Hassan Ali diingatkan patuhi pendirian PAS
PAS hari ini memberikan ingatan kepada pimpinannya di Selangor supaya tidak bertindak atau membuat kenyataan yang berbeza dengan pendirian yang telah diputuskan parti itu seperti yang dinyatakan oleh presidennnya baru-baru ini.
Antaranya adalah menyokong penuh cadangan meminda perlembagaan negeri untuk mengembalikan kuasa Sultan dan Menteri Besar dalam perlantikan pegawai kanan kerajaan negeri sebagaimana yang diputuskan oleh kerajaan negeri Selangor.
"Saya mengikuti perkembangan di Selangor secara dekat dan berharap tidak ada pimpinan di Selangor yang mengambil pendekatan berbeza ini," katanya hari ini.
Pemimpin utama PAS pada Ahad lalu, berhimpun di Stadium Melawati, Shah Alam bagi menunaikan solat hajat dan menyatakan sokongan penuh mereka terhadap kerajaan negeri Selangor.
"Majlis ini dianjurkan oleh pimpinan PAS untuk menyatakan kita akan bersama dengan rakan Pakatan Rakyat dalam sebarang cabaran dan penentangan BN.
“Kepada siapa sahaja rakan kita yang disentuh samada PAS, PKR dan DAP, kita akan bersama dalam hadapi segala cabaran. Pakatan Rakyat makin hari makin kuat. Ini kenyataan terbuka yang kita nyatakan secara praktikal pada malam ini," kata Hadi dalam perhimpunan besar-besaran itu.
Hari ini pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Hassan Mohamad Ali dilaporkan mengeluarkan kenyataan yang antara lain berkata, beliau boleh bekerja dengan setiausaha kerajaan negeri Selangor yang dilantik kerajaan Pusat iaitu Datuk Khusrin Narawi kerana beliau pernah bekerja dengan kerajaan.
Hassan juga memberikan amaran kepada kerajaan negeri Selangor supaya tidak menyerang Khusrin secara peribadi kerana "ia tidak adil dan boleh menimbulkan masalah dengan 28,000 kakitangan kerajaan yang ada."
"Jika mereka buat piket, kita akan bermasalah," kata Hassan./Malaysiakini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan