JOM MASUK AHLI

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

DENGARKAN KOBAT FM ONLINE

Jumaat, 23 Oktober 2009

KADIR BEKAS WARTAWAN BUSUK?

Thursday, October 22, 2009

OKT 22 — Kuman di seberang laut nampak, gajah di depan mata buat-buat tak nampak.

Itulah yang saya tahu mengenai A. Kadir Jasin, seorang wartawan dan pengarang terkenal yang berkhidmat penuh setia di bawah rejim Tun Dr Mahathir Mohamad dahulu. Secara peribadi, saya tak pernah kenal mesra dengan Kadir. Oleh itu saya hairan mengapa dalam blognya dia telah begitu bersungguh sungguh melemparkan tuduhan liar tanpa sedikit pun rasa tanggungjawab terhadap kebenaran. Malah saya tak pernah bertemu dengan mana-mana wartawan atau pengarang yang begitu hitam kesumatnya sehingga sanggup memfitnah orang lain seperti Kadir ini.

Dalam blognya, dia menggelar saya Hurricane Hattie, satu watak kartun tahun 60an yang suka mengacau orang lain. Saya ini dianggap oleh Kadir sebagai pengacau dalam Umno dan kini pengacau dalam PKR. Dia kata dia tidak berniat jahat tetapi setiap ayat yang ditulisnya berbau busuk dan jahat. Dia kata saya ini kaya-raya kerana Umno. Tuduhan ini sebiji sama dengan tuduhan “boss” Kadir, iaitu Dr Mahathir. Dia tuduh kononnya saya kaya setelah Umno diharamkan. Saya kononnya menjadi orang perantaraan dalam penyelewangan harta Umno tersebut. Jadi dari situlah harta Umno hilang dan orang seperti saya menjadi kaya-raya. MasyaAllah!

Selalunya orang yang berlatarbelakang kewartawanan seperti Kadir sepatutnya membuat penyelidikan dahulu supaya semua fakta lengkap dan tepat bagi memastikan tulisannya adil dan seimbang. Saya boleh menerima tuduhan asalkan ada fakta dan maklumat yang tepat. Tapi nampaknya Kadir tidak pernah berubah sikapnya sebagai budak suruhan. Sejak zaman dulu, kewartawanan yang dibawanya memang propaganda basi dan bohong semata-mata. Sebagaimana yang diajar kepada budak-budak wartawannya, cara tulisan Kadir hanya mahu ajak ramai orang merasa benci kepada saya. Walaupun apa yang ditulis itu adalah fitnah dan tidak berasas.

Kadir patut sedar bahawa propaganda murahan zaman dia berkuasa di New Straits Times sudah tak laku lagi. Lebih baik bagi Kadir jika dia menyatakan apa yang benar. Ramai orang tahu Kadir baik dengan Tun Daim Zainuddin, iaitu Bendahari Umno pada masa itu. Sudah tentu rapat juga hubungannya dengan Presiden Umno Baru Dr Mahathir. Begitu juga dengan orang kaya Umno Tan Sri Halim Saad. Peguam Negara pada masa itu pula ialah Tan Sri Abu Talib yang bertanggungjawab kepada pejabat Official Assignee tahu ke mana harta Umno pergi; semua mereka ini masih hidup. Biarlah mereka yang mendedahkan penyelewengan ini.

Berilah fakta dengan tepat bagaimana, jika benar, saya “meraih” harta tersebut. Sebenarnya orang seperti Kadir tak ada apa-apa selain dari membuat tuduhan liar. Seperti yang saya terangkan dalam buku saya “Saya Pun Melayu” saya tidak pernah menjadi orang kanan Umno dan rapat dengan pemimpin tertinggi Umno. Saya tak sampai taraf Kadir yang berselisih bahu dengan pucuk pimpinan Umno waktu Dr Mahathir hebat dulu. Saya bukan peguam korporat Umno. Yang jadi peguam korporat Umno masa itu adalah Rashid & Lee, termasuklah Ketua Hakim Negara yang ada sekarang. Saya hanya buat seketika menjadi peguam kepada UEM dalam kes penswastaan Lebuh Raya Utara Selatan. Saya tidak pernah terlibat dalam apa -apa “corporate deals” berhubung Halim atau sesiapa pun. Ini semua telah saya jelaskan dalam buku saya tanpa berselindung.

Orang macam Kadir ini masih ramai dalam pimpinan Umno. Mereka tahu apa yang sebenar berlaku. Malah ramai pula yang dapat habuan dari Umno. Agaknya mereka rasa bersalah dan cuba nak palit dengan orang lain pula. Bila mereka rasa besar diri dan sedar ramai ahli biasa Umno tidak mengetahui banyak hal-hal dalaman, mudah bagi mereka membuat tuduhan terhadap orang seperti saya untuk melindungi penyamun yang sebenar. Pada zaman Kadir bermaharajalela sebagai pengarang untuk media milik Umno, saya hanyalah ahli Umno biasa. Jadi dia rasa mudah untuk membuat tuduhan palsu supaya orang benci saya. Mungkin bila Pakatan Rakyat diberi mandat oleh rakyat untuk memerintah Malaysia, kita akan tahu cerita sebenar; bukan sekadar macam mana harta Umno hilang tetapi juga mengapa Umno diharamkan atau dimatikan. Malah mungkin juga terbongkar rahsia siapa penyamun sebenar.

Agaknya boss-boss Kadir takut saya berjaya dalam usaha kecil saya untuk merapatkan parti-parti pembangkang sebagai satu wadah kukuh serta mempunyai dasar bersama untuk melawan Barisan Nasional. Jadi wartawan pencen pun digunakan untuk memburuk-burukkan peribadi orang. Golongan ini tahu jika satu dasar bersama dijayakan oleh Pakatan, banyak masalah dalaman akan selesai dan Pakatan akan bersiap sedia untuk menggantikan BN sebagai pilihan rakyat.

InsyaAllah, jika rakyat memberi mandat, kerajaan pusat Pakatan Rakyat akan memberikan kebebasan kepada semua media untuk memilih pengarang yang benar-benar jujur, ikhlas dan berani dalam profesion mereka di kalangan wartawan sebenar. Ini akan memastikan tidak ada lagi “political assassins” seperti Kadir yang hanya tahu menembak curi orang-orang yang berjuang demi rakyat dan demokrasi.

Bagi saya, kalau PKR, PAS atau DAP yang mendakwa saya ini satu watak kartun dan seorang pengacau, maka saya perlu meneliti tuduhan tersebut. Tetapi kalau setakat penulis upahan Umno yang membuat tuduhan, saya rasa saya masih lagi boleh tidur nyenyak. Lagi pun tak berapa syok nak melayan budak-budak upahan, terutamanya yang hati mereka dah terlalu busuk./wrlr.blogspot

Tiada ulasan:

Catat Ulasan