JOM MASUK AHLI

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

DENGARKAN KOBAT FM ONLINE

Khamis, 6 Januari 2011

KSN PUNCA KEJATUHAN IMEJ DAN MORAL DATUK KHUSRIN

Oleh: WFAUZDIN NS

SAYA percaya apa yang diperkatakan oleh MB Selangor bahawa kenyataan terbaru yang dikeluarkan oleh Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Muhamad Munir berkaitan isu perlantikan SUK Selangor adalah pandangan peribadi beliau sahaja. Sebelum ini, Setiausaha Sulit Sultan Selangor di dalam kenyataan medianya menyebut bahawa perbincangan di antara MB Selangor dengan JPA atau SPA berkaitan isu perlantikan SUK Selangor setelah SUK dilantik tidak wajar dan menjatuhkan kredibiliti calon yang telah dilantik.

Persoalannya, siapakah yang memulakan semua ini sehingga dianggap penolakan SUK Selangor Datuk Khusrin oleh Kerajaan Negeri Selangor sebagai menjatuhkan kredibiliti beliau? Hakikatnya, Datuk Khusrin telah dipilih oleh KSN untuk menjadi SUK Selangor yang baru tanpa dibawa berbincang terlebih dahulu dengan MB Selangor. KSN sepatutnya bertindak profesional dan penuh integriti serta beradab dengan Kerajaan Negeri Selangor walaupun Selangor kini ditadbir oleh PR.

Apa yang berlaku, KSN melangkau Pejabat MB Selangor dan terus menapak ke Istana Selangor bagi mempersembahkan nama calon yang dipilih. Tindakan ini lah yang kita anggap sebagai satu tindakan tidak bermoral dan tidak beretika samasekali. Usah kecoh dengan peraturan atau undang-undang bila membicarakan soal moral kerana integriti dan moral ini lebih tinggi dari undang-undang. Mungkin kaedahnya mematuhi undang-undang tetapi dari segi moral dan adab caranya menjijikkan.

KSN sebenarnya yang telah merosakkan imej dan moral Datuk Khusrin. Datuk Khusrin pula sanggup di`kambing hitam'kan walaupun beliau lebih arif tentang adab kesopanan lebih-lebih lagi beliau adalah bekas Pengarah JAIS. Lebih memalukan, Datuk Khusrin sanggup `menonggok' di atas kerusi KSU Selangor walaupun beliau tahu situasi yang berlaku.

Mengapa Setiausaha Sulit Sultan Selangor tidak menegur KSN yang membelakangkan MB Selangor di dalam perlantikan KSU ini? Umpama pasangan bergu badminton, memang jurulatih punya kuasa mencatur pasangan yang difikirkan sesuai, tetapi jurulatih yang bijak akan bertanya terlebih dahulu kepada pemain terlebih dahulu adakah beliau serasi atau boleh bermain dengan baik dengan pasangan yang ditetapkan oleh jurulatih tersebut. Kecuali, jurulatih berkenaan sememangnya berniat jahat atau ingin melakukan sabotaj terhadap pasangan bergu berkenaan.

Saya mengucapkan syabas kepada MB Selangor yang setakat ini berusaha untuk menyelamatkan Negeri Selangor dari di`perlekeh'kan atau diperbudakkan. Kita harus terus menyokong usaha beliau ini kerana jika perkara sedemikian dibiarkan berlaku, tidak mustahil akan banyak lagi camportangan yang tidak wajar akan berlaku bagi mengganggu pentadbiran Kerajaan Negeri./wfauzdin.blogspot.com

Gobind: Kecederaan Pada leher Teoh Beng Hock Perlu Penjelasan

05/01/2011


SHAH ALAM 5 DIS: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapat tamparan hebat hari ini apabila Koroner Mahkamah Shah Alam, Azmil Muntapha Abas mengesahkan terdapat kecederaan di bahagian leher mendiang Teoh Beng Hock ketika beliau ditemui mati 16 Julai 2009.

Justeru peguam Gobind Singh Deo mendesak SPRM menjelaskan kepada negara bagaimana seorang saksi kes rasuah mati ketika dalam tahanan SPRM dua tahun lalu. "Pada saya ini adalah keputusan yang positif untuk kita kerana ia membuktikan teori kami bahawa memang Teoh Beng Hock ketika di SPRM tercedera di bahagian leher. Sehingga sekarang pihak SPRM menafikan bahawa sebarang kekerasan digunakan. "Saya tidak tunjuk jari kepada sesiapa, tapi saya rasa keputusan ini meletakkan beban kepada SPRM untuk jawab, bagaimana boleh dikatakan seorang yang masuk dalam SPRM tanpa sebarang kecederaan, tidak keluar dari SPRM dan jatuh tetapi ada kecederaan di bahagian leher," ujar beliau kepada media.

Mahkamah Shah Alam petang tadi mengumumkan keputusan “terbuka” mengenai punca kematian Teoh Beng Hock justeru menolak teori bahawa beliau dibunuh atau membunuh diri. Menurutnya lagi, punca utama kematian dikenalpasti dengan terdapat kecederaan serius pada leher mangsa akibat jatuh dari tempat tinggi dan masa kematian adalah di antara 7.15 pagi hingga 11.15 pagi di tingkat 5, Plaza Masalam, Shah Alam.

Gobind yang juga Ahli Parlimen Puchong ketika ditemui media di perkarangan mahkamah menyifatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak melaksanakan tugas dengan rapi berhubung kes tersebut sehingga memaksa mahkamah menentukan kecederaan yang ditemui pada Teo sebelum beliau ditemui mati. Beliau turut menyalahkan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail yang memperlekeh sistem keadilan di negara ini dengan tahap siasatan kurang memuaskan sehingga mahkamah tidak dapat mencari pihak yang harus dipertanggungjawabkan atas kematian pembantu Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah itu.

"Saya mahu minta Peguam Negara jawab, adakah kamu selesa dengan tahap siasatan dalam kes ini di mana semua pegawai mengatakan tidak tahu tidak tahu, tiada siasatan, tiada arahan, tidak tahu dan tidak tahu. Adakah ini jenis sistem keadilan yang kita ada sekarang dan adakah kita terima sistem sebegini. "Satu tahun kita lawan tapi hari ini tiada keputusan. Cuba bayangkan bagaimana perasaan keluarga. Walhal apa yang berlaku mahkamah menerima memang ada kecederaan tapi tidak ada bukti yang mencukupi untuk menunjukkan bagaimana kecederaan itu berlaku," kata Gobind.

Menurutnya, beliau dan pihak pendakwaraya akan membuat permohonan supaya kes kematian misteri Teoh Beng Hock dibawa ke mahkamah tinggi untuk disemak semula. Sementara itu, keluarga Teoh yang tidak boleh menerima keputusan itu menuntut agar ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kemungkinan yang membawa kepada kematian Teoh termasuk dakwaan dia dipaksa terjun dari tempat tinggi. Inkues yang dijadualkan selesai dalam masa sebulan berlarutan sehingga 4 November lalu, di mana koroner mendengar keterangan daripada 37 saksi termasuk 12 pakar.

Sementara itu, keluarga Beng Hock yang tidak boleh menerima keputusan itu menuntut agar ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kemungkinan yang membawa kepada kematian Teoh termasuk dakwaan dia dipaksa terjun dari tempat tinggi. Inkues yang dijadualkan selesai dalam masa sebulan, akhirnya berlarutan sehingga lebih setahun./TVNews

CACING KEPANASAN

Mohd Rashidi Hasan
Harakahdaily.net


KERAJAAN Negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat, dengan jelas mengambil sikap menolak pelantikan Dato' Mohammed Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru.

Khusrin ditolak kerana, sejak menjadi Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, beliau memang sengaja mencari pasal untuk menyusahkan PAS, KeADILan dan DAP, dengan pelbagai alasan.

Alasan yang sering disebut-sebut beliau, khususnya dalam soal agama di Selangor, ialah inilah 'titah tuanku' (titah Sultan Selangor). Terlalu banyak larangan yang beliau nyatakan, sama ada secara kenyataan atau bertulis.

Sama ada betul atau tidak ianya titah Sultan, memang susah hendak disahkan. Sama ada ia rasional atau tidak, itu Khusrin tidak peduli asalkan 'hasrat beliau' tercapai.

Sebagai rekod untuk memudahkan pemahaman pembaca Khusrin sebelum ini adalah bekas Setiausaha Sulit kepada Menteri Besar, Tan Sri Mohamad Mohd Taib.

Jika latar belakang sudah menjadi SU Sulit MB dari Umno, dan berdasarkan banyak tindakannya dalam Jais menindas PAS khususnya, bermakna, Khusrin adalah spesies Umno tegar.

Sebab itu Khusrin tidak peduli soal Kerajaan Pakatan Rakyat tidak menerimanya sebagai SUK, kerana tuannya adalah Kerajaan Pusat Umno-BN.

Justeru pelantikannya ke jawatan SUK, tidak dapat ditolak, ianya adalah bermotifkan, bertujuan politik untuk kepentingan Umno-BN.

Maka Pakatan Rakyat yang ditunjangi tiga parti PAS, KeADILan dan DAP, tidak ada pilihan lain. Mereka mesti bekerjasama sepenuhnya bagi menyekat balaci Umno ini dalam kerajaan.

Berdasarkan 'track record', Khusrin bukan sahaja menjadi alat, malah menjadi 'key player' Umno-BN untuk merosakkan imej Kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat.

Soal beliau lompat jawatan dari gred Jusa C, terus naik ke Jusa A dengan mengetepikan penjawat gred Jusa B, biar pegawai kerajaan sendiri menilai ketidakadilan yang dilakukan.

Jelas, kenaikan pangkat secara mendadak Khusrin, dibuat semata-mata untuk kepentingan politik Umno-BN.

Amalan ini bukan baru, dalam soal institusi kehakiman misalnya, banyak hakim-hakim junior dinaiktaraf secara mendadak, akibat kedangkalan politik pemimpin Umno-BN.

Justeru, dalam soal Khusrin ini, biarpun beratus kali beliau menafikan menjadi alat Umno-BN, tetapi jelas pada tindakannya semasa menjadi Pengarah Jais, semuanya dibuat mengikut kehendak politik Umno.

Namun, beberapa persoalan besar sudah terungkai selepas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengadap Sultan Selangor.

Di mana Sultan dilaporkan bertitah, bahawa baginda tidak ada kuasa menerima atau menolak pelantikan seseorang ke jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri, kerana kuasa baginda sudah dicabut dalam pindaan Perlembagaan 1993.

Seolah-olahnya ia berbentuk keluhan Sultan, betapa di dalam negeri di bawah naungannya, kuasa baginda terbatas. Keterbatasan itu wujud, akibat kerakusan pemimpin Umno-BN juga.

Oleh itu kenyataan awal Dato' Munir Bani sebelum ini, bahawa Sultan sudah memperkenankan pelantikan Khusrin, ternyata tidak berasas sama sekali.

Ianya mengundang persepsi dan menguatkan hujah bahawa, wujudnya tangan-tangan ghaib dalang Umno-BN, yang membuat onar, semata-mata untuk mensabotaj Pakatan Rakyat.

Persoalan besar yang tercetus berikutan pertemuan MB dengan Sultan ialah, hari ini rakyat Selangor baru tahu, betapa rakusnya ketamakan kuasa Umno-BN, sehingga habis kuasa Sultan dicabut.

Sehingga dalam isu pelantikan SUK ini, berdasarkan pindaan Perlembagaan 1993, bermakna Sultan harus menerima siapa sahaja yang dilantik. Dalam ertikata lain, Sultan terpaksa akur dengan telunjuk Umno.

Hebatnya kuasa Umno sehingga mengatasi kuasa Sultan! Ini baru dalam satu perkara, entah berapa banyak lagi yang rakyat tidak ketahui, betapa besarnya kuasa Umno-BN.

Rakyat sebenarnya tidak sedar, dengan Pindaan Perlembagaan 1993, kuasa sebenar, ada kepada Perdana Menteri dan Menteri-Menteri Besar.

Terma yang digunakan dari sudut perundangan agak lunak. Iaitu, Yang di-Pertuan Agong atau Sultan hendaklah bertindak 'di atas nasihat' PM atau MB. Walhal, hakikat sebenarnya dari sudut Perlembagaan, sama ada Yang di-Pertuan Agong atau Sultan berkenaan atau tidak, ianya tetap akan menjadi peraturan dan ketetapan.

Semua ini berlaku kerana kehendak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang juga Presiden Umno ketika itu, melalui ketetapan Perhimpunan Agung Umno tahun 1993, seterusnya dibawa ke Parlimen.

Oleh kerana itu tiada sebab orang-orang Umno hendak 'memekik melolong' dengan pekikan 'Daulat Tuanku', sedangkan pemimpin mereka, parti mereka yang mereka sokong, mencabut habis kekebalan Raja-Raja Melayu.

Tiada sebab untuk media talibarut Umno-BN untuk menuduh pemimpin Pakatan Rakyat tidak menghormati Raja, sedangkan mereka juga yang 'menelanjangkan kehormatan' Raja-Raja Melayu.

Tidak ada sebab juga pada waktu ini, Umno dan media talibarut, memberikan sepenuh sokongan kepada Khusrin, kononnya mendapat perkenan Raja, kononnya begitu marah terhadap golongan yang tidak menghormati Raja.

Malah mereka sering memainkan agenda ketuanan Melayu, agenda kedaulatan Raja, juga mereka kononnya parti yang mendaulatkan agama Islam di Malaysia.

Umno-BN merosakkan ketuanan Melayu dengan pelbagai dasar rasuah, kronisme dan nepotisme selama lebih 50 tahun, sehingga bilangan kependudukan Melayu menyusut, membiarkan ramai Melayu miskin. Kini mahu mendakwa mereka juara mempertahan hak istimewa Melayu?

Mereka sebenarnya yang 'menelanjangkan' kuasa Raja-Raja Melayu, kini cuba bermain wayang bahawa merekalah 'hulubalang' yang mempertahankan Raja.

Umno-BN sebenarnya yang menghalang perkembangan Islam dalam negara, menempelak dan menghina peraturan Islam di Kelantan dan Terengganu (semasa PAS memerintah), mempergunakan orang seperti Khusrin untuk menyekat pemimpin PAS menyampaikan kuliah di surau dan masjid. Kini mereka hendak mendakwa mereka mempertahankan kesucian Islam?

Si bodoh mana hendak percaya lawak semacam ini? Si bodoh mana yang hendak mempercayai kesucian dan keikhlasan pemimpin Umno dalam soal masa depan orang Melayu, soal kedaulatan Raja dan pemartaban agama Islam?

Ingat pesanan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, jika semua keikhlasan ini wujud dalam hati pemimpin Umno, sudah lama PAS dibubar, tidak perlu wujud PAS.

Berbalik kepada soal krisis di Selangor. Pakatan Rakyat mahu Umno-BN berkompromi dalam isu pelantikan SUK. Jangan lantik Khusrin, biar satu panel pemilihan dibuat secara bebas. Tetapi nampaknya Umno-BN berkeras.

Oleh kerana itu Pakatan Rakyat tiada pilihan lain selain meminda Perlembagaan Negeri. Usaha Pakatan Rakyat untuk memanggil sidang khas untuk mengembalikan kuasa pelantikan SUK kepada Sultan dan MB harus disokong semua rakyat.

Pindaan tersebut sudah tentunya akan memerlukan sokongan dua pertiga dari anggota Dewan Undangan Negeri Selangor.

Oleh kerana Pakatan Rakyat tidak mempunyai dua pertiga daripada 56 kerusi Dun Selangor, maka usaha pindaan ini harus mendapat sokongan Adun Umno-BN jika hendak diluluskan.

Maka sekarang ini, rakyat Selangor ternanti-nanti, apakah Adun Umno-BN akan menyokong usaha mengembalikan kuasa Sultan Selangor.

Dalam hal ini Umno-BN Selangor sendiri yang akan tersepit, jika mereka menentang pindaan, bermakna mereka menghina Sultan, jika mereka menyokong, ia bertentangan dengan kehendak Umno-BN Pusat.

Jelas, keengganan Umno-BN menghormati kerajaan pimpinan Khalid Ibrahim, mempertahankan Khusrin dan keengganan mereka berkompromi, merupakan suatu 'back-fire' kepada mereka.

Jangan sesiapa pedulikan Khusrin di pejabat SUK, dia memang jenis 'muka tebal'. Biar dia macam 'cacing kepanasan', biar dia macam 'kupang tembaga', biarpun dia terus tersengih macam 'kerang busuk', Khusrin tidak harus ada tempat dalam kerajaan negeri.

SETUJU, SIASAT ANWAR, NAJIB, RAIS, PEGUAM NEGARA DAN RAMAI LAGI...

Utusan Malaysia melaporkan kenyataan Presiden Persatuan Peguam Negara (PPMM), Zainul Rijal Abu Bakar, yang mengatakan bahawa Pengerusi DAP, Karpal Singh wajar disiasat berkaitan pengakuannya pada 1997 bahawa beliau mempunyai bukti mengenai salah laku seks Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Utusan sebagai memetik kenyataan presiden persatuan itu menegaskan bahawa siasatan lanjut harus dibuat terhadap dakwaan Karpal itu bagi menjamin keadilan sebenar dapat ditegakkan.

Kalau dilihat kenyataan Karpal Singh yang dimaksudkan oleh Utusan ini sudah begitu lama, iaitu pada tahun 1997, kira-kira lebih 13 tahun dahulu. Dalam hal ini pendapat peribadi ReJaM© bersetuju jika pihak kerajaan ataupun mana-mana pihak berkaitan ingin menyiasat kes ini dan bertanya kepada Karpal tentang bukti yang dimaksudkannya. Sekiranya benar Anwar Ibrahim bersalah, maka beliau harus dihukum! Rakyat juga tidak perlu lagi menyokong pesalah seks begini.

Kes 1997 yang sudah begitu lama mahu disiasat, jadi kes 2007 apatah lagi bukan? Kes yang masih panas ini dengan bukti siasatan sebuah badan NGO luar negara (Migrant Care) seharusnya juga disiasat! Wajib disiasat! Menteri yang didakwa merogol pembantu rumah Indonesianya harus diheret ke muka pengadilan!

Jangan lupa juga kes pembunuhan Altantuya yang didedahkan oleh akhbar Perancis Libration dan Wikileaks, kes ini juga harus disiasat. Semua pemimpin yang korup, yang penuh dengan skandal, tidak kira dari Parti Kerajaan atau Parti Pembangkang wajib disiasat!

Presiden Persatuan Peguam Malaysia jangan hanya menyalak dan berlakon untuk menyiasat kes-kes yang melibatkan pemimpin pembangkang sahaja. Tapi pemimpin kedua-dua parti wajib disiasat sekiranya terdapat bukti dan pendedahan. Macam itu barulah dinamakan negara Hukum! Negara bertamadun!

Source: Karpal Singh ada bukti salah laku seks Anwar? - MiLo SuaMhttp://milosuam.blogspot.com/2011/01/karpal-singh-ada-bukti-salah-laku-seks.html#ixzz1A5g2mUda

KERAJAAN PERPADUAN - TULANG BESI WAS-WAS, TAPI SAYA YAKIN

Oleh: WFAUZDIN NS

ADA teman yang beranggapan saya begitu `ekstrim' menolak UG atau Kerajaan Perpaduan yang dahulunya panas diperkatakan sehinggalah isu itu dimatikan di dalam Muktamar PAS yang lalu. Baru-baru ini muncul kembali dakwaan UG itu masih wujud apabila dipertemukan pemimpin besar PAS dan Umno di Istana KL.

Apabila isu ini seperti dihangatkan semula, Mursyidul Am PAS dan Presiden PAS tampil untuk menenangkan keadaan. Mursyidul Am di dalam kenyataannya menyebut beliau tidak dapat mendedahkan butiran perjumpaan tersebut kerana dianggap menyalahi adab kepada Ke Bawah Duli Tuanku. Presiden PAS pula menyebut, jangan mana-mana pihak cuba untuk mempolitikkan Istana dan membuat spekulasi yang tidak benar.

Apabila saya membaca tulisan Tulang Besi (Blog MalaysiaWaves), saya tidak bersetuju apabila beliau menyebut isu UG ini tidak dinafikan oleh Mursyidul Am Pas sebagai menggambarkan perbincangan di Istana itu ada kaitan dengan UG. Saya faham benar bahawa Tulang Besi juga seperti saya yang teramat benci jika disebut tentang UG, begitu juga dengan ramai rakan yang lain. Bagi saya, walaupun Mursyidul Am atau Presiden tidak menafikan di dalam kenyataannya bahawa isu UG ini dibincangkan, tetapi kedua-dua tokoh ini juga tidak mengiyakan bahawa ada perbincangan tentang UG.

Tidak salah jika kita ambil satu pendekatan yang lebih bijak sejajar dengan nasihat oleh Mursyidul Am Tuan Guru Nik Aziz yang menyebut, " Saya menyeru semua pihak sama ada media atau mana-mana individu supaya tidak membuat andaian yang tidak menentu dan berharap dapat menghentikan sebarang kenyataan yang tidak tepat demi menjaga kehormatan dan nama baik pihak istana." (Kenyataan Media Mursyidul Am PAS).

Saya juga menyebut isu ini di dalam beberapa tulisan saya dan saya memohon agar pimpinan PAS dapat memberikan penjelasan. Setelah penjelasan ini diberikan, maka saya percaya kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Mursyidul Am dan juga Presiden PAS sendiri dan bagi saya muktamadnya, PAS tiada hati lagi untuk bersama Umno atas dasar Kerajaan Perpaduan. Saya tidak mampu membaca apa yang tersirat dihati kedua-dua tokoh besar PAS itu.

Saya hanya melihat kepada realiti di depan mata di mana sejurus selesai Konvensyen PR baru-baru ini, saya telah menyaksikan hubungan PAS, PKR dan DAP semakin serasi. Mana mungkin disaat DAP telah mula `bermesra' dengan isu Negara Islam yang diimpikan oleh PAS, tiba-tiba PAS mahu menoleh kepada Umno yang semakin lama semakin dibenci oleh rakyat sekarang. Mustahil PAS bersikap sedemikian.

Kalau lah mahu percaya atau yakin juga bahawa isu UG ini sememangnya ada disebut di dalam perjumpaan itu, tidak mustahil ianya dimulakan oleh Presiden Umno dan ditolak oleh Mursyidul Am PAS dan Presiden di dalam pertemuan tersebut. Tidak mustahil bukan? Dan ianya tidak disebut oleh kedua-dua pimpinan PAS semasa sidang akhbar adalah kerana untuk menjaga hati DYMM Tuanku dan juga Presiden Umno.

Apa pun, yang pentingnya eloklah kita yakin dan percaya kepada kedua-dua pimpinan kita ini. Apa yang kita mahu tahu telah dijawab, maka cukuplah sampai di sini./wfauzdin.blogspot.com

Rabu, 5 Januari 2011

KARAM SINGH WALIA BERCAKAP KURANG AJAR

Oleh: WFAUZDIN NS

BARU-baru ini kecoh pasal seorang Wartawan TV yang suka berpantun, Karam Singh Walia dikatakan menghina kaum Melayu ketika beliau mabuk. Isu tersebut membawa kepada tindakan Stesyen TV Swasta di tempatnya bertugas memanggilnya untuk disiasat.

Semalam akhbar Kosmo melaporkan, Karam Singh menafikan beliau mabuk serta menghina kaum Melayu. Apa yang berlaku, beliau cuma menegur sekumpulan remaja yang meletakkan motosikal berhadapan sebuah restoren. "Saya marah mereka dan mengatakan 'letak motosikal tidak pakai otak, bodoh punya orang'. Saya ulangi perkataan yang sama selepas duduk di dalam restoran sambil memesan makanan," katanya.

Jika begitulah apa yang dituturkan oleh Karam Singh yang hebat berpantun itu, kalau saya berada di situ pun akan turut merasa marah kepadanya. Apakah beliau tidak mempunyai sedikitpun budi bahasa untuk menegur seseorang? Sebagai seorang wartawan terkenal yang sering dapat trophi, adakah beliau sudah merasa begitu sombong? Di mana kehebatan seni pantunnya? Menggelar orang lain dengan perkataan `bodoh' atau `tidak pakai otak' bukan budaya yang patut diberi contoh oleh Wartawan TV seperti beliau.

Sepatutnya beliau sebagai orang yang ada nama, bekerja dengan Stesen TV, beliau seharusnya menunjukkan contoh budi bahasa yang baik. Beliau masih bernasib baik kerana tidak di apa-apakan oleh sekumpulan remaja tersebut. Ini satu pengajaran buat beliau./wfauzdin.blogspot.com

PRK DUN TENANG - PKR TURUN HABIS-HABISAN

PKR akan dedah pembohongan


LABIS - PKR akan berlawan habis-habisan di dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang dan berusaha menurunkan majoriti jika Barisan Nasional (BN) menang.

Anggota Majlis Tertinggi PKR, Datuk Seri Chua Jui Meng berkata, parti itu telah menyusun gerakan untuk menghadapi PRK di DUN Tenang ini termasuk memberitahu pemimpin India di Johor untuk bekerja kuat.

“Bagi kaum Melayu, kita serahkan kepada Pas bagaimana cara mereka untuk menaikkan lagi undi orang Melayu dan kita tidak takut dalam menghadapi PRK di DUN Tenang ini,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini, lebih kurang 55 peratus kaum Cina merupakan pengundi bagi calon Pas dan India 45 peratus.

Ini juga dapat dilihat dengan jelas selepas penurunan majoriti pada tahun 2008 yang lalu.

“Di dalam kawasan DUN Tenang ini, terdapat juga beberapa kawasan Cina yang kita jaga dan dengan hasil kerja kuat, kita berharap dapat menang di kawasan kita. Kita lihat ada yang sudah bermain kotor dengan mengeluarkan risalah dan buku kecil yang mana kebanyakannya memainkan isu perkauman.

“Ini tertulis di dalam buku kecil yang mana ditujukan untuk menguasai minda orang Felda dan sekitar DUN Tenang ini dengan tertulis “DAP anti Islam”. DAP tidak pernah tentang Islam dan sentiasa menghormati orang Islam seperti mana di Pulau Pinang. Kita akan mendedahkan semua pembohongan itu suatu masa nanti,” katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Hal Ehwal Orang India PKR Johor, Mark Mathew berkata, mereka telah turun padang dua minggu lepas lagi untuk membincangkan masalah kaum India yang masih banyak belum diselesaikan.

“PKR Johor telah banyak membuat kerja dan telah banyak kaum India di Johor yang kita bantu. Seperti terdapat sebuah sekolah meminta jalan masuk sekolah dan tidak jauh hanya dalam 300 hingga 400 meter sahaja, namun jalan itu hanya diletakkan batu dan masih tidak berturap.

“Persoalannya adakah jalan itu akan terus seperti itu jika tiada PRK? Kita janji dengan orang Labis kalau menang di Johor, kita akan menjaga mereka seperti di Selangor dan Pulau Pinang,” katanya pada sidang media di sini, semalam./Sinar