JOM MASUK AHLI

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

DENGARKAN KOBAT FM ONLINE

Ahad, 3 Oktober 2010

BERANIKAH IBRAHIM ALI MASUK GELANGGANG ?

Ibrahim Ali Dicabar Tanding DUN Galas

SHAH ALAM 2 OKT: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mencabar Datuk Ibrahim Ali bertanding pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas bagi membuktikan dakwaan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mendapat sokongan masyarakat Melayu.

"Kalau dakwaan beliau benar, buktikan. Letak calon di Galas dan setidak-tidaknya cubalah dapat balik wang deposit pilihan raya, itu sudah cukup," kata Khalid terhadap pertubuhan bukan Justify Fullkerajaan (NGO) itu.

Kata beliau, majoriti penduduk pekan Galas adalah Melayu dan sepatutnya Perkasa tidak menghadapi masalah memenangi pilihan raya kecil berikutan Ibrahim mengaku menerima sokongan meluas kaum Melayu.

"Saya mahu tengok Perkasa buktikan bahawa mereka memperjuangkan kepentingan orang Melayu. Buktikan Melayu sokong dia," katanya kepada TV Selangor ketika ditemui di majlis Rumah Terbuka PAS Shah Alam, Seksyen 24 petang tadi.

Walaupun Perkasa bukan parti politik berdaftar tetapi Ibrahim – antara Konsensus Bebas Parlimen, boleh menggunakan tiket calon Bebas untuk bertanding pilihan raya kecil itu.

Khalid berkata, DUN Galas adalah lokasi sesuai untuk Ibrahim buktikan segala kebenaran dakwaannya selama ini, apatah lagi Gua Musang adalah 'kubu kuat' Umno-BN, parti yang dianggap selari dengan perjuangan Perkasa.

"Biarlah dia (Ibrahim Ali) bertanding di situ. Kita mahu tengok sejauh mana dakwaan yang dia mewakili dan memperjuang orang Melayu serta diterima masyarakat Melayu,' kata beliau lagi./TVSelangor

UMNO SEMAKIN MENAMPAKKAN KEJAHILANNYA

Mohd Ali Hashim

TASEK GELUGOR, 2 Okt: Sepanjang perjuangan dalam politik negara, Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak pernah menentang kewujudan judi dalam negara ini.

Sejak menerajui negara, Umno dan BN banyak meluluskan lesen judi seperti Toto, Magnum, Empat Nombor Ekor, Genting dan juga kilang arak seperti Carlsberg serta rumah-rumah urut.

Menurut Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu, perjuangan PAS sentiasa menentang kemungkaran yang dilakukan oleh Umno dan BN.

"Sepengalaman saya selama tiga penggal menjadi ahli Parlimen, tidak pernah ada pemimpin Umno yang bangun menentang pemberian lesen judi yang dikeluarkan dalam negara ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ceramah isu semasa di Pongsu Seribu, Tasek Gelugor malam tadi. Turut hadir ialah Exco Masyarakat Penyayang Negeri, Phee Boon Poh.

Dalam majlis tersebut juga sebanyak 200 borang pendaftaran warga emas baru bagi kawasan Parlimen Tasek Gelugor telah disampaikan kepada Phee untuk didaftarkan dalam sistem pendaftaran kerajaan negeri.

Katanya, kerajaan yang dipimpin oleh Umno jugalah yang mewujudkan Loteri Kebajikan Masyarakat sehingga menimbulkan polemik di kalangan masyarakat Islam suatu ketika dahulu.

"Namun begitu, sejarah ini mereka lupa dan pinggirkan. Memang Umno mudah lupa kerana pemimpin mereka juga sering lupa akan apa yang telah mereka lakukan sebelum ini," ujarnya lagi.

Katanya lagi, dalam isu sumber judi yang didakwa digunakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Mohamad membidas Umno negeri yang cuba mempolitikkan warga emas bagi kepentingan mereka.

Justeru, ujarnya dakwaan yang mengatakan warga emas menerima sumber judi dari kerajaan negeri sepatutnya diperhalusi dengan teliti dan jangan buat serangan semberono.

"Bagaimana dengan 'sin-tax' atau cukai dosa yang pernah dibangkitkan dalam Parlimen sebelum ini. Ada soalan bagaimana wang dari sumber judi yang dikutip oleh Kerajaan Pusat seperti cukai penjualan judi, arak, rumah urut dihabiskan.

"Walaupun mereka faham dan tahu hakikat kebenarannya, tetapi Umno dan BN senantiasa menyerang Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) khususnya di Pulau Pinang bagi memperlihatkan kepada rakyat negeri ini bahawa PR tidak mampu untuk memimpin negeri," tegasnya lagi.

Beliau juga menyelar Umno Pulau Pinang yang mempolitikkan isu pemberian wang RM100 kepada warga emas yang disifatkan sebagai sumber dari wang judi.

Katanya lagi, sepatutnya Umno melihat kembali perlakuan mereka dalam menyalurkan wang kutipan hasil judi seluruh negara dan ke mana disalurkan wang dari punca tersebut sebelum menuduh orang lain bertindak sebaliknya.

"Inilah antara bukti terkini bahawa Umno dan BN itu sudah terdesak dan terpaksa memainkan pelbagai isu agama dan kaum supaya sokongan dapat diraih kembali.

"Saya juga yakin tindakan mereka ini adalah kerana ketakutan yang teramat sangat kehilangan kuasa berterusan yang tidak pernah diimpikan selama ini telah menjadi realiti dalam tahun 2008, kini dan selamanya," katanya lagi./Harakahdaily

MENGAPA YB AZMIN MENJADI MANGSA FITNAH?

Oleh: WFAUZDIN NS

FITNAH mula disebarkan di penghujung kempen pemilihan jawatan utama di dalam PKR. YB Azmin terus menjadi sasaran melalui fitnah yang tidak masuk akal apatah lagi datangnya dari seorang `pengkhianat' yang pernah ingin `berbogel' untuk berdemontrasi di awal pemerintahan Kerajaan PR di Selangor. Apakah pengkhianat seperti ini boleh dipercayai? Baca di sini.
Semalam YB Azmin menafikan dakwaan yang menyebut beliau melakukan konspirasi untuk menjatuhkan Tan Sri Khalid sebagai MB Selangor. Malahan, Tan Sri Khalid juga menolak dakwaan dan fitnah tersebut. Agenda untuk melaga-lagakan YB Azmin dan Tan Sri Khalid nampaknya diperhebatkan menjelang pemilihan kali ini. Namun, semua ahli PKR yang diberi kuasa memilih nampaknya tidak sebodoh yang disangka. Kewibawaan YB Azmin yang sentiasa komited dengan perjuangan di dalam PKR tidak lagi boleh dinafikan.

Mana mungkin YB Azmin menjadi terlalu bodoh untuk melakukan konspirasi sedemikian rupa semata-mata untuk menjatuhkan Tan Sri Khalid. Ramai yang mendakwa YB Azmin adalah `anak emas' DS Anwar Ibrahim, dan jika itu dakwaan mereka maka perlu apa YB Azmin bersusah payah `mengupah' lelaki yang suka `berbogel' itu untuk menjalankan konspirasi terhadap Tan Sri Khalid? Bukankah lebih senang YB Azmin mendapatkan kerusi MB Selangor dengan hanya memujuk DS Anwar sahaja? Masakan DS Anwar tergamak menolak permintaan YB Azmin itu jika benar YB Azmin adalah `anak emas' beliau.

Fitnah seterusnya ada yang menyebut bahawa DS Wan Azizah amat tidak menyukai YB Azmin untuk menjadi Timbalan Presiden PKR. Begitu juga dengan YB Nurul Izzah. Ini semua dakwaan tidak berasas sama sekali. Jika DS Wan Azizah atau YB Nurul Izzah tidak menyokong YB Azmin, itu adalah perkara biasa di dalam amalan demokrasi tetapi menyebut bahawa DS Wan Azizah dan YB Nurul Izzah `membenci' atau anti YB Azmin itu adalah fitnah jahat. Tiada sebab untuk Presiden dan anaknya itu membenci YB Azmin.

Saya kagum dengan YB Azmin yang masih `steady' dengan semua fitnah jahat ini. YB Azmin tidak pernah memperlekeh Presiden ataupun Timbalan Presiden apatah lagi Ketua Umum PKR. Beliau tidak menggelar Presiden dengan gelaran `boneka' dan beliau juga tidak menghina Timbalan Presiden sekarang dengan gelaran `nyanyuk'. Beliau tahu menghormati Ketua Umum dan tidak melabelkan Ketua Umum sama seperti 1ahli biasa' parti walaupun beliau sedar jawatan Ketua Umum tiada di dalam Perlembagaan atau Organisasi Parti.

Mungkin ada yang menganggap saya taksub dengan YB Azmin. Pada saya, seperti juga kepada yang lain sekiranya terdapat tuduhan maka siasatan rapi mesti dijalankan. Bukti mesti kukuh bukan hanya sekadar mendengar cakap dari orang yang suka `berbogel' itu. Jika ada cd rakaman, siasat segera. Sesiapa pun boleh merakam suara dan menyebut nama si Polan dan si Polan tetapi adakah itu benar? Mengapa waktu pemilihan sekarang baru timbul? Lakukan siasatan dan jika terbukti YB Azmin melakukan kerja jahat itu, maka YB Azmin harus diambil tindakan malahan boleh dipecat. Tetapi, jika tidak benar maka pembawa cerita fitnah itu pula haruslah juga dikenakan tindakan.

Selagi YB Azmin tidak dibuktikan bersalah, maka beliau adalah pemimpin yang paling layak untuk menjadi Timbalan Presiden PKR. Kelayakan beliau sememangnya telah diuji sejak awal lagi dan komitmen beliau terhadap perjuangan PKR tiada siapa boleh nafikan. Sememangnya musuh-musuh PKR amat bimbang jika YB Azmin berada di saf kepimpinan kerana beliau banyak mewarisi sifat kepimpinan dan ketokohan seperti DS Anwar walau pun sedikit. /wfauzdin.blogspot.com

Sabtu, 2 Oktober 2010

TPM `BAPAK PEMBOHONG' ?

Siapa ketuai BN di Galas? Ku Li terus berteka-teki
Okt 1, 10
Soalan siapa akan mengetuai jentera pilihan raya BN semasa kempen di dewang undangan negeri Galas terus menjadi teka-teki apabila pemimpin veteran Umno yang dipertanggungjawabkan tugas itu, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, beliau belum berkata 'ya ataupun tidak'.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa lalu mengumumkan bahawa Tengku Razaleigh telah bersetuju memikul tugas itu, tetapi ahli parlimen Gua Musang - hari ini pada halaman Twitter - menafikan perkara itu.

"Rakan, rakan, saya tidak berkata ya ataupun tidak. Saya akan menjelaskan berhubung Galas apabila saya pulang ke Malaysia,” tulisnya pada jam 6.35 waktu tempatan.

Tengku Razaleigh kini berada di Ireland, bagi melawat universiti di mana beliau mendapat pendidikannya - Queen's University di Belfast. Beliau dijadualkan pulang pada 9 Oktober ini.

Namun pada awalnya, tidak dapat dipastikan sama ada Tengku Razaleigh merujuk kepada pengumuman kenyataan Muhyiddin atau cadangan dari pihak lain yang beliau dilantik sebagai pengarah pilihan raya BN.

Bagaimanapun, gambaran semakin jelas, apabila seorang daripada pengikutnya mengemukakan soalan di Twitter kepadanya: "Harap maaf Tengku, tetapi kenapa TPM asyik berkata bahawa anda telah persetujui? Bukan sekali tetapi hampir setiap hari.”

Menjawab soalan itu, Razaleigh menyerahkan perkara berkenaan kepada Muhyiddin dengan berkata beliau belum memberi sebarang persetujuan berhubung jawatan berkenaan.

"Itu, kita kena tanya beliau. Saya setakat ini belum membuat sebarang kenyataan,” jawab Razaleigh./Malaysiakini

NAJIB AKUR `SILAP PILIH KUDA', RAKYAT PUN SILAP PILIH KUDA JUGA

Oleh: WFAUZDIN NS

NAJIB akhirnya mengakui pertelingkahan Tun Mahathir - DS Anwar di era tahun 98, menjadikannya seperti `pelanduk' yang hampir mati di tengah-tengah. Najib di dalam PRU 99 hampir tewas dan dimalukan dengan kemenangan tipis majoritinya di Parlimen Pekan waktu itu hanya 241 undi sahaja. Beliau akur, rakyat suka kepadanya tetapi benci dan meluat apabila DS Anwar difitnah dengan tuduhan liwat. Baca di sini.
Najib turut mengeluh dan berkata “meskipun seseorang itu cekap tetapi jika memilih 'kuda yang salah', mereka akan berakhir dengan tragik” (Malaysiakini). Kini, era Mahathir telah lama berlalu dan Mahathir sehingga kini tidak pernah mengakui kesilapannya, bahkan Mahathir terus menganggu sesiapa sahaja PM selepasnya. Inilah perangai Mahathir yang semua orang tahu dan tidak hairan jika Mahathir amat menyanjung Perkasa kerana pemimpin Perkasa itu sendiri mempunyai perangai `aneh' seperti beliau juga.

Malangnya, Najib juga tidak belajar dari kesilapan Mahathir. Najib tahu bahawa Umno semakin dijauhi oleh orang-orang Melayu kerana kesilapan pemimpin lampau yang zalim terhadap DS Anwar. Mengapa harus Najib kekalkan kezaliman itu? Nampaknya rakyat sekali lagi memilih `kuda yang salah'. Saya yakin, sekiranya Najib mahu berubah dan tidak mahu lagi meneruskan kerja jahat Mahathir, sokongan terhadap Umno mungkin berubah walaupun dikatakan sudah terlewat sekarang. Tetapi, sekurang-kurangnya nama Umno dapat dibersihkan sedikit.

Sekarang, Najib terus menjadi mangsa politik Mahathir. Bukan orang-orang Melayu sahaja yang semakin menjauhi Umno, bahkan rakan sekutu mereka di dalam Bn pun dilihat semakin tawar hati untuk bersama Umno. Perkasa juga turut memusuhi Umno walaupun dikatakan Perkasa begitu kuat `Kemelayuan'nya. Akhbar milik Umno, Utusan Malaysia juga seringkali menunjukkan ketidaksefahaman dengan pimpinan Umno. Itulah bahananya apabila Najib berterusan mengekalkan kezaliman Mahathir.

Di dalam PRU ke 13 nanti, sudah dapat dijangka Umno tiada pilihan lain melainkan akan terus memainkan isu perkauman dan agama. Tangan kanan Umno mengeluarkan lesen judi dan arak, manakala tangan kirinya dihulurkan kepada PAS untuk bersatu `demi Islam dan Melayu' kununnya. Puak-puak yang jahil agama di dalam Umno mula mengeluarkan `fatwa' untuk memburukkan Kerajaan Negeri di bawah PR, sedangkan yang `Ulamak' di dalam Umno terus membisu. `Ulamak' ini berada di dalam dilema samada untuk pertahankan Islam atau pun Umno./wfauzdin.blogspot.com

Jumaat, 1 Oktober 2010

KRISIS UMNO - UTUSAN, MENGAPA ?

'Umno, Utusan makin renggang'

Jimadie Shah Othman & Hazlan Zakaria
Okt 1, 10

Kongsi 25 Walaupun ramai melihat Umno dan Utusan Malaysia mempunyai hubungan yang sungguh erat, namun terdapat wartawan-wartawan di harian berbahasa Melayu itu mempunyai pandangan sebaliknya.

Menurut Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Malaysia Hata Wahari, tidak seperti dahulu, kini hubungan pekerja-majikan digambarkan lebih 'dingin', termasuk apabila wartawannya rata-rata didakwa mahu Utusan bebas daripada pengaruh Umno.

"Kita lihat Utusan ini milik Umno, tetapi saya tengok tak ada pun Umno jaga (kebajikan) kita. Kita berlari memperjuangkan hak sendiri."

"Kalau betul Umno jaga kita dan (bila) dianggap Utusan ini milik Umno, tentulah Umno jaga kita," katanya mengulas isu kegagalan rundingan perjanjian bersama antara NUJ dan pentadbiran Utusan yang tertunggak kira-kira dua tahun.

Hata - wartawan kanan 15 tahun di Utusan - berkata, sekiranya setiap ahli Umno melanggan senaskhah akhbar itu setiap hari, tentulah jualannya tidak jatuh merosot teruk seperti sekarang.

Begitu juga dengan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) yang dilihat mendapat liputan 'istimewa' daripada akhbar itu, tambah Hata.

"Kita (wartawan Utusan) sokong orang yang salah ke? Atau kita hanya digunapakai untuk kepentingan masing-masing?" soalnya ketika diwawancara Malaysiakini di Kuala Lumpur kelmarin.

Johan Jaafar lelaki budiman

Bagaimanapun, setelah 15 tahun berkhidmat dengan akhbar itu, Hata berpendapat, dalam isu kebebasan media, Utusan berada pada tahap terbaik ketika dipimpin oleh Datuk Johan Jaafar (kiri) sebagai ketua pengarang sekitar hujung 90-an.

"Pada zaman Datuk Johan Jaafar tahap kebebasan (Utusan) agak tinggi, (kira-kira) 60 peratus (bebas), terbaik sekali di Utusan. Pada masa itu kita perjuang nasib orang ramai. (Antaranya) perjuangan tingkatkan rumah murah untuk rakyat miskin," jelas Hata.

Persoalannya, bagaimana hendak membebaskan Utusan sedangkan ia memang milik Umno?

Bagi Hata, tanggungjawab itu terletak pada bahu ketua pengarang.

"Itu terpulang pada ketua pengarang ke mana visi hendak dibawa. Kalau Johan boleh bawa (visi itu), dia jadi lelaki budiman..." kata Hata (kiri) lagi.

Berbangga dengan liputan Utusan pada masa itu, Hata menjelaskan, pada masa pentadbiran Johan, program pembangkang turut mendapat liputan dan tidak diabaikan.

"Muktamar PAS kita bagi liputan penuh sampai dua hingga tiga muka surat tak ada masalah," katanya.

Apung saham Utusan

"Politik berubah, tetapi media tak perlu berubah."

Menurut Hata lagi, pengalaman akhbar harian berbahasa Nanyang Siang Pau 'menghambat' cengkaman parti politik - dalam kes ini MCA - boleh dijadikan contoh yang baik.

"Kalau orang luar boleh tekan MCA (supaya) jangan ambil Nanyang, kenapa kita tak boleh buat?" soal Hata.

Selepas MCA mengambil alih Nanyang pada 2001, parti Cina itu menerima pelbagai bantahan daripada dalam dan luar, menyebabkan semua kepentingan dijual kembali secara berperingkat.

Akhbar itu bebas sepenuhnya daripada pengaruh MCA pada Ogos lalu apabila kesemua 3.6 peratus kepentingannya dalam harian bisnes itu dilepaskan.

"Itu kita (perlu) ajukan. Biar saham Utusan diapung di bursa saham, tak payah siapa pegang," kata Hata lagi.

Untuk tujuan untuk, sebagai antara langkah bagi meliberalisasikan media, Hata menambah, kalau perlu, pihakknya sanggup turun berdemonstrasi bagi memperjuangkan tuntutan itu.

Awang Selamat paling berkuasa

"Kalau kita perlu demo kita demolah. Apa masalahnya. NUJ ini sejak dulu memang terkenal dengan demo. Kita tak dapat bonus, kita pergi ke jalanraya. Kita tak dapat elaun kereta, kita pergi ke jalanraya. NUJ dah memang sinonim dengan demonstrasi.

"Setakat pergi ke jalanraya, NUJ dah terlampau masak," katanya dalam wawancara satu jam penuh ceria itu.

Sementara itu, ditanya tentang idenditi kolumnis terkenal dan kontroversi Utusan, Awang Selamat beliau nampaknya masih keberatan mendedahkan perkara itu.

Bagaimanapun, tegasnya, perkara itu sudah menjadi open secreet (rahsia terbuka) di kalangan pelbagai pihak.

"Dia antara orang paling berkuasa di Utusan," katanya, masih berteka-teki.

Ketika Malaysiakini bertanya sama ada orang itu adalah ketua pengarangnya sekarang Datuk Aziz Ishak, tiada sebarang jawapan diberikan, sebaliknya Hata hanya ketawa besar./Malaysiakini

APABILA JAHIL, REZEKI ALLAH PUN DITOLAK

Kesihan mereka....
Oleh: Mandor

KESIHAN tengok orang-orang tua yang telah diperbodohkan oleh Umno di P.Pinang. Sudahlah mereka dulu azab di bawah Bn, bila tiba masanya mereka ingin merasai sedikit kesenangan dan nikmat di bawah kerajaan PR, mereka dihasut oleh `Syaitan' berwajah manusia. Begitulah nasib apabila kita tidak berilmu, sentiasa diperbodohkan oleh orang.

Bukan banyak pun, cuma dapat seratus ringgit sebagai sumbangan Kerajaan Negeri kepada mereka. Oleh kerana bodoh sombong, mereka pulangkan semula sumbangan itu. Paling menyedihkan, yang menghasut mereka untuk itu adalah sebangsa dengan mereka tetapi mereka itu jauh lebih kaya. Ada di antara mereka itu sudah kekenyangan memakan gaji dan elaun dari Kerajaan Negeri sebagai Adun, tidak pula mereka mengatakan gaji atau elaun mereka hasil dari judi. Mereka mentekedarah semuanya dan memberi makan minum anak bini mereka. Bukankah itu semua datangnya dari kewangan Negeri juga sama seperti seratus ringgit yang diterima oleh orang-orang tua tersebut?

Kerajaan Negeri telah mengesahkan duit itu datangnya dari sumber yang halal, tetapi mereka masih percaya kepada hasutan `Syaitan' bertopengkan manusia itu. Kadangkala ada orang yang sudah biasa makan hasil dari yang haram, mereka tidak lagi mahu menerima hasil dari yang halal. Mungkin memakan bangkai lebih sedap dari memakan binatang halal yang disembelih.

Jika mahu pulangkan juga duit itu, mengapa tidak pulangkan terus kepada Kerajaan Negeri yang memberi wang itu kepadanya? Mengapa mesti menemui bapak penipu itu? Rugikah Kerajaan P.Pinang jika mereka pulangkan semua wang sumbangan itu? Sudah tentu tidak, kerana masih ramai lagi yang suka memakan hasil yang halal walaupun sedikit. /mandor.blogspot.com