JOM MASUK AHLI

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

DENGARKAN KOBAT FM ONLINE

Ahad, 4 Oktober 2009

Kalau bukan Isa, kalahkah UMNO?

Hasnah, rakan pejabat saya menghantar mesej melalui Twitter menyebut dia kecewa mendapat tahu calon Barisan Nasional (BN) di Bagan Pinang ialah Tan Sri Mohd Isa Samad. Tepat dugaan ramai.

Wanita ini tidak seharusnya begitu runsing kerana dia bukan pengundi di kawasan itu. Kalaupun dia pengundi, dia diketahui tidak akan memilih Isa untuk menjadi wakil rakyatnya.

Namun, dia menjelaskan sungguhpun semua andaian saya itu tepat, dia tetap kecewa kerana segala harapannya ke atas UMNO untuk berubah hancur berkecai. UMNO mendapat tempat dalam hatinya. Bapanya, ibunya dan beliau sendiri menjadi penyokong kuat UMNO dahulu. Dia hanya ‘beralih rasa’ pada Mac 2008 sahaja. Itu pun dilakukannya penuh tangisan.

Episod terakhir di mana Isa dipilih menjadi calon UMNO menyebabkan keyakinan itu berkecai. “Hasnah tidak akan percaya lagi.”

Cakap-cakap dan seruan agar UMNO mendengar desakan rakyat yang sering disebut oleh para pemimpin tingginya, hanyalah palsu dan tidak ikhlas. ‘Berubah atau diubah’ kalimat sering diucapkan Presiden UMNO, Najib menjadi asas harapan kepadanya.

Memang menakjubkan, dua kali berturut-turut UMNO memilih daripada kalangan ratusan ribu anggotanya di Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, dua orang yang mempunyai imej yang tercalar. Seorang dikatakan menyalahgunakan akaun amanah pelanggan dan seorang lagi dihukum kerana terlibat dalam rasuah politik.

Siri kekalahan (semuanya empat iaitu, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Manek Urai dan Permatang Pasir) yang dihadapi UMNO bila berdepan Pas dalam PRK menyebabkan UMNO semacam lembik lutut.

Habis segala taktik telah digunakan tetapi masih tewas kepada Pas. Habis segala jentera parti dan kerajaan digerakkan membantu calon-calonnya, UMNO tetap kalah.

Bagan Pinang dikehendaki mengadakan PRK berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), wakil dari UMNO. Mahu tidak mahu, UMNO mesti sekali lagi berdepan dengan Pas.

Maka, kali ini UMNO tidak boleh kalah lagi. Ramai bersetuju kalau UMNO kalah kali ini, maka bolehlah UMNO menyertai Parti Liberal Demokratik (LDP) Jepun masuk lipatan sejarah sebagai sebuah parti yang pernah memerintah. Semua perkiraan mesti dibuat agar UMNO tidak kalah.

Faktor calon berupa hal terpenting untuk diambil kira bagi menjamin kemenangan parti. Zaman ini bukan lagi seperti zaman dahulu, di mana sesiapa yang memakai songkok UMNO boleh menang mudah pilihan raya.

Lain zaman lain keperluannya. Siapa calon sering ditanya. Calon yang boleh membawa kemenangan sahaja akan dipilih.

Berdasarkan keyakinan itu, timbul satu teori dikemukakan dalam usaha mempastikan UMNO dapat mempertahankan kerusi ini. Jangan kira batang tubuh calon, kiralah popularitinya. Jika dia popular dan boleh membawa kemenangan kepada parti, angkatlah dia menjadi calon. Pedulikan kisah silamnya.

Mengikut peneraju teori ini, dan teori inilah nampaknya diapakai oleh UMNO utamakan matlamat mencapai kemenangan dulu. Masalah lain yang berbangkit darinya akan diselesaikan kemudian hari.

Berdasarkan teori ini, pertempuran kali ini adalah penting. Ia menolak pendapat bahawa UMNO mesti memberi tumpuan untuk memenangi peperangan keseluruhannya pada masa akan datang. Pengemuka teori ini bertanya apakah ada peluang lagi untuk memenangi peperangan pada masa akan datang jika pertempuran kali ini UMNO kalah?

Kalah pertempuran ini akan menyebabkan segala semangat, akan musnah dan tamatlah riwayat UMNO. Lagipun, peperangan itu akan hanya berakhir dengan kekalahan-kekalahan UMNO dalam pertempuran. Jadi, usahakan kemenangan yang ini dulu, sebagai penaik semangat.

Maka, kata mereka, pilihlah kucing yang boleh menangkap tikus. Jangan kira warna kucing itu, hitam atau putih. Rumusannya, pilihlah Isa tanpa mengira dia kucing putih, kucing hitam atau kucing buangan. Asalkan dia boleh tangkap tikus!

Ramai orang menjangka bahawa Isa akan menjadi pilihan UMNO Teluk Kemang. Awal-awal lagi mereka memberitahu akan mencadangkan hanya satu nama, iaitu Isa. Mereka kenal Isa dan mereka mahu Isa. Mereka tahu kisah silam Isa. Hanya Mahathir dan Tengku Razaleigh yang tidak mahu UMNO mencalonkan Isa.

Malah, UMNO bahagian ini mengugut untuk memboikot PRK jika pucuk pimpinan memilih orang lain selain Isa. Sikap inilah yang Hasnah, rakan sepejabat tadi beritahu saya amat menjelekkannya.

Kata beliau, inilah corak pemikiran orang Melayu yang dihasilkan oleh UMNO. Taat setia kepada ketua membabi buta. Sudah tidak tahu membezakan yang mana intan yang mana kaca.

Jadi, nampaknya, yang tidak mahu berubah itu bukan sahaja pemimpin UMNO malah pendokong parti itu di peringkat bawahan, akar umbi. Mereka tidak sensitif dengan kehendak rakyat. Sebab itulah jeritan untuk menolak politik wang itu gagal disambut kerana ia adalah amalan peringkat bawahan jua. Mereka gembira pemimpin mereka rasuah kerana tentunya mereka boleh mendapat ‘tempias’ juga.

Kalau yang bersalah itu peringkat bawahan, orang atasan bagaimana? Sama sahaja nampaknya. Isa, jika dia mahu, jika dia mementingkan masa depan parti UMNO keseluruhannya boleh menolak pencalonan itu.

Setinggi mana sanjungan orang kampung terhadap anak tempatan yang berjaya dan mereka tetap mahu anak tempatan itu terus berjaya hendaklah dibalas oleh Isa dengan penuh hikmah melalui penolakan. Katalah, “Saya sanjung tinggi penghormatan itu tetapi demi parti, saya tidak dapat menerimanya.”

Itu sikap pemimpin berjiwa besar. Tetapi Isa tidak berjiwa besar. Dia tetap menerimanya kerana kedudukan itu akan memberikannya kuasa. Mungkin suatu hari, dia dilantik kembali menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan. Dari aspek ini, Isa turut bersalah kerana mementingkan diri.

Kalau UMNO Teluk Kemang bersalah, Isa bersalah, bagaimana pula kedudukan orang lain?

Keputusan seperti yang diumumkan oleh Muhyidin memilih Isa itu memperlihatkan sikap kepimpinan Najib dan Muhyiddin yang lemah. Mereka tidak berani mengatakan ‘BIG NO’ kepada desakan UMNO Teluk Kemang.

Ini menunjukkan mereka bukan jenis pemimpin yang mampu membawa Malaysia ke tahap lain yang diterokai Mahathir jika mereka bertindak seperti kerbau ditarik hidung.

Sewaktu mengumumkan Isa sebagai calon, Muhyiddin kelihatan gembira dikelilingi oleh barisan pemimpin kanan BN. Senyuman lebar mereka menunjukkan mereka amat berpuas hati dengan pilihan itu. Mereka juga akur besar. Semua sama.

Rakyat sedar bahawa UMNO mempunyai dasar yang pelik dalam menentukan hukuman kepada wereka yang terlibat dalam politik wang. Ada yang dibawa ke mahkamah, ada yang dilarang bertanding dan diminta letak jawatan kerajaan (Isa) tetapi ada yang dilarang bertanding tetapi dibenar memegang jawatan (KM Melaka).

Apapun, pendirian Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) jelas. Satu wawancara disiarkan oleh akhbar New Straits Times pada 25 Januari 2009, Ketua Komisionernya, Ahmad Said Hamdah menjelaskaskan secara nyata bahawa politik wang adalah rasuah mengikut undang-undang dan Perlembagaan.

Ini katanya: “When you pay people to vote for you, that is corruption. People call it money politics but not us. Under the law, anybody who sells or buys votes is guilty of corruption, so we go on that basis.”

Bila SPRM tidak bertindak bukan bererti seseorang itu tidak melakukan rasuah. Itu pilihan SPRM dan hanya ia tahu alasannya tidak bertindak. Rakyat hanya boleh menduga.

UMNO patut tahu apa yang rakyat duga itu. Semua laungan Najib berkaitan ketelusan dan kebertanggungjawaban hanyalah kata-kata dan janji kosong. Sepatutnya, bahagian itu ditegur kerana tidak bertindak selaras dengan hasrat UMNO yang mahu berubah. ‘Berubah atau diubah’ hanyalah kokokan retorik semata-mata.

Sudah banyak ‘retreats’ UMNO lakukan untuk membaik pulih parti. Kali terakhir dua hari lepas mereka berkumpul lagi di Janda Baik. Lain rumusan dibuat, lain tindakan diambil. Para pemimpinnya masih memilih jalan pintas yang memberikan keseronokan segera tetapi hanya menjerat diri pada masa akan datang. Sayangnya, UMNO jadi taruhan.

Pelantikan Isa sebagai calon mendedahkan bahawa UMNO berada dalam keadaan terlampau selekeh. Memang ia memerlukan kemenangan untuk melengah kegelinciran lanjut parti itu dari kemusnahan. Tetapi, ia tidak perlukan Isa.

Apakah sebuah kawasan yang pada 2004 ditawan oleh seorang calon UMNO yang tidak terkenal seperti Azman Mohammed Noor itu di celah-celah kekuatan pembangkang dan di kawasan ‘bandar tentera’ dengan hampir 5,000 undi pos sudah tidak boleh diyakini mampu dipertahankan oleh BN kecuali Isa yang diletakkan sebagai calon?

Kalahkah calon BN jika bukan Isa yang jadi calonnya? Jika itu keadaannya, nyata UMNO sudah diserang sakit. Penyakit hilang keyakinan iaitu satu sifat yang amat penting dimiliki dalam pertarungan. Ia satu isyarat menemui jalan kehancuran.

Apakah kekuatan Isa sebenarnya? Jawatannya selama 23 tahun sebagai Menteri Besar dan beberapa tahun sebagai Menteri yang membolehkannya memberi kontrek kepada juak-juaknya yang menyebabkan beliau popular atau apa? Isa gagal mengekalkan jawatan Naib Presiden pemilihan parti awal tahun ini.

UMNO bukannya gagal melihat denyut nadi kehendak rakyat tetapi ia sudah sebati dengan cara hidupnya yang sudah mendarah daging menyebabkan sukar dikikis.

Benarlah kata Hasnah dalam mesejnya kepada saya, UMNO tidak memerlukan sebuah pakatan pembangkang yang kuat, ia akan mereput dengan sendirinya mengikut usia. UMNO sudah tua./Sinar

MOOD PENGUNDI, PAS YAKIN BOLEH MENANG

PAS yakin boleh menang di Bagan Pinang
Hazayani Zakaria
Sat | Oct 03, 09
TELOK KEMANG, 3 Okt: Para pakar strategi PAS yakin, calon mereka mempunyai peluang yang cerah untuk menang di Bagan Pinang bahkan Presidennya berkata PAS mahu menang bukannya untuk kurangkan majoriti BN dalam pilihanraya ini.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, partinya menyertai pilihan raya kecil ini untuk mengalahkan calon BN sebagaimana yang mereka lakukan dalam pilihan raya kecil sebelum ini.

Beliau menjawab soalan apakah strategi PAS dalam menghadapi pilihan raya ini; menang atau mahu mengurangkan majoriti BN.

Ini kerana, BN menang dengan majoriti yang besar dalam pilihan raya lalu iaitu 2,333 undi,.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali pula berkata, Pakatan boleh menang dalam pilihan raya kecil ini jika segala kerja yang dirancangkan oleh mereka berjalan baik.

"Nampaknya dari sambutan dan mood yang baik dalam perarakan pagi ini, kita boleh menang," kata beliau kepada Harakahdaily.

ImagePAS, katanya menjangkakan akan bertembung tiga penjuru hari ini dengan calon bebas, namun dengan pertandingan dua penjuru ini ia lebih memudahkan jentera PAS untuk bekerja.

Pilihan raya kecil Bagan Pinang menyaksikan pertandingan antara calon Pakatan Rakyat dari PAS, Zulkefly Mohamad Omar melawan calon BN dari Umno, Tan Sri Mohd Isa Samad.

Percubaan seorang calon bebas untuk bertanding tidak berjaya apabila kertas pencalonannya ditolak oleh SPR berikutan dari pencadang beliau bukan pengundi Bagan Pinang.

Mustafa berkata, pihaknya akan menemui SPR segera bagi menyelesaikan beberapa perkara dengan pengendali pilihan raya yang sepatutnya bebas itu.

Image (Gambar:Husam berbincang dengan anggota Parlimen Telok Kemang di hari penamaan calon)

Dalam pada itu, seorang lagi strategis PAS, Datuk Husam MUsa juga yakin PAS mampu untuk mengalahkan calon BN dalam pilihan raya kali ini berikutan dengan mood yang ada.

"Mood nasional begitu memuncak di Bagan Pinang. Berdasarkan kehadiran yang saya kira mencecah 50,000 orang dari pelbagai golongan khasnya golongan muda serta pembantu dari luar, kita yakin kemampuan untuk kita goncangkan BN sekali lagi terbuka luas," kata beliau kepada Harakahdaily.

Mengulas mengenai tidak ada calon bebas, Husam berkata, apa yang berlaku membayangkan Pakatan Rakyat semakin matang dalam berpolitik.

Ia menampakkan sokongan penuh kepada Pakatan, katanya. _/Harakahdaily

Sabtu, 3 Oktober 2009

PRK BAGAN PINANG - PENGUNDI `SETAN' DI KEM SUNGGALA?

Lagi lubang penipuan undi pos dibongkar
Nazri Abdullah
Fri | Oct 02, 09
TELUK KEMANG, 2 Okt: Dewan pemuda PAS Pusat (DPP) hari ini sekali lagi tampil dengan pendedahan terbaru dakwaan berkaitan penipuan dalam undi pos.

Rejimen Ke-2 Kor Armor Di Raja, Kem Sunggala, Port DickSon didakwa akan mengadakan latihan menembak di Melaka pada hari pengundian pos di adakan.

Perkara itu didedahkan Pengerusi Jawatankuasa khas berkaitan Undi Pos, Suhaizan Kayat dalam blognya www.kentong-suhaizan.blogspot.com hari ini.

Beliau ketika mengesahkan perkara itu berkata, mengikut maklumat diperolehi, latihan tersebut akan diadakan pada 7, 8 dan 9 Oktober ini.

Kesemua anggota terlibat dijangka hanya akan pulang semula ke kem sehari kemudian selepas selesai latihan.

"Tarikh tersebut hari anggota tentera mengundi pos, kalau pergi latihan, macam mana nak mengundi," katanya yang juga ketua penerangan DPP.

ImageMengikut kebiasaan, kesemua anggota yang terlibat yang tidak sempat mengundi pada dua hari yang ditetapkan tersebut, borang mengundi untuk mereka akan dihantar pada 10 Oktober.

Kemudian kesemua kertas undi itu akan dipos kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seblum jam 5 petang 11 Oktober.

"Kita dapat maklumat, mengikut amalan kebiasaan, kertas undi mereka yang terlibat latihan akan dipangkah oleh orang lain bagi pihak mereka.

"Orang yang pangkah itu kita panggil pengundi setan," katanya lagi.

Mengukut maklumat yang didedahkan juga, jadual undi pos bermula pada 7 Oktober iaitu hari pengeluaran kertas undi pos.

Tarikh 8 dan 9 haribulan pula adalah hari pengundian manakala 10 Oktober adalah hari kertas undi siap untuk di pos kepada SPR.

Kem Sunggala menempatkan anggota yang kedua teramai iaitu seramai 1,130 orang pengundi pos.

"Adakah ini muslihatnya untuk mempastikan sampul keutamaan hanya dipos sahaja ?

"Bila dipos ia akan memudahkan penipuan," ujarnya lagi.

Dalam blognya juga, dia turut mendedahkan jadual kempen Umno BN dalam kem.

Kempen dalam kem mereka bermula hari ini melibatkan Proses Culaan Jentera BN di Institud Kejuruteraan Tentera Darat (IJED), Kem Kg Sawah yang menempatkan seramai 847 pengundi pos.

Pada 5 haribulan pula, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan berkempen kepada Rejimen Ke-2 Kor Armor Di Raja, Kem Sunggala yang menempatkan sejumlah 1,130 anggota.

Manakala hari berikutnya, Zahid akan berkempen di Institut Pengurusan Tentera Darat (IPDA), Kem Si Rusa yang menempatkan 407 anggota.

"Suasana ini tidak adil kerana BN dibenarkan untuk berkempen tapi PAS tidak dibenarkan", katanya._/Harakahdaily

KISAH BENAR - SEJADAH BERDIRI LAGI ?

03 October 2009

Terkejut lihat sejadah berdiri...


MOHAMAD Shuhaimi (kiri) bersama beberapa jirannya melihat sejadah miliknya
yang 'berdiri' di Permatang Pauh, Bukit Mertajam semalam.

BUKIT MERTAJAM - Jika pada pertengahan bulan lalu, penduduk di Kampung Tok Sangkut, Repek, Pasir Mas digemparkan dengan kejadian sejadah 'berdiri' yang menyerupai orang sedang bersembahyang, kejadian yang sama berlaku di Permatang Pauh di sini malam kelmarin.

Dalam kejadian di Taman Haji Mohd. Amin itu, sepasang suami isteri yang berselisih faham mengenai arah kiblat di rumah mereka terkejut apabila sejadah yang terdapat dalam salah sebuah bilik tiba-tiba 'berdiri' menyerupai orang sedang bersembahyang dalam keadaan duduk antara dua sujud.

Menurut Mohamad Shuhaimi Md. Ilias, 26, sebelum kejadian itu, dia bersama isterinya, Zainab Ramli, 26, yang sedang dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di taman itu telah berbincang sesama sendiri untuk mendapatkan kepastian arah kiblat dengan menjadikan arah kiblat sebuah masjid berhampiran rumah sebagai panduan.

"Sebaik tiba di rumah kira-kira pukul 8.10 malam (kelmarin), isteri saya telah membentangkan sehelai sejadah yang sering kami gunakan untuk menunjukkan kepada saya arah kiblat.

"Tidak lama kemudian, kami pun membiarkan sejadah berkenaan terbentang dan saya terus ke ruang tamu untuk memandikan anak kami manakala isteri saya menggosok pakaian di dalam bilik dengan membelakangkan sejadah tersebut," katanya yang telah menyewa rumah berkenaan sejak lebih setahun lalu.

Menurutnya, kira-kira pukul 9.45 malam ketika isterinya ingin menggantung pakaian yang sudah digosok, tiba-tiba dia terlihat sejadah tersebut sudah 'berdiri' tegak melebihi 0.3 meter dan membentuk seperti seorang wanita yang sedang bersembahyang menghadap arah kiblat./Kedahlanie.blogspot

Jumaat, 2 Oktober 2009

Pas dakwa 70 peratus pengundi pos pesara tentera

KUALA LUMPUR - PAS mendakwa 70 peratus daripada 4,604 pengundi pos yang berdaftar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, adalah anggota tentera yang telah bersara dan tidak lagi tinggal di kawasan itu, kata Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali

Berikutan itu, beliau meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengkaji semula kaedah atau mekanisme yang boleh diambil dalam menangani isu tersebut bagi mengelakkan timbulnya persoalan sama ada daftar pemilih itu benar-benar bersih atau sebaliknya.

"Melalui semakan yang dibuat, kita dapati mereka (pengundi pos) yang benar-benar tinggal di Kem Sirusa (di kawasan Bagan Pinang) ialah sekitar 1,200 orang sahaja.

"Daripada senarai yang dikeluarkan (SPR), memang 4,604 orang tetapi hasil semakan mendapati hanya 1,200 orang yang masih tinggal (di kem itu) dan kita akui 1,200 ini memang berhak mengundi. Tetapi persoalannya mengapa senarai itu boleh menjadi 4,604 orang," katanya pada sidang akhbar di pejabat PAS Pusat di sini hari ini.

Semalam, Setiausaha SPR Datuk Ngah Senik dilaporkan berkata bahawa pilihan raya kecil itu mencatatkan jumlah undi pos paling ramai setakat ini.

Beliau berkata tarikh pengundian bagi undi pos dijangka diadakan selama dua hari mulai 8 Okt ini.
Mustafa berkata, dalam kaedah pilihan raya, mereka yang telah bersara bermaksud mereka tidak lagi tinggal di kem tersebut dan dengan itu mereka seharusnya mengundi sebagai pengundi biasa.

Menurutnya, bagi angkatan tentera, mereka yang telah bersara sememangnya tidak lagi tinggal di kem kecuali mereka yang masih dalam perkhidmatan.

"PAS bimbang mereka yang tidak tinggal di kem dibenarkan mengundi. SPR tidak perlu kekalkan nama mereka di mana mereka tidak lagi tinggal di situ," tegasnya.

Mustafa bagaimanapun mengakui bahawa SPR tidak mempunyai kuasa untuk memindahkan nama dan alamat pengundi selagi mereka sendiri (anggota tentera terbabit) tidak mengubahnya.

"Walaupun saya boleh jangka yang SPR akan memberi alasan siapa yang ada dalam senarai memang layak mengundi dan mereka tiada kuasa untuk mengubah dan memindahkan daftar pengundi, kami tetap meminta SPR supaya dapat memikirkan satu kaedah di mana hanya mereka (pengundi pos) yang benar-benar tinggal di situ dibenarkan mengundi," jelasnya.

SPR menetapkan esok sebagai hari penamaan calon dan sekiranya ada pertandingan, hari pengundian adalah pada 11 Okt ini.

Selasa lepas, Barisan Nasional (BN) mengumumkan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai calon parti itu manakala Pakatan Rakyat meletakkan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Zulkefly Mohamad Omar sebagai calon mereka.

Kerusi DUN Bagan Pinang yang dimenangi BN dengan majoriti 2,333 undi pada pilihan raya umum lepas kosong berikutan kematian penyandangnya Azman Mohammad Noor akibat jangkitan kuman dalam darah pada 4 Sept lepas. - Bernama

BAGAN PINANG- VIDEO CERAMAH MENGGEMPARKAN

Khamis, 1 Oktober 2009

SUDAH NASIBMU JENERAL TAN SRI ABD AZIZ

Kerajaan Hina Tentera!



Dari TVantara

Cara persaraan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Abd Aziz Zainal yang memecah tradisi tanpa sebarang penghormatan yang sesuai dengan kedudukkannya menimbulkan pelbagai tanggapan rakyat terhadap cara kerajaan Barisan Nasional(BN) melayan ketua institusi keselamatan negara.

Jeneral Tan Sri Abd Aziz Zainal boleh disifatkan sebagai “undur senyap senyap” , iaitu bersara tanpa apa-apa penghormatan tentera seperti perbarisan kehormat, jamuan makan malam, lawatan ataupun menemui rakan-rakan dari Negara lain, terutamanya negara-negara ASEAN. Semua itu lazim bagi seseorang Panglima ATM yang akan bersara malah ia dianggap satu “tradisi ketenteraan”.

Suara Keadilan mendapatkan penjelasan beberapa pegawai ATM, yang masih bertugas dan juga yang sudah bersara, mengenai perkembangan “pelik’ ini . Rata rata ramai yang bersetuju bahawa apa jua alasan, adalah tidak wajar kerajaan melayani Jeneral Abdul Aziz demikian dan seolah-olah memaksa beliau bersara secara mengejut.

Penghinaan ke atas ATM itu tentu dirasai oleh warga tentera khususnya setelah Najib bingkas melanjutkan tempoh perkhidmatan Ketua Polis Negara Musa Hassan untuk kali kedua, bagi tempoh setahun lagi.

Menurut Datuk Kapten(B) Abu Zahar Hashim apa yang berlaku ke atas Jeneral Abd Aziz adalah di luar tradisi yang diamalkan selama ini.

“Tindakan ini semacam pihak kerajaan memperlekehkan institusi ketenteraan, ini sesuatu yang sangat tidak wajar, beliau sepatutnya diberi penghormatan sepertimana Jeneral-jeneral ATM lain yang telah bersara,” katanya.

Menurutnya lagi, paling tidak,Jeneral Abd Aziz wajar diberi peluang melawat kem kem tentera seluruh negara bagi mengucapkan selamat tinggal kepada pegawai dan anggota tentera dan bagi mereka pula mengucapkan selamat bersara kepada beliau. Di samping itu katanya persaraan Jeneral Abd Aziz mesti dimasyhurkan.

Amat memalukan kata Datuk Kapten (B) apabila pihak akhbar arus perdana yang dimiliki parti pemerintah tutut tidak memberi pengiftirahan dan sebaliknya hanya menyiarkan berita kecil mengenai persaraan Jeneral Abd Aziz.

Abu Zahar yang kini menyertai PAS menempelak BN yang menurutnya hanya “menggunakan” ATM bagi “memenangkan” mereka dalam pilihan raya tetapi bertindak tidak wajar terhadap pemerintah tertinggi ATM.

Jeneral Abd Aziz sepatutnya bersara pada Ogos 2007 pada umur 56 tahun tetapi selepas dilantik Panglima Angkatan Tentera pada Februari 2007, beliau ditawarkan untuk berkhidmat selama setahun berkuatkuasa dari tarikh perlantikannya sebagai Panglima Angkatan Tentera.

Tempoh berkhidmatan itu sepatutnya berakhir pada hujung Januari 2008.

Namun beliau ditawarkan setahun lagi yang sepatutnya berakahir pada Januari 2009, lebih kurang enam bulan dari umur persaraan wajib, iaitu 58 tahun. Selepas menamatkan perkhidmatan sambungan kali kedua pada Januari 2009, beliau telah ditawarkan sekali lagi sehinggalah 1 September 2009.

Sekarang beliau bercuti peralihan selama 5 bulan sehingga 31 Januari 2010. Secara keseluruhan, Jen. Aziz Zainal berkhidmat sebagai Panglima Angkatan Tentera selama 2 tahun 6 bulan.

Agak menghairankan Kementerian Pertahanan boleh mengumumkan penyerahan tugas Jen. Abd Aziz kepada Panglima Angkatan Tentera yang baru sebelum Majlis Angkatan Tentera bersidang.

Berdasarkan kepada kelaziman, Majlis Angkatan Tentera akan bersidang tentang pelantikan Panglima Angkatan Tentera yang baru dan memerlukan perkenan Yang Di Pertuan Agong sebelum sebarang pengumuman secara rasmi dibuat, dan selalunya ia mengambil masa yang lama.

Menteri Pertahanan, Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan mengumumkan Panglima Tentera Udara Tan Sri Azizan Ariffin sebagai Panglima Angkatan Tentera yang baru.

Jeneral Abd Aziz dinaikkan ke pangkat tertinggi ATM ketika Datuk Seri ( kini Tun ) Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri.

Sebelum “pengunduran senyap’ beliau, perhidmatan adik beliau , Datuk Kamarulzaman Zainal sebagai pengarah kumpulan berita ehwal semasa Media Prima Berhad-TV3 ditamatkan awal iaitu sebelum had tempoh kontrak.”Persaraan” awal Kamarulzaman dikuat kuasakan sebaik sahaja Datuk Seri Najib razak menjadi Perdana Menteri.Sebelum bertugas di Media Prima Kamarulzaman ialah setiausaha akhbar Abdullah Ahmad Badawi./Anwaribrahimblog.com