JOM MASUK AHLI

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

DENGARKAN KOBAT FM ONLINE

Isnin, 31 Ogos 2009

Kepala lembu: Penerusan agenda Utusan Malaysia

Setelah sekian lama Utusan Malaysia mengasak isu perkauman, akhirnya lahirlah apa yang berlaku di Shah Alam selepas sembahyang Jumaat semalam, apabila sekumpulan umat Melayu membawa kepala lembu ke pejabat SUK Selangor.

Anggota Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkifli Ahmad menyifatkan apa yang berlaku itu adalah penerusan dari siri-siri laporan dan tulisan dari akhbar berkenaan yang bersifat berkauman.

Bagi beliau, apa yang berlaku juga akibat dari pengaruh akhbar Umno itu terhadap pembaca mereka khasnya di kalangan ahli Umno yang memiliki akhbar berkenaan.

Dr Dzul mengulas tindakan sekumpulan yang memperkenalkan diri mereka sebagai penduduk Seksyen 23 Shah Alam yang membantah keputusan kerajaan negeri memindahkan sebuah kuil Hindu di Seksyen 19 ke Seksyen 23, kawasan kejiranan mereka.

Mereka telah membuat demostrasi dengan membawa kepala lembu yang masih berdarah dan diletak di depan pintu pagar pejabat Sultan Salahudin yang menempatkan pejabat SUK dan MB Selangor.

Tindakan mereka ini dikira satu penghinaan kepada orang Hindu yang menjadikan lembu sebagai tuhan mereka.

Seorang pembaca The Malaysian Insider menyifatkan langkah ini bertentangan dengan Islam kerana Islam melarang mana-mana umatnya menghina tuhan-tuhan orang lain kerana dibimbangi mereka akan membalasnya dengan menghina tuhan orang Islam iaitu Allah.

Bagi Dr Dzul yang juga AJK PAS Pusat, mereka hanya menyambung apa yang telah disiar dan ditulis dalam akhbar mereka sahaja.

Sejak kebelakangan ini, akhbar berkenaan banyak menyiarkan tulisan yang disifatkan sebagai bersifat perkauman dan dilihat cuba membangkitkan semangat Melayu.

Antaranya tulisan bertajuk "Sedarlahh wahai Melayu" dan sebagainya. Penulis akhbar itu membayangkan seolah-olah Melayu dalam tertekan. Padahal, bagi kebanyakan pemimpin Pakatan, bukan Melayu yang tertekan tetapi Umno.

Atas sebab itulah pelbagai usaha dibuat untuk menarik PAS bersama mereka atas kepentingan Melayu dan Islam. Namun, ianya ditolak oleh PAS.

Sebahagian penyokong dan ahli PAS juga dikatakan ada yang terpengaruh dengan pendekatan perkauman dan agama sempit di Seksyen 23 Shah Alam ini. Atas dasar itulah juga dikatakan ada yang mengaku ahli PAS menyokong tindakan itu.

Sebelum ini, anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Samad memaklumkan, pihaknya akan membuat dialog dengan penduduk Seksyen 23 tentang rancangan kerajaan negeri Selangor itu.

Menurutnya, apa yang berlaku adalah, Kuil Mariaman di Seksyen 19 itu dibina di atas tanah PKNS berhampiran dengan rumah penduduk di situ. Ia menyebabkan sering berlaku kesesakan di situ dan menyusahkan banyak pihak.

"Mereka telah 25 tahun membuat bantahan," kata Khalid.

Atas dasar itu, kerajaan negeri dengan persetujuan JK Kuil telah bersetuju memindahkan kuil itu ke seksyen 23 untuk kegunaan penganut Hindu di situ serta Seksyen 19 dan 20.

Tanah tapak industri milik PKNS di Seksyen 23 Shah Alam telah dipilih oleh kerajaan sebagai tapak baru kuil itu. Majlis Bandaraya Shah Alam juga telah bersetuju mengenainya.

"Selepas semua pihak setuju, barulah kita akan bincang dan terangkan kepada penduduk," kata Khalid yang juga YDP PAS Shah Alam./

Petikan .themalaysianinsider.com

Jumaat, 28 Ogos 2009

SIAPA MAIN ISU PERKAUMAN INI?

Samy Vellu kecam arak kepala lembu
Ogos 28, 09 4:46pm
Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu mengecam tindakan sekumpulan penduduk Seksyen 23 Shah Alam dengan beberapa NGO Melayu mengarak kepala lembu ke bangunan Setiausaha Kerajaan Selangor sebagai membantah idea membina kuil baru Hindu.

Katanya, lembu merupakan binatang suci kepada penganut Hindu, dan tindakan kumpulan tersebut tidak boleh diterima dan dianggap mencabar kebebasan beragama yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Ia menjadi hak rakyat pelbagai agama, termasuk penganut Hindu untuk membina kuil dan tempat-tempat ibadat.

"Saya amat sedih kerana kumpulan ini telah mengarak kepala lembu ke bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (Selangor)," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, tiada sesiapa pun yang harus dibenarkan untuk mencabar atau mempersendakan sebarang agama di negara ini.

Beliau bimbang tindakan tersebut boleh mengundang tindak balas dari masyarakat Hindu.

"Bagaimanapun, saya menggesa penganut Hindu khususnya supaya bertenang dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan," tambahnya.

Samy Vellu berkata, MIC mahu kerajaan dan pihak polis mengambil tindakan terhadap penganjur protes tersebut.

Katanya, mereka mesti dikenakan tindakan mengikut undang-undang kerana membahayakan keharmonian kaum di negara ini./Malaysiakini

ONG TEE KEAT HARUS BERSEDIA BERTEMPUR

'Semoga dapat saya bertempur lagi'
Ogos 27, 09 3:48pm

"Semoga umur saya panjang untuk menempuh hari-hari mendatang dan menghadapi pertempuran baru," tulis Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, yang dipecat daripada MCA, dalam blognya. Ungkapan tersebut menamatkan tulisan bekas timbalan presiden MCA itu dalam blognya hari ini ketika mengulas tindakan mengejut partinya lewat malam tadi.

Keputusan itu diambil oleh Majlis Presiden MCA susulan syor yang dibuat oleh jawatankuasa disiplin parti atas dakwaan mencemarkan reputasi parti selepas skandal seksnya.

Pemecatan Dr Chua dibuat selepas beliau berjaya menapak kembali dan memenangi pertandingan bagi jawatan timbalan presiden dalam pemilihan parti itu Oktober lalu.

"Saya tidak sangka bahawa lembaga disiplin MCA, yang diketuai oleh seorang peguam tua, menganggapnya wajar untuk mengesyorkan supaya saya dipecat atas alasan yang sama ketika saya meletak jawatan pada Januari 2008," katanya.

"Jika ada satu peruntukan untuk menjatuhkan hukuman mati di segi fizikalnya, saya pasti lembaga itu tidak akan teragak-agak untuk mengesyorkan saya diseret ke tali gantung."

Walaupun ramai yang melihat keputusan ini sebagai petanda berakhirnya karier politik Dr Chua, namun beliau tidak patah semangat. "Anggota keluarga dan rakan-rakan saya akan pergi bercuti sekejap. Saya perlu menikmati status 'tidak berparti' ini. "Jadi rakan-rakan memberi saya satu peluang untuk berehat," katanya lagi.

Mengimbau kembali saat-saat beliau mula menganggotai MCA pada 1985 sehingga melepaskan jawatan dalam parti dan kerajaan pada 2008, Dr Chua berkata, keadaannya kini jauh lebih teruk daripada sebelumnya.

"Hari ini, saya tidak ada parti. Apabila saya melepaskan semua jawatan parti (ketika itu), saya masih lagi ahli MCA. Hari ini, saya langsung tidak ada parti," katanya. "Tetapi apakah pemecatan saya akan meningkatkan imej MCA? Saya harus mengandaikan bahawa presiden (Datuk Seri Ong Tee Keat) sebersih dan seputeh kristal." Dr Chua, yang selama ini memang tidak sehaluan dengan presiden MCA, kemudian segera menambah: "Hanya masa yang akan menentukannya."

Ong, yang juga menteri pengangkutan, kini berdepan dengan tuduhan bahawa beliau mengambil wang RM10 juta Datuk Seri Tiong King Sing, pemegang saham utama Kuala Dimensi Sdn Bhd yang kontraktor utama projek pembangunan Zon Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ).

Sejak dipecat tengah malam tadi, Dr Chua berkata beliau kini sibuk membaca SMS yang tidak putus-putus diterimanya sejak semalam. Tulisan Dr Chua itu membayangkan keputusan tersebut bukanlah jalan mati untuknya./Malaysiakini

Khamis, 27 Ogos 2009

UMNO `TERKANGKANG' LAGI

Permatang Pasir: PR Menang Di Semua Saluran

27 Aug 09

Dari Merdeka Review
Lim Hong Siang

Pakatan Rakyat berjaya menyapu bersih semua saluran pengundian di DUN Permatang Pasir semalam, sementara menjauhkan jurang antara PR dengan BN dengan rekod 6-1, dalam pilihan raya kecil sejak Malaysia dilanda tsunami politik pada 8 Mac 2008.

UMNO-BN yang tidak meletakkan calon dalam pilihan raya kecil DUN Penanti, 31 Mei 2009, walau bagaimanapun mengekalkan rekod kekalahan 6 kali berturut-turut di Semenanjung Malaysia selepas PRU ke-12, dalam pertembungannya dengan Pakatan Rakyat.

Kemenangan mutlak PAS-PR

PAS dari PR semalam bernafas lega, apabila menundukkan calon UMNO-BN dengan kemenangan mutlak di kesemua saluran pengundian. Menurut keputusan terperinci yang terpapar, BN hampir menembusi saluran pengundian kedua di Permatang Ara (97% pengundi Melayu) dengan 287 undi, bagaimanapun tidak kesampaian apabila PAS-PR memperolehi satu undi lebih daripadanya.

Begitu juga apabila UMNO-BN dihampakan dengan 10 undi sahaja, di saluran pengundian kedua di Kampung Pelet, kawasan yang terdiri daripada 72% pengundi Melayu. PAS-PR memperolehi 185 undi, berbanding UMNO-BN dengan 175 undi.

Antara sembilan daerah mengundi, PAS-PR menang dengan margin majoriti yang paling selesa di Cross Street, dengan menyapu 75% undi. Cross Street terdiri daripada lebih 80% pengundi bukan Melayu. Sebaliknya, di daerah mengundi yang terdiri daripada 93% pengundi Melayu, Kubang Semang, menyaksikan PAS-PR merangkul 74% jumlah undi.

Di daerah mengundi seperti Sama Gagah, Permatang Pauh dan Permatang Tengah, PAS-PR berjaya mencatat nisbah jumlah undi 7:3, berbanding UMNO-BN.

UMNO-BN hanya mampu merapatkan jurang di daerah mengundi seperti Permatang Ara (43% undi), Kampung Pelet (42% undi) dan Bukit Indera Muda (40% undi). Dari struktur kaum pengundi, kawasan tersebut adalah kawasan Melayu majoriti, dengan Permatang Ara 97% pengundi Melayu, Kg.Pelet 72% pengundi Melayu dan Bukit Indera Muda 96% pengundi Melayu.

Pengundi muda tetap memihak PR

Walau bagaimanapun, PR kekal dengan kelebihannya di saluran pengundian ketiga dan keempat, memperlihatkan sokongan pengundi muda terhadap pakatan politik baru ini. Walaupun di kawasan yang majoritinya pengundi Melayu, misalnya di ketiga-tiga daerah pengundian di mana UMNO-BN “berjaya merapatkan jurang”, golongan pengundi muda tetap bersama PR. Di Permatang Ara misalnya, UMNO-BN kalah dengan satu undi di saluran pengundian kedua, tetapi kalah dengan 152 undi majoriti (PAS 349: BN 197) di saluran ketiga.

Di daerah mengundi Permatang Tengah misalnya, dengan majoriti 89% pengundi Melayu, jumlah undi di saluran pengundian ketiga, keempat dan kelima menyaksikan bagaimana UMNO-BN tewas dengan 491 undi majoriti, apabila PAS-PR memperolehi 804 undi dan UMNO-BN mendapat 313 undi.

UMNO-BN dijangka tidak berubah

Jelas, kelebihan UMNO-BN hanya pada saluran pengundian pertama dan kedua, iaitu golongan pengundi yang umurnya lebih lanjut, di kawasan pengundi Melayu majoriti. Peningkatan sokongan Melayu mungkin tidak jelas, khususnya di kubu politik Anwar Ibrahim. Tetapi, mungkinkah keputusan ini cukup untuk memberangsangkan pemimpin UMNO?

Pengarah Strategi PKR, Tian Chua meramalkan bahawa UMNO-BN akan terus dengan propagandanya seperti “Anwar pengkhianat”, “DAP hina Islam” dan sebagainya, memandangkan peningkatan undi 1% pun mungkin memberi kepuasan kepada UMNO.

“Sememangnya kami (PR) juga bimbang akan kehilangan undi Melayu, tetapi selagi kami mengambil pendekatan yang sederhana, mengekalkan sokongan dari struktur pengundi yang sedia ada, maka UMNO-BN akan musnah dengan sendirinya,” jelas Tian Chua kepada MerdekaReview.

Kelas pekerja bersama PR

Ahli Parlimen Batu ini mengingatkan bahawa golongan yang tidak mengundi semalam adalah dari kelas pekerja, yang tidak mempunyai cuti, malah mungkin keberatan untuk balik mengundi kerana tambang kenderaan yang mahal.

Beliau yakin bahawa penurunan peratus pengundian sebanyak 10%, dikenalpasti sebagai pengundi pekerja yang akan mengundi untuk PR. Maka, kemenangan PAS-PR semalam mengukuhkan keyakinan PR bahawa strategi dan pendekatan yang sama wajar diteruskan, untuk berdepan dengan PRU ke-13.

Cuma, bagaimana pula dengan UMNO-BN?/Anwaribrahimblog.com

KRISIS PERAK UMPAMA `PERSETUBUHAN HARAM' - PROF DR ABDUL AZIZ

Sidang Dun Perak: Bahas titah tuanku, gantung Zambry
Azamin Amin
Thu | Aug 27, 09

KUALA LUMPUR, 27 Ogos: Dato' Seri Nizar Jamaluddin berkeyakinan bahawa Persidangan Dun Perak 2 September depan akan berjalan lancar sekaligus tidak akan mengulangi kejadian dan insiden 7 Mei lalu akibat tindakan pihak tidak bertanggunjawab yang melanggar lunas peraturan dan undang-undang sedia ada.

Sidang minggu depan itu, katanya amat penting kerana titah Sultan Perak, Sultan Azlan Shah belum dibahaskan lagi malah pada 7 Mei itu, tiada persidangan pun yang berlangsung memandangkan keceohan yang berlaku berikutan pelantikan Speaker 'haram' yang baru, yang tidak mengikut peraturan Dun.

Adun Pasir Panjang dan Ahli Parlimen Bukit Gantang itu berkata kepada Harakahdaily pagi ini bahawa sidang itu juga akan membentangkan usul pengantunggan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Timbalan Speaker Hee Yit Foong oleh Jawantankuasa Hak dan Kebebasan yang dipengerusikan oleh Speaker V. Sivakumar.

Masing-masing dikehendaki membayar denda sejumlah RM500,000 dan RM250,000 setiap seoarang akibat tindakan mereka yang menghina DUN dan kuasa Speaker, katanya.

Bagaimanapun, berhubung status Speaker 'haram' Datuk M Ganesan yang dilantik 7 Mei lalu, Nizar menjelaskan, satu permohonan injuksi akan dibuat untuk menghalang dalam menjalankan tugas Speaker yang masih disandang oleh Sivakumar.

"Selama ini, Adun-adun Pakatan Rakyat Perak senantiasa mengikut peraturan dan yang memulakan kekacauan serta menggunakan pihak keselamatan untuk campur tangan serta mengheret keluar Speaker adalah pihak yang lagi satu.

"Mereka sebenarnya yang menghina Dewan dan Tuanku Sultan. Kita patuh pada peraturan...apabila Speker panggil, kita wajib hadir," katanya ketika dihubungi.

Nizar turut mengulas sidang Dun 'bawah pokok' 3 Mac lalu, berpunca daripada perbuatan menghalang Speaker dan Adun-Adun memasuki bangunan Dewan Undangan Negeri Perak.

Semalam Sivakumar telah memfailkan saman terhadap Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Dr Abdul Rahman Hashim untuk menuntut ganti rugi, ganti rugi teruk dan ganti rugi contoh.

Writ saman itu yang difailkan melalui Tetuan Chan & Associates di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Ipoh tengah hari semalam, mendakwa Setiausaha Kerajaan Negeri itu atau pekerja atau ejennya telah menghalang beliau dan anggota DUN daripada menghadiri dan memasuki Dewan Negeri yang terletak di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada 3 Mac lepas.

Pada 21 Ogos lalu, pihak Adun Pakatan Rakyat telah menghantar notis guaman dan memberi tempoh selama 48 jam kepada Abd. Rahman untuk memberi aku janji supaya tidak campur tangan pada persidangan Dewan 2 September ini.

Sebelum ini turut mengulas isu krisis yang berlaku di Perak ialah pakar perlembagaan, Profesor Dr Abdul Aziz Bari yang berpendapat sidang Dun 7 Mei itu sebagai tidak sah.

Aziz menjelaskan dari awal lagi sidang telah menyingkirkan kedudukan dan kuasa Speaker V. Sivakumar yang kemudian berlanjutan kepada bermacami arahan dibuat oleh Setiausaha Dun dan Setiausaha Kerajaan yang tidak mempunyai bidang kuasa yang sah.

"Hari itu Hee Yit Foong yang bertindak memulakan sidang meskipun Sivakumar ada dan masih belum disingkirkan. Itu belum lagi mengambilkira kedudukan Hee yang sebenarnya masih di dalam penggantungan.

"Bagaimana Hee boleh dibenarkan memulakan prosiding yang kemudian memilih Datuk M Ganesan," soal Aziz.

Paling menyedihkan, kata Aziz lagi, sebagaimana sidang di bawah pokok Mac lalu ,sekali lagi polis memainkan peranan utama.

Aziz menyifatkan kekecohan di Dun Perak itu adalah yang kedua selepas rampasan kuasa oleh BN pada 5 Februari dan pihak polis juga menghalang sidang Dun Perak Mac lalu sehingga ia terpaksa diadakan di bawah pokok kira-kira 100 meter dari premis rasmi.

�Apa yang berlaku di Perak itu bagaikan persetubuhan haram yang melahirkan anak dan cucu yang kemudiannya melibatkan komplikasi dan kekeliruan tentang taraf dan hak anak-anak yang tidak berdosa itu,� katanya. /Harakahdaily

UMNO PARAH, MCA PULA BUAT HAL

Pecat Chua: Ong belum tentu tidur lena
Harakahdaily
Thu | Aug 27, 09
KUALA LUMPUR, 27 Ogos - Walaupun selepas memecat Timbalannya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat sepatutnya boleh tidur lena malam tadi, tetapi belum tentu beliau dapat menikmatinya.

Ketika Ong mempengerusikan mesyuarat memecat Chua di ibu pejabat MCA malam semalam, pada sebelah paginya satu laporan polis dibuat ke atas beliau oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB), Datuk Seri Tiong King Sing.

Tidak cukup dengan itu, dalam pemberontakan terbuka terhadap beliau, pada sebelah petangnya, enam MCA bahagian di Perak iaitu bahagian Bagan Datoh, Kampar, Tambun, Batu Gajah, Ipoh Timor dan Ipoh Barat menuntut Ong digantung dari parti yang dipimpinnya itu.

Malam tadi, Majlis Presiden MCA menerima cadangan Jawatankuasa Disiplin parti itu untuk memecat keahlian Timbalan Presidennya, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkuat kuasa serta merta.

Presidennya, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata, keputusan sukar itu terpaksa dibuat kerana cakera padat digital (DVD) skandal seks Chua yang tersebar sebelum ini telah merosakkan imej parti.

Mengulas tindakan pemecatan itu dalam blognya, Chua berkata: "Sekarang saya telah dipecat, saya harap beliau (Ong) boleh tidur lena". Image

Ketika mesyuarat untuk memecatnya akan diadakan, Chua tiba di ibu pejabat MCA. Bagaimanapun, beliau tidak dibenarkan hadir ke mesyuarat itu kerana beliau adalah pihak yang berkepentingan.

Ketika diminta menjangkakan keputusan mesyuarat itu oleh para wartawan, Chua memegang lehernya dan tiga kali berkata, "Gantung mati".

Menurut beliau, sejak pemilihan parti Oktober tahun lalu, Ong "melihatnya sebagai musuh ketat dan ancaman paling besar."

Dalam pemilihan itu, Chua mencipta kejutan apabila beliau yang terpaksa melepaskan jawatan dalam parti dan kerajaan ekoran skandal video seks berjaya menewaskan tiga calon lain untuk memenangi jawatan Timbalan Presiden.

Beliau memperoleh 1,115 undi untuk mengatasi Datuk Seri Ong Ka Chuan (1,001 undi), Datuk Donald Lim Siang Chai (209) dan Lee Hack Teik (10 undi).

Selepas kemenangannya itu, Chua melihat usaha-usaha untuk menyingkirkannya menjadi "agenda utama" Ong.

"Presiden MCA telah menggariskan tiga agenda utama parti (iaitu), ekonomi, politik dan keharmonian antara kaum. Tetapi hakikatnya, penyingkiran Chua Soi Lek kelihatan menjadi agenda beliau yang paling penting," kata beliau.

Ahad lalu, bekas Naib Presiden MCA yang kini menyertai PKR, Datuk Chua Jui Meng mengaitkan krisis MCA itu dengan agenda Umno.

Menurut beliau, khabar angin yang tersebar luas di dalam Barisan Nasional (BN) mendakwa bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak berpuas hati melihat Ong menjadi Presiden MCA dan lebih suka Chua memimpin parti itu.

Beliau mendakwa, Umno tidak puas hati dengan dengan cara Ong yang juga Menteri Pengangkutan mendedahkan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Jika didedahkan skandal itu, dakwa beliau lagi, ramai pemimpin Umno yang terlibat.

Dakwaan itu tampil selepas dakwaan Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Datuk Tee Lian Ker baru-baru ini bahawa ramai tokoh Umno dan MCA berada dalam "payroll" Ketua Pegawai Eksekutif KDSB yang menjadi pemaju PKFZ.

Skandal PKFZ sebelum itu semakin panas apabila Tiong mendakwa Ong menerima RM10 juta darinya.

Ketika bertindak balas terhadap dakwaan itu, Ong membuat laporan polis, mengemukakan saman RM500 juta terhadap Tiong serta melemparkan tuduhan terhadapPengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) itu.

Tuduhan tersebutlah yang mendorong Tiong mengemukakan laporan polis terhadap Ong semalam.

Tiong yang juga Ahli Parlimen Bintulu juga dipercayai menyerahkan beberapa dokumen kepada polis, yang dijangka menjadi bukti penting kepada dakwaan bahawa Ong menerima RM10 juta darinya.

Wang itu dikatakan diserahkan secara berperingkat-peringkat di Hotel PJ Hilton di Petaling Jaya. _

Analisis: Yang tersirat dan tersurat di Permatang Pasir

27 Aug 2009

Oleh Darwis Said

SATU pengajaran yang boleh ditimba Barisan Nasional (BN) berikutan keputusan pilihan raya kecil Permatang Pasir yang boleh dijadikan bekal menjelang pilihan raya umum Malaysia ke-13 ialah cuba elak daripada menggunakan isu perkauman untuk menambat hati pengundi.

Memang benar ada trend menunjukkan bahawa pengundi Melayu di Malaysia masih berbelah bahagi dalam sokongan mereka kepada BN, khususnya Umno, dan ini dapat dilihat dalam pilihan raya kecil di Manek Urai, Kelantan, bulan lalu.

Namun, tidak semua pengundi Melayu Permatang Pasir mengundi berdasarkan corak pengundian yang dilihat parti itu dalam pilihan raya kecil Manek Urai, kata pengamat dan aktivis politik di Malaysia.

'Strategi menimbulkan isu perkauman dan agama, serta menyerang peribadi pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai pengkhianat orang Melayu menimbulkan kesan sebaliknya ke atas BN,' kata pensyarah kanan Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang, Dr P. Sivamurugan, ketika dihubungi sejurus selepas keputusan pilihan raya kecil Permatang Pasir diumumkan kelmarin.

Sebaliknya, isu-isu seperti kes kematian Teoh Beng Hock, rasuah, ketelusan, integriti dan moral yang diketengahkan pembangkang lebih melekat di hati pengundi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

Calon BN, Rohaizat Othman, yang dibelenggu pelbagai skandal, kalah di tangan calon Parti Islam SeMalaysia (PAS), Ustaz Mohd Salleh Man, dengan majoriti 4,551 undi.

Ustaz Mohd Salleh mendapat sokongan 9,618 undi manakala Rohaizat hanya mampu menarik 5,067 undi.

Majoriti undi Ustaz Mohd Salleh mungkin rendah sedikit berbanding majoriti 5,433 undi yang diraih bekas penyandang kerusi DUN itu, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman, juga daripada PAS, yang meninggal dunia pada 31 Julai lalu, dalam pilihan raya umum Mac tahun lalu.

Namun, ia boleh dianggap satu kemenangan besar kepada PAS jika diambil kira peratusan jumlah pengundi yang keluar mengundi kelmarin, kata Dr Sivamurugan.

Kelmarin, 73.1 peratus atau 14,832 daripada 20,350 pengundi berdaftar di Permatang Pasir keluar mengundi, berbanding lebih 82 peratus yang keluar mengundi pada 8 Mac 2008.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Kamaruddin Jaafar, semasa dihubungi berkata rakyat sukar menerima pendekatan BN-Umno yang sering menimbulkan isu perkauman dan menyerang para pemimpin Pakatan Rakyat (PR), khususnya Datuk Seri Anwar dan Mursyidul PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang dikatakan seorang ulama palsu.

Permatang Pasir terletak dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh, kawasan pimpinan Datuk Seri Anwar, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Kira-kira 72 peratus pengundinya adalah orang Melayu, hampir 26 peratus pengundi Cina, dan bakinya pengundi kaum lain.

Tindakan BN-Umno memainkan politik perkauman menjauhkan mereka daripada para pengundi Cina, manakala percubaannya memujuk pengundi Melayu dengan memaparkan PAS sebagai parti yang terlalu bertolak ansur dalam melaksanakan nilai Islam dan menjadi konco kepada Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang anti-Islam gagal.

Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bagaimanapun berkata beliau kecewa dengan sikap pengundi kawasan Permatang Pasir yang tidak mahukan perubahan.

Beliau, yang juga Timbalan Presiden Umno, berkata kekalahan BN menunjukkan pengundi terlalu selesa dengan keadaan mereka ketika ini sehingga tidak mahukan pembangunan.

'Kita menerima keputusan ini kerana mengikut apa yang diamalkan dalam demokrasi berparlimen dan kita menghormati keputusan rakyat,' katanya.

Pengarah Pilihan Raya BN, Dr Ahmad Zahid Hamidi, pula berkata penduduk Permatang Pasir 'sudah memberi mesej bahawa mereka tidak mahukan perubahan, jadi kita jangan salahkan calon, jangan juga salahkan jentera'.

Namun, Dr Sivamurugan menekankan bahawa Rohaizat setakat mampu meraih 5,067 undi - lebih rendah berbanding 5,571 undi yang diraih calon Umno, Ahmad Sahar Shuib, pada pilihan raya umum tahun lalu.

'Ini menunjukkan bahawa penyokong BN sendiri pun tidak mahu mengundi beliau,' ujarnya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri dan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak, dipetik akhbar Utusan Malaysia sebagai berkata pihaknya akan mengkaji semua faktor yang membawa kepada kekalahan BN bagi memastikan ia berjaya dalam pilihan raya pada masa depan.

'Dari satu segi kita dapat kurangkan majoriti undi parti lawan dan dari satu segi lain kita dapati ada faktor-faktor yang telah menyebabkan kekalahan kepada BN.

'Faktor-faktor ini harus diteliti dan diperbaiki supaya usaha kita pada masa depan akan lebih berjaya,' ulas Datuk Seri Najib, sambil menambah bahawa beliau 'tahu apa sebabnya'.

Kajian itu memang perlu dilakukan BN dengan segera.

BN kalah tujuh daripada lapan pilihan raya kecil sejak peristiwa 'tsunami' politik yang berlaku dalam pilihan raya umum Malaysia ke-12 tahun lalu.

Jika BN mahu mengelakkan kejadian 'tsunami politik' 2008 itu daripada berulang pada pilihan raya umum Malaysia ke-13, maka satu kajian jujur dan telus terhadap faktor-faktor yang menyebabkan kekalahannya dalam tujuh pilihan raya kecil itu harus dijalankan secara serius dan terperinci.

Strategi dan taktik pilihan raya baru perlu diterokai, manakala pendekatannya pula perlu diubah supaya lebih sesuai dengan trend perkembangan dan selera politik generasi pengundi masa kini di Malaysia.

Jika tidak, BN berpotensi menghadapi 'bencana politik' lebih mengejutkan berbanding apa yang berlaku pada 8 Mac 2008./KLPost


Memang ada trend menunjukkan bahawa pengundi Melayu di Malaysia masih berbelah bahagi