Meja Bulat telah putuskan Pakatan Harapan (PH) adalah gabungan Pembangkang yang baru menggantikan Pakatan Rakyat (PR). Parti Keadilan juga di dalam mesyuarat MPPnya sebanyak dua kali telah mengesahkan kewujudan PH.
P.Pinang di bawah Dap telah merealisasikan kehendak tersebut apabila mengistiharkan P.Pinang adalah negeri di bawah Pakatan Harapan, iaitu di bawah Dap, Keadilan dan Amanah. Selangor masih berdiam diri dan beberapa desakan telah dibuat agar Azmin segera melaksanakannya walaupun tiada arahan khusus dari PH atau Keadilan sendiri untuk berbuat demikian. Sewajarnya Azmin selaku MB dan juga Timbalan Presiden Keadilan bijak membaca kehendak akar umbi. Jika beliau gagal melaksanakannya, aku yakin Azmin akan mendapat masalah besar di dalam mempertahankan kerjaya politiknya dan lebih malang lagi jangka hayat Selangor di bawah PH mungkin sukar untuk dipertahankan.
Justeru itu, Azmin perlu bijak menangani isu ini. Mewujudkan PH di Selangor tidak semestinya membuang Pas begitu saja. Selangor perlu dilihat diwakili oleh Keadilan, Dap dan Amanah, manakala Pas boleh saja meneruskan peranan parti tersebut selagi PH dan Keadilan tidak memutuskan hubungan dengan parti berkenaan.
PRU 14 tidak dijangka akan diadakan dua tahun atau lebih. Di dalam situasi Najib selaku PM dan Presiden Umno sekarang berada di dalam keadaan amat kritikal, PRU14 bila-bila masa saja akan diadakan dan mungkin diadakan serentak dengan PRN Sarawak. Jika ini berlaku, PH tidak banyak masa untuk bersatu dan saling bekerjasama. Jika Pas dan PSM merasakan mahu terlibat di dalam menentukan kejatuhan rejim di dalam kerjasama ini, ruang masih terbuka untuk kedua-dua parti ini.
Semoga Azmin tidak dilihat cuba melambat-lambatkan kerjasama baik ini.