JOM MASUK AHLI

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

DENGARKAN KOBAT FM ONLINE

Isnin, 18 Februari 2019

KEMASUKAN BEKAS MP UMNO KE DALAM BERSATU TIDAK SAMA DENGAN PH MENERIMA MAHATHIR DULU



Menerima kemasukan ramai bekas MP Unmo ke dalam Bersatu, tidak sama dengan PH terima Mahathir dulu.  Mahathir dulu pun tidak mudah mahu masuk PH, walaupun dia lawan Najib lama selepas PRU13.  Mengapa?

Sebab, waktu itu Mahathir kata dia hanya mahu jatuhkan Najib saja.  Dia masa tu masih sayangkan Umno.  Maka, PH tidak berselera untuk mengutip Mahathir, cuma PH tumpang guna peluru yang Mahathir guna 'tembak' Najib.  Mahathir hanya bergerak secara kelompok dengan beberapa orang saja untuk melawan Najib.  Najib pun tidak hairan dengan Mahathir kerana dia tahu walaupun Mahathir orang yang ada pengaruh, tetapi pengaruh "Cash is King" lebih power dari Mahathir.  

Mahathir cuba juga untuk lebih 'garang' menyerang Najib.  Dia wujudkan 'deklarasi rakyat' untuk kempen kutip tandatangan bagi mendesak Najib letak jawatan.  Tidak sampai sejuta berjaya dikumpulkan tandatangandi kalangan rakyat, dan Najib masih boleh 'jentik-jentik' telinga Mahathir ketika itu.  PH masih enggan terlibat dengan "deklarasi rakyat" kerana melihatkan Mahathir masih konsisten hanya untuk jatuhkan Najib semata-mata, sedangkan PH punya misi lebih besar iaitu rejim Umno/Bn mesti diturunkan dari Putrajaya.  Hanya dua tiga orang dari pimpinan PH secara indvidu menyokong 'deklarasi rakyat' tajaan Mahathir itu.

Akhirnya, menyedari beliau tidak boleh menentang Najib secara bersendirian, maka Mahathir tubuhkan parti baru bernama PPBM atau Bersatu.  Bersatu juga tidak mampu berdepan dengan Najib, jauh sekali untuk menjatuhkan Umno/Bn.  Mahathir sedar, suka atau tidak, beliau harus melupakan hasratnya untuk hanya menjatuhkan Najib semata-mata tetapi mesti bersama PH untuk menumbangkan Umno/Bn.  Maka, Mahathir pun membawa Bersatu untuk memohon menyertai PH. 

Di dalam proses penerimaan Bersatu untuk menyertai PH tidak semudah itu.  PH menghadapi tentangan yang agak hebat dari dalaman kerana semua parti di dalam PH iaitu PKR, Dap dan Amanah masing-masing ada kisah pahit dengan Mahathir.  Tidak semudah itu untuk menerima Mahathir dan Bersatu.  Mahathir sedar hal ini dan beliau tabah menghadapinya dan sanggup untuk berdepan dengan kumpulan dari dalaman PH yang tidak selesa beliau bersama PH.  Mahathir dengan beraninya hadir di dalam Konvensyen Reformis yang terdiri dari otai-otai Reformasi yang rata-ratanya menolak Mahathir untuk berada di dalam saf PH.  Di hadapan ribuan para reformis di Konvensyen di Selangor tersebut, Mahathir tampil berucap.  Di dalam ucapan nya yang sesekali terdengar riuhan segelintir reformis yang mengejeknya, Mahathir dengan tenang menyatakan bahawa Umno/Bn wajib dijatuhkan.  Buat pertama kalinya Mahathir tidak lagi menyebut hanya nama Najib. Beliau juga kerap turun di dalam demontrasi anjuran Pembangkang waktu itu.  Sanggup berhujan panas dan berdiri berjam-jam lamanya di tengah puluhan ribu pendemo

Selepas itu, ramai yang merasa lega kerana Mahathir telah menampakkan kesungguhan untuk bersama-sama menjatuhkan Umno/Bn.  Permohonan maaf dari Mahathir kepada semua dan ucapan terima kasihnya kepada Anwar dan keluaga kerana menerima Bersatu berada di dalam PH telah meyakinkan ramai orang bahawa Mahathir kini layak untuk bersama PH.  

Rengkasnya, tidak mudah untuk Mahathir diterima ke dalam PH.  Beliau telah diuji sekian lamanya untuk membuktikan keikhlasannya bagi menjatuhkan Umno/Bn.  Oleh itu, menyamakan kemasukan beberapa bekas MP Umno ke dalam Bersatu dan PH sama seperti PH menerima Mahathir adalah satu perbandingan yang tidak tepat.  Bekas-bekas MP Umno ini tidak diuji sekian lama, mereka hanya berada di luar Umno untuk beberapa minggu sahaja kemudian diterima menyertai Bersatu.  Mereka tidak turun membantu kempen kita di PRK Cameron Highland, bagaimana mereka mahu tunjukkan komitmen mereka kepada Bersatu atau PH?

Justeru itu, wajarlah sesiapa pun mempertikaikan Bersatu menerima kesemua bekas MP Umno ini.  Mereka mahu Bersatu kuat dan kukuh tetapi bukan dengan cara semudah ini.  PH bimbang Bersatu akan dijangkiti 'virus' Umno yang dibawa oleh mereka ini.  Mereka belum benar-benar nampak pulih dan tubuh mereka masih terbau tengit Umno nya lagi.