JOM MASUK AHLI

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

DENGARKAN KOBAT FM ONLINE

Isnin, 3 Ogos 2009

PRK DUN PERMATANG PASIR - BERI LALUAN KEPADA PAS, KATA ANWAR

Pemimpin akar umbi mahu PKR di Permatang Pasir

BUKIT MERTAJAM- Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata terdapat permintaan daripada pemimpin dan akar umbi parti itu supaya PKR meletakkan calonnya untuk bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir.

Beliau berkata, cadangan itu dibuat berikutan gerakan PKR di kawasan Permatang Pasir adalah kuat dan mantap.

Katanya, mereka telah mengemukakan cadangan itu kepada beliau untuk dibincangkan di peringkat kepimpinan tertinggi pakatan pembangkang dan berharap ia diberikan pertimbangan yang sewajarnya.

Ketika bercakap kepada pemberita semasa menghadiri majlis perkahwinan seorang penduduk di Permatang Pauh, di sini hari ini, beliau bagaimanapun menasihatkan mereka agar menerima siapa sahaja yang diputuskan oleh kepimpinan tertinggi gabungan pembangkang kelak.

"Secara peribadi, saya nasihatkan mereka supaya memberi laluan kepada Pas untuk bertanding di kawasan itu berdasarkan prestasi Anggota Dewan Undangan Negerinya (ADUN) Allahyarham Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman yang cukup baik dan kerjasama yang diberikan Pas kepada pakatan selama ini di Permatang Pasir," katanya.

Bagaimanapun, katanya, pandangan dan hasrat akar umbi itu akan dibincangkan dengan presiden parti dan kepimpinan pakatan pembangkang sebagai menghormati permintaan mereka itu.

"Kita perlu memberi ruang kepada mereka menyuarakan pandangan walaupun secara peribadi berpendapat mereka harus mengambil kira kerangka pakatan pembangkang yang lebih besar," katanya.

Anwar, yang juga Anggota Parlimen Permatang Pauh berkata, walaupun kecenderongan sokongan rakyat kepada gabungan pembangkang terutamanya di

Semenanjung meningkat, namun faktor calon memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan pada pilihan raya kecil itu.

Katanya, calon yang bakal diketengahkan perlu mempunyai kewibawaan dan boleh berkhidmat kepada masyarakat.

Ketika ditanya sama ada keputusan pilihan raya kecil DUN Manek Urai, Kelantan boleh menjejaskan sokongan rakyat terhadap pembangkang di sini, beliau yakin rakyat akan terus menyokong mereka kerana keadaan dan latar belakang penduduk Manek Urai amat jauh berbeza dengan Permatang Pasir.

Apapun, katanya, kemenangan Pas di Manek Urai perlu dihormati kerana parti itu tidak pernah memenangi pilihan raya kecil di Kelantan sebelum ini.

Pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir akan diadakan berikutan kematian Allahyarham Mohd Hamdan, 63 di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur Jumaat lepas akibat sakit jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengumumkan tarikh penamaan calon dan pengundian selewat-lewatnya pada 10 Ogos.

Mengenai isu Kampung Buah Pala, Anwar berkata, beliau yakin dengan kemampuan Ketua Menteri, Lim Guan Eng untuk menyelesaikan isu berkenaan dan berpuas hati dengan kaedah penyelesaian yang dikemukakan kerajaan negeri Pulau Pinang setakat ini.

Oleh itu, katanya, Lim dan kerajaan negeri harus diberi peluang untuk menyelesaikan isu itu dan tiada keperluan baginya untuk turun padang dan bertemu dengan penduduk ketika ini.

"Datuk Seri Najib tak pi jumpa, anda tak sibuk, Muhyiddin tak pi jumpa, anda tak sibuk. Apa pasal saya nak jumpa (mereka)? Saya yakin dengan cara Ketua
Menteri dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang buat. Tak semestinya saya jumpa semua. Permatang Pauh memang kawasan saya dan saya datang.

"Kalau dirasakan perlu, saya boleh jumpa tetapi kalau jumpa untuk motif politik, ini bukan kaedahnya melainkan tidak ada penyelesaian,"katanya ketika ditanya mengapa beliau tidak menemui penduduk Kampung Buah Pala sedangkan semasa kempen pilihan raya umum 2008, beliau ada menemui penduduk di situ dan berjanji untuk membantu mereka jika gabungan pembangkang memenangi pilihan raya itu.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan