JOM MASUK AHLI

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

DENGARKAN KOBAT FM ONLINE

Selasa, 8 Disember 2009

KERAJAAN PR SELANGOR TERUS KOMITED DENGAN ISLAM

Harakahdaily
SHAH ALAM, 8 Dis: Kerajaan negeri Selangor akan menubuhkan Yayasan Pendidikan Islam Selangor (YPIS) untuk membantu mengembangkan pendidikan Islam di negeri, kata Menteri Besarnya, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Khalid membuat pengumuman ini ketika berucap merasmikan Konvensyen Pendidikan Islam Selangor di Dewan Raja Muda Musa, Pusat Belia dan Kebudayaan Selangor hari ini.








(Gambar: Halimah mengiringi Khalid melawat pameran sempena konvensyen pendidikan Islam Selangor)

Katanya, yayasan ini akan mengumpulkan dana dari pelbagai pihak termasuk dari kerajaan negeri dan Pusat Zakat Selangor bagi membantu sekolah dan lain-lain institusi pendidikan Islam di negeri ini.

Cadangan menubuhkan yayasan ini dibuat oleh Majlis Pemuafakan Pendidikan Islam Selangor (Mappis). Konvensyen ini juga dianjurkan oleh Mappis dengan kerjasama dari kerajaan negeri Selangor melalui Dr Halimah Ali, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan.

Kerajaan negeri berpandangan, usaha-usaha pendidikan Islam mampu menyumbang terhadap pembangunan modal insan serta kemajuan ekonomi negeri dan negara.

"Untuk membolehkan hal ini berlaku, maka kerajaan negeri sedia membantu dan menaungi usaha yang dicadangkan Mappis untuk memperlopori penubuhan Yayasan Pendidikan Islam Selangor," kata Khalid ketika merasmikan ucapan itu.

Ketika ditanya dalam sidang media selepas itu, Khalid berkata, YPIS akan berperanan untuk mengumpulkan dana dan membantu mana-mana institusi pendidikan Islam yang memerlukan bantuan.

"Yayasan ini nanti akan boleh menyediakan dana untuk membantu institusi pendidikan Islam menjadi kukuh dan turut menyumbang dalam pengukuhan negara bangsa," kata beliau.

Dalam konvensyen ini, turut membentangkan kertas kerja adalah Mohamad Ya, Timbalan Pengarah Yayasan Islam Kelantan (YIK).

YIK adalah badan yang menjadi penyelia dan mengurus semua sekolah-sekolah agama yang terletak di bawah kerajaan negeri Kelantan.

Dr Halimah Ali ketika ditemui selepas ini berkata, hari ini adalah hari yang bersejarah untuk pendidikan Islam di Selangor.

"Kita harap banyak perkara yang kita boleh buat selepas konvensyen ini," kata beliau kepada Harakahdaily.

Cuepacs yakin kerajaan lulus imbuhan RM500

KUALA LUMPUR- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yakin kerajaan akan meluluskan imbuhan tambahan sebanyak RM500 kepada 1.2 juta penjawat awam di negara ini bagi menggantikan bonus.

Presidennya Omar Osman berkata melalui beberapa siri pertemuan beliau dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengenai perkara itu, ia mendapat reaksi positif.

"Baru-baru ini saya sempat menyambut Perdana Menteri di lapangan terbang di Langkawi...apabila ditanya mengenai tuntutan itu beliau memberi reaksi yang meyakinkan.

"Cuma kita minta, sekiranya perkara ini diluluskan kerajaan, ia dapat diberikan kepada penjawat awam sebelum musim persekolahan tahun depan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Kerajaan telahpun mengumumkan bayaran imbuhan RM500 kepada kakitangan awam dalam Kumpulan Sokongan dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional untuk tahun ini.

Sementara itu, Omar berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga diminta menilai semula penambahbaikan yang dilakukan terhadap peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK).

Katanya ini kerana ramai penjawat awam yang menduduki peperiksaan PTK tidak lulus selepas berlaku penambahbaikan terhadap sistem penilaian itu.

"Oleh itu, Cuepacs mahu peperiksaan penilaian itu yang akan diadakan pada bulan ini ditangguh terlebih dulu sehingga semakan semula dilakukan memandangkan peperiksaan ini penting untuk anjakan kenaikan gaji," katanya.
-- BERNAMA

Isnin, 7 Disember 2009

PERSEPSI TUAN GURU HJ HADI AWANG ?

Oleh: Songkok Putih

Saya tertarik dengan ucapan Dato' Haji Harun Taib, Pesuruhjaya PAS dalam menerang dan menjelaskan persepsi dengan cerita yang biasa kita dengar iaitu perdebatan antara orang Yahudi dengan pengembala kambing menggunakan bahasa isyarat tanpa bercakap. Saya tidak mahu "lebar"kan cerita itu disini, carilah sendiri dan fahamlah maksudnya.

Saya juga setuju, kerja-kerja mengatur dan mengurus untuk persediaan pilihan raya kali ke-13 perlu bermula sekarang. Kita perlu menepi tohmahan, cercaan dan kata-kata buruk yang datang daripada musuh atau pun kawan kita sendiri.

Mengambil pengajaran daripada kekalahan lalu dan membuat persedian untuk ke arah yang lebih baik, banyak bertawakal dan mengikut kaedah dan lunas yang ditetapkan oleh Allah s.w.t. Jangan kita lari daripada apa yang digariskanNya.

Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Suka saya menarik perhatian mengenai persepsi. Tulisan Prof Aziz Bari dan klip video yang disiarkan oleh Malaysiakini.com mengenai satu ucapan petikan Prof. Dr Aziz Bari mengenai Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang mengatakan "Tuan Guru jauh sekali dengan pemimpin-peminpin lama PAS seperti Ustaz Fadhil. Jauh sekali sekali dengan Anwar!".

Beliau menambah mengatakan "Hadi terkial-kial untuk mempertahankan kawasannya sendiri". Maksudnya Tuan Guru Haji Abdul Hadi hampir kalah di kawasannya sendiri, malah Perlimen Marang Tuan Guru telahpun kalah.

Saya bukan berniat untuk komen kenyataan Prof. Dr Aziz Bari. Siapalah saya ini? Tapi saya sedikit terbuku di hati untuk meluahnya sebagai seorang yang mempertahankan Tuan Guru Haji Abdul hadi Awang sebagai Presiden PAS. Sama juga saya mempertahankan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai Mursyidul Am PAS. Saya pertahan dia pasal dia Presiden PAS. Kalau dia Presiden FAM saya dah lama bersama Aduka Taruna Langgar dia.

Tidak ada apapun pada batang tubuh Abdul Hadi Awang, tapi jika dia Presiden PAS kewajipan saya rasanya menepati apa yang Allah firmankan. Kalau Rasulullah s.a.w. masih ada sehingga hari ini, kita mungkin akan menjadi seperti sahabat mempertahankan batang tubuh demi menyelamatkan Rasulullah s.a.w. Sekarang ini siapa yang perlu kita pertahankan? Tidak lain tidak bukan Presiden Parti Islam. Tidak kira siapa di situ.

PAS ada organasasi, ada salurannya, ada kaedah dan caranya. Melainkan kita tidak mengikut saluran dan cara yang telah disediakan atau kita berada dipinggiran Jamaah Islam, tidak memahami dan menghayatinya secara halus dan tulus.

Berbalik kepada apa yang di tulis oleh Prof. Dr Aziz Bari. Saya anggap itu persepsi kerana Prof. Dr. Aziz tidak melihat hakikat sebenar. Saya juga terima apabila beliau mengakui pada Seminar yang diadakan tidak tahu apa-apa pun mengenai PAS pasal beliau bukan orang politik. Beliau juga berkata padangannya adalah pandangan orang luar.





Saya sertakan gambar yang saya ambil lebih atau sekitar 3 tahun yang lalu, iaitu gambar pembinaan Balai Polis baru Marang dan penempatan yang dianggarkan lebih daripada 5000 orang. Saya tak sempat nak ambil gambar terkini Balai Polis ini telah siap dah digunakan, yang lebih besar daripada balai Polis Kuala Terengganu.

Kita boleh fikir sendiri, ini bukan persepsi...
Memang Hadi terkial-kial...
Mungkin juga tidak akan menjadi YB selepas ini..
(Perlu dapatkan fakta bilangan pengundi yang disusun atur seta persempanan dun dan parlimen)

Musuh Islam tidak akan membiarkan Presiden PAS bersuara...
Musuh akan me"lenyek" sehabis-habis...
Jangan kita bersama-sama musuh mengoyak rabak pimpinan kita..

Lemah mana pimpinan kita dia tetap pimpinan Islam!!!
Lemah mana pimpinan kita dia adalah teraju kita untuk membina NEGARA ISLAM!!!

Inilah satu-satunya parti kita parti Islam..
Parti yang lebih 50 tahun telah dihina, dicerca dan dikeji..

Lemah mana pimpinan kita dia adalah kewajipan kita...
Jangan kita menjadi talibarut musuh secara tidak sedar dalam laungan keadilan, "pembersihan" dan tulus sedangkan kita bergelomang dengan bisikan nafsu dan syaitan!! /Tranungkite

MALAYSIA DIMALUKAN VIETNAM, SALAHKAN PENGADIL

07 Disember, 2009

Insiden Kekecohan Pemain Bola Sepak M'sia Memalukan Negara - MSN

Daripada Zulhilmi Supaat

VIENTIANE, 7 Dis (Bernama) -- Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Zolkples Embong menganggap insiden pemain bola sepak lelaki Malaysia mencetuskan kekecohan selepas perlawanan menentang Vietnam semalam tidak sepatutnya berlaku dan memalukan negara.

Beliau berkata alasan jurulatih kebangsaan K. Rajagobal yang mendakwa insiden tersebut berlaku kerana pengadil perlawanan tidak membuat keputusan yang tepat, adalah tidak benar kerana pada beliau, pengadil berlaku adil.

"Pengadil semalam berlaku adil malah membuat beberapa keputusan yang menguntungkan Malaysia," katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai insiden pemain bola sepak lelaki Malaysia yang menimbulkan kekecohan selepas tamat perlawanan saingan Kumpulan A menentang Vietnam semalam.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Utama, Kompleks Sukan Nasional Laos, Malaysia tewas 1-3, sekaligus menyukarkan laluan negara ke separuh akhir.

Rajagobal mendakwa insiden tersebut berpunca daripada kekecewaan pemainnya berhubung sikap pengadil perlawanan yang didakwa banyak membuat keputusan tidak tepat yang merugikan Malaysia.

Dalam insiden tersebut, pemain-pemain Malaysia mengerumuni pengadil selepas pemain gantian, Mohd Zaquan Adha Abd Radzak dilayang kad merah sejurus sebelum tamat perlawanan.

Insiden tersebut termasuk tindakan pemain Malaysia membaling botol air minuman kepada pengadil bagaimanapun berjaya dileraikan selepas pihak keselamatan Laos dan pegawai perlawanan menyuraikan pemain dan membawa mereka ke bilik persalinan.

Zolkples turut membidas pegawai pasukan Malaysia termasuk jurulatih kerana didakwa mengapi-apikan semangat pemain untuk mencetuskan kekecohan.

"Kecuali penolong jurulatih, Tan Cheng Hoe yang saya lihat tenang dan duduk sahaja di bangku simpanan," katanya.

Beliau berkata pasukan Malaysia sepatutnya menerima keputusan perlawanan kerana pemain Vietnam sememangnya bagus daripada segi kecerdasan dan kelajuan.

Berdasarkan pemerhatian beliau, pemain negara bermain di bawah kemampuan sebenar dan terlalu menghormati pemain lawan./BERNAMA

Ahad, 6 Disember 2009

KB MALL RUNTUH ?

Berita Oleh : Budak Pantai Timur

Sedang menerokai dunia internet, mencari bahan-bahan dan isu-isu terkini, terjumpa satu tajuk berita yang sedang hangat doiperkatakan di satu blog. "KB Mall runtuh" Begitulah tajuknya.

Selepas sedikit sebanyak membacanya, mencari sumber asal gambar tersebut, kesahihan berita tersebut hampir berakhir.Ingatkan ia benar-benar runtuh,seperti runtuhnya Stadium di Terengganu baru-baru ini.

Rupa-rupanya, KB Mall tidaklah runtuh seperti yang disangka. Entah macam mana boleh berlaku, menurut sumber yang dibaca, sebuah kereta di tempat parking KB Mall undur kebelakang (reverse) sehingga terlanggar dinding KB Mall tersebut sehingga menyebabkan kereta itu jatuh kedalam kawasan pusat beli belah KB Mall betul-betul diantara dua tangga bergerak. Kemalangan tersebut berlaku dalam lingkungan jam 5 petang.

Menurut cerita yang dibaca, seorang telah meninggal dan 3 orang cedera di dalam insiden yang berlaku itu./Tranungkite

Nik Aziz: Umno dalam keadaan รข€˜lemas'

Ahli dan penyokong PAS yang penuh sesak membanjiri Dewan Ustaz Fadhil Noor, di Markas PAS di Taman Melewar malam tadi beramai-ramai menyatakan sokongan kepada Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk terus memimpin Kelantan.

Sebelum menteri besar itu menyampaikan ucapan, pengerusi majlis, Tarmizi Mat Jam meminta lebih 1,000 hadirin supaya bangun dan dewan tersebut bergema beberapa kali dengan laungan"Kita Sokong Tok Guru Nik Aziz" dan "Sokong Tok Guru" dan diiringi laungan takbir sebanyak tiga kali.

Tarmizi yang juga naib yang dipertua PAS Batu mengetuai acara tersebut pada kira-kira jam 11 malam sebelum Nik Aziz menyampaikan ucapan bersempena menyambut perayaaan jubli perak PAS kawasan tersebut.

Laungan itu berlangsung selama lima mini, yang turut disertai beberapa pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat antaranya, ahli jawatankuasa PAS pusat, Mohamed Hanipa Maidin; yang dipertua PAS Batu, Ishak Surin; ahli parlimen Batu, Tian Chua; pengerusi Kelab Penyokong PAS India, Balasubramaniam serta bekas pemimpin PAS Hassan Shukri dan Subky Latif.

Tarmizi berkata, ia sebagai kesinambungan kepada sokongan rakyat Kelantan yang ditunjukkan kepada Nik Aziz Jumaat lalu.

Beliau berkata, pada mulanya pihaknya bercadang mengedarkan lilitan kepala kepada hadirin - seperti yang dilakukan oleh penyokong menteri besar di Kelantan, Jumaat lalu.

Bagaimanapun, jelasnya, hasrat tersebut tidak kesampaian ekoran kesuntukan masa untuk menyiapkan lilitan tersebut.

Nik Aziz yang juga pesuruhjaya Kelantan dilihat tersenyum dan gembira dan kemudiannya kelihatan bersemangat untuk menyampaikan ceramahnya.

Semangat berucap

Dalam ucapannya, beliau menyifatkan Umno kini berada dalam keadaan "lemas" dalam usaha mereka untuk merampas semula Kelantan dari PAS dan kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang lain.


Katanya, walaupun menyedari mereka berada dalam keadaan begitu, Umno masih "meraung-raung" dengan pelbagai cara bagi mencapai cita-cita mereka mengambil semula negeri itu.

"Oleh kerana mereka dalam keadaan lemas, mereka meraung-raung bermacam-macam, termasuk tuduhan yang dilemparkan kepada saya.

"Dia (Umno) tengok saya berserban, tidak pandai memerintah negeri dan saya pakai jubah tak tahu apa-apa pun. Jadi tuduhan itu macam-macam. Dia tahu bahawa dia sedang lemas.

"MCA (sekarang) kacau bilau sedangkan MCA jadi tongkat (BN) sebelah kanan. MIC, jadi tongkat kiri, kini jadi kacau bilau. Oleh kerana tak tahu nak buat apa, mereka lempar tuduhan kepada saya," kata Nik Aziz.

Nik Aziz mengulas mengenai situasi politik terkini yang hadapinya termasuk demonstrasi yang dianjurkan oleh Umno minggu lalu yang mendesak beliau melepaskan jawatan berhubung isu doanya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

'Umno lemas'

Dalam ceramahnya malam tadi itu, Nik Aziz berkata Umno kini berada dalam keadaan 'lemas' dengan memberikan beberapa situasi dalam politik parti itu, antaranya Umno Terengganu berpecah kepada dua kumpulan dan krisis di Perak di mana berlakunya usaha perebutan merampas kerusi speaker DUN.

Mursyidul am PAS itu juga mengumpamakan Umno sebagai seorang 'datuk yang cuba memujuk cucunya yang tidak mahu berhenti menangis setiap pagi'.


"Oleh kerana mahu cucunya senyap (dan) tidak menangis, dia kata, burung, burung, Nik Aziz, Nik Aziz," katanya, yang membuatkan kira-kira 1,000 hadirin ketawa dan memberi tepukan .

Menurut Nik Aziz, Umno juga berada dalam keadaan terdesak apabila mereka membuat rayuan menangguh pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa kerusi DUN Kota Siputeh kosong.

"Kota Siputeh itu kawasan dia. (Ia) telah dikosongkan oleh speaker dan mahkamah bersetuju (bahawa) speaker ada kuasa penuh (untuk isytihar kerusi itu kosong).

"Speaker itu umpama pengadil dalam perlawanan bola sepak. Kalau (keputusan) pengadil boleh dibantah lagi, tak main bola lah, kita panggil berlaga betih lah," kata Nik Aziz yang mencuit hati para hadirin.

"Keputusan speaker kita nak tolak macam mana, dia raja. Dalam DUN dan parlimen, speaker adalah raja. Dalam padang bola pengadil jadi raja. Begitu logiknya," tambahnya.

Program BTN

Menurut pesuruhjaya PAS Kelantan itu, Umno juga kini berada dalam keadaan 'lemas' apabila terdapat pendedahan yang mendakwa program anjuran Biro Tatanegara (BTN) mempunyai unsur perkauman.

"Kerja dia bertahun-tahun, hilang sekelip mata kerana rahsia BTN ini bukan untuk menyelamatkan negara tapi nak kata orang Melayu (untuk orang) Melayu dan orang Cina (untuk orang) Cina," katanya.

Setakat ini, kerajaan Pakatan di Selangor dan Pulau Pinang mengarahkan pegawai dan kakitangannya supaya tidak menghadiri kursus anjuran biro tersebut.

Mengulas isu doanya supaya Allah membetulkan pandangan Najib yang juga presiden Umno berhubung isu royalti minyak kepada Kelantan, Nik Aziz berkata, adalah untuk menjadi tugas orang yang dizalimi berdoa kepada Allah agar mendapat haknya kembali.

"Buat apa perkara yang jahat atas muka dunia, musnahkan. Lepas tu marah. Habis nak cakap macam mana lagi, nak tolong orang jahat. Ya Allah tolong lah orang jahat, mana boleh.

"Beliau (Najib) nak beri (royalti) beri. Kalau tak beri, beliau berdepan dengan kemusnahan," katanya,

Bahkan, kata Nik Aziz, doa orang kafir yang dizalimi mustajab disisi Allah SWT./Malaysiakini

Sabtu, 5 Disember 2009

'Nik Aziz tidak merujuk pada mana-mana pemimpin'


Jimadie Shah Othman
Dis 5, 09
3:06am

Ucapan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak merujuk kepada mana-mana pemimpin tetapi hanya mahu menjelaskan bahawa bala Tuhan boleh berlaku dalam pelbagai bentuk, kata setiausaha politiknya, Anual Bakhri Haron.

Beliau berkata, persoalan hukum, hanya Tuhan sahaja yang dapat menentukannya.

"Itu terpulanglah kepada Allah SWT. Tetapi orang yang dizalimi berhak berdoa," katanya menjelaskan kekeliruan berhubung ucapan Nik Abdul Aziz dalam satu perhimpunan di Kota Bharu semalam.

Perhimpunan di Jalan Dato' Pati, Kota Bharu itu, diadakan sebagai membalas bantahan sekumpulan penyokong Umno terhadap Nik Abdul Aziz Selasa lalu.

Dalam ucapannya, Nik Abdul Aziz dilapor menyifatkan penafian terhadap bayaran royalti minyak yang dituntut kerajaan Kelantan, sebagai "melanggar keadilan asasi".

Beliau yang juga mursyidul am PAS berkata, selagi tuntutan royalti itu tidak diberikan, "kita doa sampai pecah perut".

Ketika dihubungi Malaysiakini malam tadi, Anual Bakhri berkata, perkataan "pecah perut" yang diucapkan Nik Aziz hanyalah analogi dan tidak boleh diterjemahkan secara langsung.

"Itu analogi. Bukan maknanya pecah perut (perdana menteri) Datuk Seri Najib Razak atau (timbalannya) Tan Sri Muhyiddin Yassin, tetapi siapa sahaja yang buat aniaya. Dalam konteks ini (penafian royalti minyak), kezaliman berlaku," katanya.

Semalam, Nik Abdul Aziz bercerita tentang bantahan masyarakat bukan Islam yang menentang peraturan kawalan arak di negeri itu ketika beliau baru memimpin Kelantan, 19 tahun lalu.

Mengulas perkara itu, Anual Bakhri berkata, Nik Aziz ingin menegaskan bahawa larangan meminum arak diharamkan kepada orang Islam, tetapi terpulang kepada masyarakat bukan Islam jika mahu menikmatinya.

"Tetapi bukan maknanya kita hendak galakkan orang minum arak," katanya.

Katanya, respons itu diberikan ekoran hasrat beberapa masyarakat bukan Melayu daripada Perak yang mahu datang ke Kelantan untuk minum arak./Malaysiakini