Air  kumbahan dari rumah mengalir keluar di depan rumah, mengikut "parit  yang terbentuk secara semulajadi".  Lumut tumbuh di sekelingnya,  menunggu motorsikal yang bakal melaluinya dengan risiko yang ditanggung  sendiri.  Arus pembangunan yang deras pada hakikatnya terhenti di  pelusuk Kuching ini.
Kerajaan dominan gagal bantu yang lemah
Di kalangan bumiputera bukan muslim, walaupun Dayakism amat lantang setika dahulu, namun keadaan yang dihadapi Iban, Bidayuh dan Melanau lebih memedihkan.
Menurut  laporan Berma pada tahun 2003, terdapat 36.4% Iban, 33% Melanau dan  25.8% Bidayuh yang masih hidup di bawah paras kemiskinan selepas  tamatnya Dasar Ekonomi Baru.  Apa yang menjadi sindiran, soal selidik  ini juga mendapati bahawa orang Melanau tidak mendapat bantuan yang  banyak daripada pemimpin politik mereka yang menerajui tampuk kerajaan  Sarawak.
Mengapa negeri yang kaya, ditambah pula tindakan afirmatif yang dilaksanakan sekian lama, malah kerajaan dominan yang tidak pernah dinafikan majoriti dua pertiganya dalam DUN - gagal berdepan dengan masalah kemiskinan yang berlanjutan selama 40 tahun? Mengapa Sarawak menjadi sedemikian rupa pada hari ini? Saya menganggap ia berpunca daripada kekurangan "semak dan imbang", sehingga kerajaan yang berkuasa diculik kumpulan berkepentingan - suara dan kuasa rakyat diperlekehkan.
Sumber yang lumayan dikawal sepenuhnya oleh kerajaan yang dominan. Maka pemerintah menjadi rebutan pelbagai pihak. Dalam keadaan di mana tidak wujudnya "saling mengimbangi" dalam sistem, adalah mudah untuk kerajaan menyalahgunakan kuasa, dan membuka ruang kepada rasuah. Pada masa yang sama, keadaan ini membuka pintu kepada pihak yang mencari peluang merentir (rent-seeking).
Sumber dipunggah dengan cepat
Seandainya kumpulan merentir ini telah menjadi puak berkepentingan sama dengan pemerintah, maka mereka yang memunggah harta awam untuk menjadi milikan dirinya akan mempercepatkan langkah untuk memperkayakan dirinya. Jadi, pemerintah akan tumpu kepada bidang pembalakan, perlombongan, pembinaan yang boleh mendatangkan kepentingan dalam masa singkat, menerusi jual beli tanah, lombong, balak dan sebagainya; sebaliknya mengabaikan dasar yang boleh membawa transformasi ekonomi masyarakat dalam jangka panjang- jauh lagi dasar seperti pendidikan, kesihatan, penyelidikan yang disifatkan sebagai pelaburan jangka panjang.
Misalnya,  pembalakan dan pertanian sebagai sektor prima.  Walaupun sektor prima  gagal bersaing dengan bidang pembuatan dari segi skala dan pengkhususan  kerjanya, malah kualitinya gagal menandingi sektor perkhidmatan.  Namun,  untuk negeri (bukan negara bandar) yang mempunyai tanah yang subur, ia  adalah sektor asas yang memperkayakan rakyatnya.  Pertanian menjadi asas  negara - seandainya asas sektor pertanian tidak dikendalikan dengan  baik, maka pembangunan ekonomi dan transformasi semestinya menghadapi  pelbagai rintangan.
Maka pembangunan Sarawak dipengaruhi kumpulan yang merentir, bukan sahaja menjurus kepada tumpuan kerajaan untuk terikut-ikut dengan pengindustrian, malah mengabaikan pembangunan pertanian, di samping menggalakkan pembalakan.
Pertanian diabaikan
Pada tahun 1970-an, dua pertiga daripada rakyat Sarawak terlibat dalam pembalakan, perikanan dan pertanian. Jadi, pembangunan dan pembalakan menjadi dasar yang penting untuk meningkatkan kehidupan rakyat. Dalam Rancangan Malaysia pertama (1966-1970), kerajaan Sarawak memperuntukkan 32% atau bersamaan RM86.7 juta untuk belanjawan pertanian. Tetapi, sehingga Rancangan Malaysia Ketiga (1976-1980), walaupun 56% daripada populasi berkecimpung dalam sektor pertanian, namun peruntukan dikurangkan secara dramatik kepada 8%. Keputusan untuk mendahulukan pembalakan dan kemudiankan pertanian menjadikan sektor perikanan dan penanaman secara kecil-kecilan berada dalam kesempitan.
Sementara  itu, nilai eksport pembalakan melonjak dari RM5 juta pada tahun 1951  kepada RM3.135 bilion pada tahun 1990, malah meningkat kepada RM7 bilion  pada tahun 2008.  Aktiviti pembalakan membawa terlalu banyak  kepentingan kepada negeri Sarawak, malah kebanyakannya dimiliki pemegang  lesen pembalakan.  Lebih teruk, lesen pembalakan menjadi punca politik  naungan, menjadi saluran penting untuk pertukaran kepentingan,  melahirkan ramai jutawan dalam sekelip mata.  Sesungguhnya, ramai  antaranya adalah mereka yang rapat dengan Ketua Menteri, termasuk ahli  keluarga, kawan, ahli politik parti komponen dan sebagainya.
Jadi, sementara Ketua Menteri dan BN Sarawak berpeluk dengan tycoon pembalakan, rezeki dan pembangunan ratusan ribu petani telah diabaikan. Apa yang harus "ditransformasikan" tidak pula ditransformasikan. Lebih-lebih lagi, dengan gejala rasuah yang semakin berleluasa, ketirisan berlaku di mana-mana, dan ekonomi Sarawak gagal mara ke depan.
Jika  pada zaman dahulu, kerajaan dominan yang menguasai sumber akan  menggunakan segala-galanya untuk menghalang, memecah-belah dan membeli  mereka dari pembangkang.  Namun, pada tahun 2011, apabila 308 (8 Mac)  dan 416 (16 April) ditambah akan bersamaan 11, banyak perkara telah  berubah setelah dilanda tsunami politik tiga tahun yang lalu.
Jadi, SUPP yang menjadi "pelindung" untuk Ketua Menteri Sarawak, kini pula melaungkan slogan "transformasi". Mereka lupa bahawa dirinya punca kepada akibat yang dihadapi sekarang. Pengundi Sarawak seharusnya merenungi, mengapa pula negeri yang kaya ini akan menjadi sedemikian rupa pada hari ini?
*Lee Chean Chung ialah penyelidik dasar. Tulisan ini disiarkan di MerdekaReview dalam bahasa Cina, diterjemahkan dan disunting dari teks asal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan