kenyataan saksi pihak pendakwa.

Ini menimbul persepsi bahawa kerja sebenar peguam bela dalam mana-mana kes jenayah hanya bermula pada hari perbicaraan ketika saksi pendakwa mula memberi keterangan.

Situasi itu menimbulkan keadaan tidak adil kepada seseorang tertuduh.

Dalam kes Anwar, hak beliau mendapatkan bahan bukti dan dokumen relevan dinafikan, meskipun peruntukan Seksyen 51A Kanun Prosedur Jenayah jelas berpihak kepadanya. /TVSelangor

Monday, February 8, 2010

KES LIWAT DS ANWAR - MENGAPA HAKIM DIMINTA TARIK DIRI?

Bela Fitnah Utusan : Hakim Diminta Tarik Diri

Peguambela Anwar Ibrahim hari ini meminta Hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah untuk menarik diri setelah beliau dilihat sebagai berat sebelah dalam mengadili perbicaraan konspirasi kedua terhadap mantan timbalan perdana menteri itu.

Permohonan oleh Karpal Singh itu dibuat setelah Hakim Zabidin Mohd Diah enggan mengenakan sebarang tindakan mahupun mencela Utusan Malaysia kerana merekacipta fakta pada dua hari berturut-turut.

Permohonan itu akan dibahas esok setelah pendakwaraya meminta masa untuk membalas hujah yang dikemukakan oleh Karpal.

Anwar berkata tindakan Utusan Malaysia menyiarkan laporan fitnah terhadapnya semata-mata bertujuan mengaibkan beliau di mata rakyat.

Pada Khamis lalu, Utusan Malaysia menyiarkan laporan kononnya pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan memberi keterangan bahawa beliau tak rela diliwat lagi.

Rekod mahkamah menunjukkan Saiful tidak pernah memberi keterangan sebegitu.

Apabila Karpal membantah, Hakim Mohamad Zabidin mengaku laporan Utusan itu adalah nakal, namun beliau enggan mengambil sebarang tindakan terhadap akhbar itu.

Alasan hakim ialah laporan itu tidak ditulis dihadapan beliau.

Keesokan harinya Utusan sekali lagi bertindak angkuh, kali ini menyiarkan gambar-gambar yang berkapsyen Saiful menunjukkan kepada hakim katil di bilik tidur utama tempat beliau mendakwa diliwat.

Sekali lagi akhbar kawalan Umno ini merekacipta fakta kerana tidak ada keterangan seperti itu dalam rekod mahkamah.

Dan sekali lagi Hakim Mohamad Zabidin tidak mengambil tindakan terhadap Utusan. Beliau beranggapan apa yang disebut oleh Utusan adalah sebahagian daripada percakapan dalam Mahkamah.

Ternyata mahkamah tidak bersedia membetulkan membiarkan media Umno dan Barisan menyalurkan fitnah supaya mengelirukan rakyat. Ini katilnya, padahal tidak ada langsung dalam keterangan malahan dalam kamera itu berbeda besar dengan apa yang disebut. Jadi kalau beginilah cara mahkamah mengendalikan saya bimbang proses itu tidak dapat menjamin keadilan. Itu sebabnya.

Menurut Anwar, alasan hakim membenarkan utusan menggunakan gambar dan kapsyen ini jelas disanggah sendiri oleh Ketua pendakwaraya sendiri Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden.

"Bila kita beri keterangan yang memperkuatkan alasan saya hendak mengemukakan juga tuntutan ini ialah apabila pendakwa bersama mengatakan ia tidak betul, selepas itu bila saya katakan apa ni? Mahkamah macam mana macam ini? Pendakwa macam mana macam ini?" kata Anwar.

"Datuk Yusof mengatakan, ya kita silap dan kita akan bawa Karpal ke kamar hakim, tetapi terlepas dah lepas dah...kita hendak tengok apa jawapan Datuk Yusof hari ini, dia akan jawab afidavit saya kemudian esok pagi kita terus (perbicaraan)".

Ekoran dua keputusan kontroversi itu , Anwar berkata beliau terpaksa menfailkan permohonan meminta Mohamad Zabidin menarik diri dari perbicaraan.

Ini kerana Mohamad Zabidin membuat keputusan yang mencerminkan kemungkinan beliau tidak akan mengadili kes ini bersandarkan tahap keadilan yang diperlukan.

Anwar berkata hakim Zabidin telah menunjukkan beliau tidak berkecuali dan bebas sebagaimana yang sepatutnya.

"Saya hendak tekankan kita sudah bersedia Karpal sebagai peguam mengatakan kita bersedia mulakan hari ini. Tetapi kita hendak tentukan hakim dengar jangan batalkan dan tutup peluang perbicaraan oleh peguam sebelum dia buat keputusan" tambahnya lagi./TVSelangor

PENDAKWA CUBA HALANG - KARPAL

Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 8 Feb: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa bimbang dengan cara penghakiman kes liwat yang melibatkannya.

"Saya bimbang proses itu tidak dapat menjamin keadilan,” jelasnya ketika ditemui wartawan di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta di sini, pagi ini.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan Hakim Mohamad Zabidin Md Diah dan pasukan pendakwaraya supaya bersikap adil dalam sesi penghujahan saksi utama kes liwat, Mohd Saiful Bukhari Azlan yang sepatutnya berlangsung hari ini.

“Sepatutnya Tuan Hakim (Zabidin) kena dengar permohonan (peguam bela), bukan batalkan dan tutup perbicaraan peguam sebelum beliau membuat keputusan.

"Yang saya nak tekankan di sini, kita dah bersedia seperti peguam Karpal katakan, kita sebenarnya bersedia memulakan perbicaraan hari ini,” ujarnya yang juga Ketua Pembangkang.

Perbicaraan kes liwat beliau pagi tadi ditangguhkan ekoran pasukan peguam bela membuat permohon mengetepikan Mohamad Zabidin dari mendengar perbicaraan kes tersebut.

Permohonan tersebut dibuat oleh Karpal Singh apabila Mohamad Zabidin enggan mengenakan tindakan ke atas Utusan Malaysia yang menyiarkan beberapa butiran eksklusif mahkamah, termasuk gambar saksi utama Saiful Bukhari, 25, menunjukkan lokasi kes liwat di Kondominium Desa Damansara.

Selain menganggap hakim cuba bersikap bias dalam proses perbicaraan, Karpal turut mendakwa pasukan pendakwaraya yang diketuai oleh Peguamcara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden cuba menghalang pasukan peguam bela Anwar menyoal Saiful berkaitan lokasi-lokasi yang ditunjukkannya Jumaat lalu.

Karpal Singh turut menganggap Mohamad Zabidin tidak melaksanakan tanggungjawabnya kerana membiarkan Utusan Malaysia menghina mahkamah dengan mendedahkan beberapa butiran eksklusif berhubung kes itu./Harakahdaily