JOM MASUK AHLI

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

DENGARKAN KOBAT FM ONLINE

Ahad, 4 April 2010

JANGAN JADI `AYAM DAGING' DIBERI MAKAN, KEMUDIAN DISEMBELIH

Saturday, April 3, 2010

Oleh: WFAUZDIN NS

BERKAT pemerintahan kerajaan PR Selangor, nilai sesebuah kawasan di seluruh negeri Selangor amat tinggi. Itulah yang dikatakan kerana berkat pimpinan yang jujur dan telus, rezeki dari langit datang mencurah secara tiba-tiba tanpa disangka. Begitulah yang terjadi di Hulu Selangor satu kawasan majoriti Melayu Islam yang tidak beberapa minggu lagi akan berhadapan dengan PRK bagi memilih Wakil Parlimen yang sekarang ini kekosongan.

Beberapa jam yang lalu, Hulu Selangor telah dijanjikan dengan berbagai janji oleh TPM yang awal-awal lagi memberitahu beliau bukan datang ke Hulu Selangor untuk berkempen. Melucukan bunyi kenyataan Muhyiddin itu seolah-olah beliau menganggap rakyat di Hulu Selangor sama seperti rakyat di beberapa kawasan di Sabah dan Serawak. Biarkan lah Muhyiddin dengan caranya yang kuno itu dan kita tidak perlu mentertawakannya. Apa yang penting, Muhyiddin telah mengumumkan janji-janjinya kepada rakyat di Hulu Selangor, di antaranya;

1. Hulu Selangor akan mendapat empat buah sekolah baru dan projek pengurusan banjir.

2. Sebuah sekolah rendah sedang dibina, manakala dua sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah akan dilaksanakan.

3. Projek pengurusan banjir akan dibina di Batang Kali, dan dianggarkan mencecah RM2 juta.

4. Kementerian Pendidikan sedang mengenalpasti tapak sesuai untuk membina sebuah sekolah aliran Cina.

Ini lah yang dikatakan rezeki datang mengolek. Adakah projek-projek ini dirancang oleh TPM sebelum ini atau telah ada peruntukan yang telah diluluskan sejak awal lagi? Saya yakin ianya tiada di dalam perancangan, dan perancangan atau ilham ini tiba-tiba muncul setelah kematian MP Hulu Selangor dari PKR baru-baru ini. Saya tidak berani untuk menyatakan bahawa TPM begitu lembab untuk merancang sesuatu kemajuan dan faedah buat penduduk, tetapi saya bersetuju jika ada yang beranggapan sedemikian. Kemudiannya PM pula akan datang ke Hulu Selangor dan menaburkan gula-gula ber`cop' 1 Malaysia untuk direbut oleh rakyat Hulu Selangor. Kemudiannya diikuti oleh segala bapak Menteri pula yang datang.

Tidak salah atau berdosa samasekali rakyat di Hulu Selangor menerima baik projek-projek yang dijanjikan ini walaupun dirancang dengan lembab sekali oleh pemimpin yang lembab juga. Apa yang penting, jangan jadikan diri anda umpama `ayam daging' yang diberi makan sekenyang-kenyangnya, kemudian ditimbang seterusnya di`sembelih'. Rakyat di Hulu Selangor wajib bersyukur dengan nikmat yang dijanjikan ini (jika benar dilaksanakan), dan sebagai tanda bersyukur rakyat perlu terus menyokong kerajaan negeri Selangor yang menjadikan kawasan mereka amat menarik dan berharga sehingga menarik minat TPM untuk `berbelanja'.

Percayalah, bukan setakat itu sahaja nikmat yang akan diperolehi oleh rakyat di Hulu Selangor. Dalam tempoh seminggu lagi akan banyaklah tanah-tanah yang bakal dipecahkan di dalam upacara `pecah tanah' seperti yang berlaku di Bagan Pinang sebelum ini. Cuba kita pergi ke Bagan Pinang sekarang, adakah tanah-tanah yang telah dipecahkan semasa PRK Dun Bagan Pinang itu telah tumbuh semak samun atau tidak. Cuba tanya tentera-tentera di kawasan kem Bagan Pinang, sudahkah mereka menikmati kemudahan WIFI, kolam renang atau pun padang Futsal? Selain dari yang dijanjikan oleh Muhyiddin itu, tiadakah lagi kemajuan atau kemudahan yang diinginkan oleh rakyat di Hulu Selangor? Tunggu bila lagi, sekarang adalah masanya untuk kita melihat pemimpin Umno menjadi begitu pemurah.

Kebijaksanaan pemikiran rakyat di Kelantan haruslah menjadi ikutan semua pengundi di Hulu Selangor. Di Kelantan, pemimpin Umno yang dikatakan cerdik itu ternyata tidak dapat membeli maruah rakyat Kelantan. Anda akan melihat nanti seluruh jentera kerajaan akan menggila di Hulu Selangor kerana kali ini maruah Umno/Bn terletak di tangan pengundi-pengundi di kawasan ini. Adakah rakyat Hulu Selangor berterima kasih dengan 1 Malaysia serta menyanjung APCO atau mungkin juga telah merasai betapa jauhnya perbezaan pemerintahan di bawah PR berbanding dengan pemerintahan Khir Toyo yang menghadiahkan `penyapu' kepada kakitangan kerajaannya dahulu akan terjawab. /wfauzdin.blogspot.com

Sabtu, 3 April 2010

DI MANA SETIAKAWAN UMNO ? MIC BAIK KELUAR DARI BN SAHAJA

Umno hantar memo pada PM tuntut kerusi
Abdul Rahim Sabri
Apr 2, 10


Umno bahagian Hulu Selangor telah menghantar memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, mendesak supaya kerusi parlimen kawasan itu dikembalikan kepada Umno.

Memorandum tersebut telah diserahkan kepada Najib yang juga presiden Umno dan pengerusi BN pada 30 Mac lalu.

Ia diserahkan oleh naib ketua Umno bahagian tersebut, Datuk Adnan Buyong.

Ketika dihubungi, Adnan mengesahkan perkara itu dan berkata beliau telah menyerahkan memorandum melalui seorang pegawai perdana menteri.

Katanya, ia merupakan memorandum bersama dari 54 pengerusi jawatankuasa keselamatan dan kemajuan kampung persekutuan (JKKP) di Hulu Selangor, yang antaranya ketua Umno cawangan.

"Dalam memorandum itu, kita menyuarakan tentang sejarah kerusi tersebut, perasaan dan harapan (akar umbi) supaya kerusi itu dikembalikan kepada Umno," katanya.

Penghantaran memorandum tersebut dilihat sebagai langkah serius dan bersungguh-sungguh Umno bahagian untuk mendapatkan kembali kerusi tersebut yang kini ditandingi oleh calon MIC.

Kerusi parlimen itu kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad, 71, akibat barah otak Khamis lalu.

Zainal Abidin memenangi kerusi tersebut dalam pilihan raya umum 2008 selepas menewaskan calon BN dari MIC, Datuk G Palanivel.

Parlimen Hulu Selangor mempunyai 63,539 pengundi dengan 53.9 peratus Melayu; Cina (26.7 peratus) dan India (19 peratus).

Kesemua tiga kerusi DUN dalam parlimen Hulu Selangor - Kuala Kubu Bharu (MCA), Batang Kali (Umno) dan Hulu Bernam (Umno) dikuasai oleh BN.

Sementara itu, ketua Umno cawangan Seri Keledang Mokhtar Hassan berkata Adnan juga telah mengadakan pertemuan selama dua jam dengan 50 pengerusi JKKP di Hulu Selangor. Empat pengerusi JKKP tidak hadir dalam pertemuan di Bukit Beruntung itu.

"Dalam memorandum tersebut kami meminta agar Datuk Seri Najib (Tun Razak) meletakkan calon Umno di situ. Kesemua pengerusi JKKP telah menandatangani memorandum tersebut," katanya dihubungi Malaysiakini.

Ditanya sama ada memorandum tersebut mencadangkan calon tertentu dipilih bertanding dalam pilihan raya tersebut, Mokhtar berkata, mereka tidak menyatakannya.

Sebaliknya Mokhtar berkata mereka berbisik sesama mereka mengenai calon yang sesuai, antaranya bekas menteri besar Tan Sri Muhammad Muhd Taib; ketua Wanita bahagian, Rosni Sahar dan setiausaha Umno bahagian, Nazri Dahlan.

Dalam perkembangan berkaitan tinjauan Malaysiakini semalam di Hulu Selangor mendapati terdapat kain rentang yang menyokong agar Muhammad yang juga bekas menteri kabinet, dicalonkan bertanding di parlimen tersebut.


Kain rentang itu dinaikkan di persimpangan jalan masuk ke Kampung Sungai Buaya dalam DUN Batang Kali.

Menurut seorang peniaga di situ, beliau tidak mengetahui pihak mana yang menggantung kain rentang tersebut dan hanya menyedarinya tengahari semalam.

Kain rentang yang sama juga turut ditemui digantung di jalan utama Kuala Kubu Bharu menuju ke Rawang./Malaysiakini

Jumaat, 2 April 2010

SATU LAGI TUDUHAN MELIBATKAN EXCO SELANGOR DIGUGURKAN

Invois palsu: Pembantu exco S'gor dibebaskan
Apr 2, 10


Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini membebaskan pegawai khas kepada exco Selango, Ronnie Liu - Wong Chuan How (bawah, berbaju putih) daripada dakwaan pecah amanah berhubung pembelian bendera kecil.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa Wong, 50, mengemukakan invois palsu bernilai RM2,500 kepada Majlis Perbandaran Sepang mengenai pembelian bendera mini sedangkan bekalan itu tidak dibuat.Dalam penghakimannya, Hakim Azhaniz Teh Azman Teh berkata pihak pendakwa gagal membuktikan kes prima facie dan mengarahkan Wong dibebaskan.

Beliau juga mengarahkan wang jaminan RM5,000 dipulangkan kembali kepada tertuduh.Seramai tujuh saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 11 (c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 14 hari dan sehingga 20 tahun serta denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Wong yang diwakili peguam Imran Hadzalie Abdul Hamid bagaimanapun menghadapi dua lagi pertuduhan pecah amanah membabitkan cek bernilai RM5,000 dan RM2,500 yang masih di peringkat perbicaraan di Mahkamah Sesyen berasingan di Shah Alam.Sementara itu, menurut timbalan pendakwa raya, Mohd Josiendra Abu Senin, SPRM akan merayu keputusan penghakiman itu.

Wong yang ditemui wartawan pula berkata beliau yakin dia akan dibebaskan berhubung dua lagi tuduhan yang serupa.

Penahanan Wong adalah sebahagian daripada siasatan SPRM ke atas 20 ahli parlimen Selangor berhubung dakwaan salah guna peruntukan kerajaan kepada kawasan mereka.

Dia didakwa pada 3 Nov tahun lalu bersama empat yang lain, termasuk ahli parlimen Sabak Bernam daripada Umno, Abd Rahman Bakri./Malaysiakini

PERKASA BERI TEMPOH 48 JAM PADA MCA/GERAKAN, JIKA LEBIH TEMPOH PERKASA NAK BUAT APA ?

PERKASA tuntut pemimpin MCA, Gerakan mohon maaf
Apr 2, 10


Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) memberikan tempoh 48 jam kepada dua pemimpin Cina daripada MCA dan Gerakan, serta dua akhbar berbahasa Cina supaya memohan maaf secara terbuka kerana "melabelkan NGO itu sebagai perkauman".

Ketua Wiranya Arman Azha Abu Hanifah berkata, pihak-pihak tersebut ialah timbalan setiausaha Pemuda MCA Low Ghew Jun,Ketua Gerakan Pulau Pinang Teng Hock Nam, akhbar Sin Chew Daily dan China Press.

"Kita bukan pertubuhan perkauman dan berhaluan kanan. Semua ini berlaku apabila mereka tidak melihat kepada diri sendiri, tetapi banyak melihat kepada kesalahan orang lain," kata Arman Azha./Malaysiakini

Khamis, 1 April 2010

Anwar Disiasat, Umno Berkeras Pertahan Zionis - Azmin

Umno di lihat terdesak mempertahankan unsur-unsur Zionis sehingga sanggup mengheret Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali berkata tindakan Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz itu bagaimanapun tidak mengejutkan beliau ekoran ianya sudah dijangkakan dari awal lagi.

“Ini sekali lagi membuktikan bahawa Pemuda Umno dalam tertekan sanggup mengorbankan Datuk Seri Anwar Ibrahim, speaker telah mengarahkan Datuk Seri untuk memberi keterangan di dalam Parlimen.

“Walaupun saya telah membangkitkan, prosedur itu tidak kena. Kalau prosedur yang digunakan ialah 37 (1), ianya mesti dibangkitkan ketika ahli berkenaan sedang bercakap.”

Beliau berkata bagaimanapun perkara ini dibangkitkan setelah selesai Ketua Pembangkang memberi ucapan beberapa hari selepas itu.

Azmin berkata penjelasan Anwar yang mengaitkan kerajaan mempunyai hubungan dengan Apco Worldwide jelas terbukti dengan maklumat-maklumat yang didedahkan sendiri oleh Ketua Pembangkang itu.

Malah akhbar Straits Times Singapore memetik dokumen-dokumen Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat yang mengesahkan hubung kait Apco dengan kerajaan Israel yang selari dengan hujah-hujah Anwar di Parlimen.

“Ketua pembangkang telah mengambil peluang ini untuk berikan keterangan, penjelasan dan bersandarkan kepada bukti-bukti yang cukup kuat dan kukuh.

“Ini termasuk beberapa perjanjian yang ditandatangani oleh kerajaan Umno dan kumpulan Zionis ini.”

“Apco Antarabangsa sudah pun mengesahkan memang membenarkan mereka pernah berkhidmat dengan rejim Israel seperti yang dinyatakan oleh Datuk Seri Anwar,” tegas Azmin.

Beliau berkata PR akan mempertahankan perkara ini sekali lagi dengan melampirkan bukti-bukti yang kukuh dan akan membongkarkan personaliti yang terlibat termasuk golongan perisik yang pernah berkhidmat di bawah rejim Israel./TVSelangor

MUSIM KATAK BUAT KEJUTAN, MARKAH SIAPA PALING TINGGI?

Oleh: WFAUZDIN NS

KEBIASAANNYA katak akan berbunyi di musim hujan. Apabila hujan mulai turun, maka katak-katak ini akan bersahut-sahutan dengan berbagai nada bunyi. Kununnya biar dikatakan orang hujan turun disebabkan panggilan oleh katak-katak ini. Tetapi sekarang ini bukan musim hujan malahan musim panas, tetapi katak-katak ini berebut-rebut juga untuk bersuara walaupun suaranya sumbang. Hujan tidak juga turun biar tekak katak naik kering dibuatnya.

Kali ini katak berlumba-lumba untuk buat kejutan. Bermula dari `katak' Bayan Baru bernama Zahrain dengan kejutan awal. Selama ini katak tersebut berada di bawah tempurung tidak tahu apa-apa, tiba-tiba sudah boleh bersuara garau kununnya mahu buat kejutan. Mungkin perut sudah buncit, maka baru boleh bersuara. Menjadikah kejutannya? Oleh kerana irama dan lagu yang didendangkan oleh katak Bayan Baru itu jelas sumbang, kejutannya tidak menjadi. Malah katak itu sendiri yang terkejut kerana disebabkan oleh sumbangnya lagu yang dibawa, tidak pasal-pasal di`sepak dan diludah' oleh wakil dari Kalabakan dan beberapa orang lagi. Itulah kejutan buat si katak malang tersebut.

Selepas itu, berlumba-lumba katak yang lain untuk menunjukkan kebolehannya mencipta kejutan. Markah sedang dikira oleh bos mereka bagi menentukan siapakah katak yang paling berjasa mencipta kejutan sehingga satu Malaysia akan gempar dengan kejutan mereka. Seekor demi seekor menyanyikan lagu dan irama songsang, diselang seli pula oleh `firaun besar' Kulim Bandar Baru yang ingin menyampuk juga untuk buat kejutan. Siang tadi, katak dari Behrang mencuba nasib pula untuk mencipta kejutan. Kesemua katak-katak ini diperhatikan oleh raja katak dari Pasir Mas yang mungkin merasa lucu melihat gelagat katak-katak junior ini. Raja katak tentu berkata di dalam hatinya, " Ambo yang sudah lamo buat lagu tu, tak jadi gapo pun...alih-alih ambo yang malu, ini kan pulak demo yang kencing pun bercabe lagi...". Raja katak pun sampai tidak mampu bertahan sehingga menghentak-hentak meja dan melempar kertas kerana lagu dan irama yang dia bawa diperlecehkan orang.

Begitulah nasib katak-katak yang kita lihat sekarang. Oleh yang demikian usah haraplah masyarakat di tempat yang diwakili oleh sang katak-katak ini untuk mendapatkan khidmat atau pembelaan dari mereka. Mereka tidak akan memikirkan nasib kalian kerana mereka tahu inilah penggal terakhir untuk mereka menjadi Wakil Rakyat, justeru itu mereka akan buat apa sahaja asalkan perut mereka akan terus buncit./wfauzdin.blogspot.com

INIKAH WAJAH PENGUNDI HANTU ? BIAR BETUL....

Di Kg Toradja (Indonesi) terdapat satu ilmu yg luar biasa dimana mereka boleh menjadikan mayat berjalan pulang ke rumah sendiri. kejadian berlaku disebuah daerah pendalaman Indonesia yg berbukit bukau. Jika ada kematian di kg Toradja maka mayat itu akan diberi kuasa hipnotisme supaya simati boleh pulang berjalan kaki dan hanya berhenti bila sampai dirumahnya. kuasa ini dibuat supaya tidak menyusahkan orang kg dari mengurus mayat tersebut. /Tranungkite