JOM MASUK AHLI

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

DENGARKAN KOBAT FM ONLINE

Jumaat, 1 Januari 2010

AMARAN MUHYIDDIN ? SAYA TIDAK PEDULI - KU LI

'Zaman joli katak sudah berakhir'
Aidila Razak


Zaman 'joli katak' sudah berakhir dan wang 'loteri minyak' makin berkurangan, khususnya akibat kelemahan pengurusan kerajaan, kata pemimpin veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah.

Menurut pengasas Petronas itu, rancangan asal gergasi petroleum itu tidak termasuk mengeluarkan minyak berlebihan untuk membayar kos projek kerajaan bernilai berbilion ringgit.

"Ia bermula dengan perjanjian (pembelian peralatan ketenteraan) dengan (perdana menteri Britain pada masa itu) Margaret Thatcher.

"Kemudian, pengeluaran minyak tiba-tiba berganda daripada 650,000 tong sehari kepada lebih satu juta tong sehari (untuk menampung pembelian senjata). Itu sudah terlalu banyak untuk kita," katanya.


Sebagai seorang perancang utama kepada rancangan minyak Malaysia, bekas menteri kewangan itu kini cuba untuk membetulkan keadaan, lebih-lebih lagi untuk negeri asalnya sendiri yang beliau percaya mempunyai "hak berdaulat" untuk menerima bayaran royalti minyak bagi sumber yang ditemui di perairannya.

"Ianya bukan isu yang sukar sebab selagi minyak itu ditemui di perairan Kelantan, sama ada ianya kawasan usaha sama atau sama ada ia di luar pantai dalam zon ekonomi eksklusif negara, Petronas tetap perlu membayarnya," katanya.

Seperkara lagi yang perlu dijelaskan ialah rundingan di antara negeri dan pusat, yang disifatkan Tengku Razaleigh sebagai lapuk dan tidak mampu menyediakan pulangan yang diperlukan bagi pembangunan di setiap negeri.

Bekas menteri kewangan itu, dalam wawancara dengan Malaysiakini minggu lalu, juga tidak kisah dengan peringatan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya jangan menerima jemputan pembangkang untuk mengetuai satu kaukus parlimen berkenaan royalti minyak.

"Saya tidak peduli siapa yang beri amaran. Saya lakukan ini demi negara. Saya tidak terhutang budi dengan sesiapa.

"Saya tidak peduli. Saya mahu lihat hak daulat rakyat ini terjaga," katanya lagi./Malaysiakini

Khamis, 31 Disember 2009

Husam sedia bertemu keluarga Tok Guru

31 Dec 2009

Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa sedia bersemuka keluarga Menteri Besar, Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung tulisan Nik Amalina di blognya, ‘Serisuri’ yang menyebut seorang Exco Kerajaan Negeri wajar letak jawatan mengenai kemelut Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Katanya, tindakan tersebut bertujuan menyelesaikan sebarang masalah dan mencari penyelesaian terhadap permasalahan tersebut.

Husam yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas II Negeri berkata, Islam membenarkan bersemuka dengan mana-mana anggota, ahli termasuk keluarga bagi mencari titik pertemuan daripada segala permasalahan yang timbul.

“Saya sedia bersemuka dengan keluarga Tok Guru (Nik Abdul Aziz).

“Saya kira anggota keluarga Tok Guru bersedia. Jadi tak payahlah surat khabar atau orang luar nak campur atau api-apikan pula,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco di sini, semalam.

Nik Amalina adalah anak kepada Nik Abdul Aziz dan isteri kepada Abdul Ariffahmi Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif PMBK yang terlibat krisis perbadanan itu hingga dinasihatkan letak jawatan.

Mengulas mengenai desas-desus peletakan jawatannya yang kembali dihebohkan, Husam berkata, beliau perlu menumpukan perhatian terhadap isu royalti minyak yang dituntut oleh Kerajaan Negeri.

“Surat khabar dah sebut saya nak letak jawatan. Saya dah hantar surat tuntutan saman terhadap akhbar terbabit. Sekarang ni timbul lagi?

”Sekarang saya tengah fokus kepada tuntutan royalti minyak, jadi selepas rundingan itu selesai, bolehlah saudara buat rumors saya nak berhenti lagi,” katanya.

Kelmarin, Nik Aziz menyelar tindakan penulis blog yang tidak bertanggungjawab menyebarkan khabar angin, Exco Kanan Kerajaan Negeri mahu melepaskan jawatan dengan menyebut perkataan ‘celaka’ kepada penulis blog berkenaan.

Dalam pada itu, Husam menafikan bahawa tulisan blognya yang menyiarkan mengenai pengasingan urusan keluarga dan urusan negara adalah sindiran kepada Nik Abdul Aziz sebaliknya ia adalah peringatan biasa yang dilakukan olehnya./KLpost

Husam: Artikel saya bukan sindir MB


Dis 30,
Datuk Husam Musa, yang menggesa pentadbiran kerajaan dipisahkan daripada kepentingan keluarga, hari ini menafikan tegurannya ditujukan kepada menteri besar Kelantan.

Exco kerajaan Kelantan itu berkata tulisan dalam blognya 'Malaysia atau diri' kelmarin "bukan bermaksud menuding sesiapa, apa lagi kepada Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat", lapor media rasmi PAS.

Mengulas berita di akhbar Utusan Malaysia hari ini yang menyifatkan coretan blognya itu sebagai sindiran kepada mursyidul am PAS, khususnya berhubung pelantikan menantunya di Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Husam dipetik berkata ia seolah-olah ingin melaga-lagakannya dengan Nik Abdul Aziz.

"Tidak betul macam itu, kenapa saya nak sindir Tuan Guru (Nik Abdul Aziz), saya sendiri ada keluarga, ada adik-adik, bahkan adik saya sendiri pernah ditemuduga oleh sebuah agensi kerajaan negeri beberapa tahun lalu," Harakahdaily memetik beliau sebagai berkata.

"Saya nasihatkan agensi kerajaan ini jangan ambil adik saya walaupun berkelayakan, saya lakukan demikian untuk menjaga imej kerajaan negeri di samping ingin mengelak tuduhan-tuduhan macam ini daripada pihak yang tidak bertanggugjawab."

Artikel Husam tersebut tidak jelas merujuk perkembangan semasa politik Kelantan tetapi mengingatkan betapa "politik keluarga" boleh membawa kemusnahan kepada seseorang tokoh pemimpin.

Dengan mengungkit semula betapa negatifnya isu tersebut pernah melanda mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi, bekas naib presiden PAS itu menyeru agar wujud pemisahan jelas dua bidang tersebut.

Bagaimanapun tegurannya - yang turut menyebut PAS era kepemimpinan bekas presidennya Tan Sri Mohd Asri Muda pernah menerima jolokan negatif sebagai "parti Asri sekeluarga" - membuka pelbagai spekulasi.

Kebanyakan blog pro-PAS menganggap artikel tersebut sebagai mengulas politik semasa di Kelantan susulan kontroversi berpanjangan kedudukan Abdul Ariffahmi Ab Rahman, menantu menteri besar yang menerajui PMBK.

Abdul Ariffahmi, yang juga exco Pemuda PAS Kelantan, akan berundur secara rasmi Mac tahun depan daripada syarikat berkaitan kerajaan itu.Justify Full
Media rasmi PAS itu turut melaporkan Husam menafikan beliau akan meletakkan semua jawatannya dalam parti dan kerajaan termasuk sebagai ADUN Salor.

Tidak ada sebab beliau harus berbuat demikian padahal pada masa yang sama beliau lebih menumpukan pada tuntutan royalti petroleum daripada kerajaan pusat, tambahnya.

"Lainlah kalau sudah dapat royalti besok, tuan-tuan buat khabar angin macam tu," beliau dipetik berkata, sambil ketawa.

Katanya lagi, akibat khabar angin seumpama itulah beliau mengambil tindakan undang-undang terhadap blog dan beberapa akhbar harian./Malaysiakini

Rabu, 30 Disember 2009

MUSTAFA ALI SOKONG SARANAN NIK AZIZ

Salma Husin

KUALA LUMPUR, 29 Dis: Setiuasaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menyokong saranan agar semua orang boleh menjadi ketua kerajaan tanpa mengira bangsa dengan syarat dia seorang Islam yang baik.

Namun, Mustafa mencadangkan agar syarat baru itu tidak hanya untuk Menteri Besar Kelantan sahaja bahkan juga pemimpin utama negara.

"Saya tidak setuju ia terbatas kepada Kelantan sahaja tetapi seluruh negara dan perlembagaan Persekutuan perlu dipinda untuk membolehkan semua orang, tanpa mengira dia Cina atau India, dengan syarat Islam boleh menjadi perdana menteri dengan syarat dia memenuhi kualiti kepimpinan yang baik," kata Mustafa kepada Harakahdaily.

Sebelum ini, Nik Aziz berkata, beliau sedia meminda perlembagaan Kelantan untuk membolehkan orang bukan Melayu boleh menjadi menteri mesar negeri itu.

Namun, segelintir pemimpin Umno menolak cadangan itu dengan andaian ia membelakangi kepentingan Melayu.

Ketua Pembangkang di Dun Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad menyifatkan Nik Abdul Aziz sebagai hilang kredibiliti dan tidak perlu lagi diulas sebarang kenyataannya.

Ketika mengulas pandangan balas itu, Nik Aziz menyifatkan mereka yang mempertikaikan cadangannya melantik orang Cina Muslim sebagai ketua kerajaan di Kelantan sebagai taksub kepada bangsa sendiri.

Katanya, bangsa Cina yang beriman kepada Allah tidak menjadi kesalahan dilantik sebagai pemimpin, memandangkan pemikiran mereka sudah lama maju ke hadapan.

“Pihak yang tidak bersetuju dengan pendapat itu kerana taksub kepada bangsa sendiri,” katanya di sini.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, pemimpin Umno begitu taksub terhadap bangsa sehingga menganggap bangsa lain tidak layak menjadi pemimpin.

“Walaupun bangsa lain itu warak, takwa, pelajaran tinggi, namun kerana terikat dengan bangsa mereka tidak bersetuju,” ujarnya.

Menurutnya juga kenyataan pemimpin yang enggan menerima kemampuan bangsa lain menyebabkan Umno tidak tempat dalam politik negara pada masa akan datang.

Malah katanya akan lebih memburukkan imej Umno di kalangan masyarakat Cina.

“Kalau bangsa Arab sekali pun jahat nak jadi Menteri Besar saya tidak terima, tetapi kalau orang Cina berperangai baik, saya akan menyokongnya.

Menurutnya, dengan cara ini akan memperluaskan kefahaman Islam kepada masyarakat pelbagai bangsa.

Ketika ditanya adakah undang-undang membenarkan pelantikan itu kata beliau perkara tersebut boleh dipinda./Harakahdaily

Selasa, 29 Disember 2009

"UMNO juga perlu keluar BN"

KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan tindakan sekumpulan penyokong Pas yang mengadakan perhimpunan mendesak parti itu supaya keluar Pakatan Rakyat (PR) sebagai penyokong buat-buat dan menganggapnya seumpama permainan wayang kulit memandangkan mereka yang terbabit itu didakwa bukanlah ahli parti itu.

Nik Abdul Aziz berkata, jika ahli UMNO boleh meminta Pas keluar daripada Pakatan Rakyat, Pas juga boleh bertindak sebaliknya kepada UMNO dengan meminta parti itu keluar daripada Barisan Nasional (BN). :

“Semalam saya buat kenyataan dan sebut kepada setiausaha saya, kalau orang UMNO boleh minta Pas keluar daripada Pakatan, maka saya minta daripada UMNO keluar daripada BN untuk bersama dengan Pas dengan syaratnya dia (UMNO) tukar dasar daripada dasar kebangsaan kepada dasar Islam. :

“Kedua, apabila mereka bersama dengan kami, dan Pas sendiri dalam Pakatan sekarang, maka dia kena terima, DAP pun kena terima sama. PKR pun kena terima sama. Sekiranya mereka sanggup bersama dengan kami UMNO kena tukar dasar yang dibawanya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Ijtimak Ulama Muda Negeri Kelantan 2009, di sini, semalam.

Beliau berkata, disebabkan Pas di dalam PR maka UMNO juga perlu menerima warga PR itu sekali.

“Ia lebih bersemangat 1Malaysia daripada apa yang ada sekarang ini,” katanya dengan nada sinis.

Mengulas kemungkinan perhimpunan itu didalangi pihak tertentu Nik Abdul Aziz berkata: “Didalangi tu perkara biasa bagi golongan sekular ini. Sebenarnya orang Pas ni dah masak dah. Sejak tahun 1991 lagi macam-macam perkara dibuat.” /Sinar

Isnin, 28 Disember 2009

KELANTAN, PECAT LAGI?

Setiausaha Nik Aziz akan dipecat?
Abdul Rahim Sabri
Dis 28, 09
11:41am

kemaskini 12.44pm Kelantan masih jauh daripada penyelesaian krisis yang berlarutan sejak dua bulan lalu apabila menteri besarnya diura-ura bercadang memecat setiausaha politiknya Anual Bakhri Haron.

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berdepan satu demi satu masalah selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), yang diterajui menantunya Abdul Ariffahmi Ab Rahman.

Tokoh PAS itu juga berdepan dengan isu tajaan haji kepada dirinya dan anggota keluarganya sehingga mencecah ratusan ribu ringgit tetapi tidak diterima tajaan tersebut selepas muncul kontroversi di media.

Usaha mendapatkan ulasan Anual Bakhri, bekas pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) itu yang telah berkhidmat genap sedekad dengan Nik Abdul Aziz, setakat ini belum berjaya.

Satu blog yang sering mengulas isu parti itu Penarik Beca menyebut khidmat pegawai Nik Abdul Aziz bakal berakhir pada 1 Januari ini - alasannya Anual Bakhri dekat dengan Datuk Husam Musa.

Sementara satu sumber penulis blog lain memberitahu Malaysiakini tengah hari ini, Anual Bakhri sendiri belum mengetahui nasibnya sewaktu berhubung dengan sumber itu semalam.

"Jadual saya tidak ada perubahan sehingga tahun depan. Tok Guru (Nik Abdul Aziz) tidak beri isyarat apa-apa, dan saya kerja macam biasa," sumber itu memetik perbualannya dengan Annual Bakhri.

Ura-ura tersebut "tersebar dahulu di luar Kelantan, barulah diketahui orang Kelantan", tambah sumber./Malaysiakini

Ahad, 27 Disember 2009

ADAKAH KHALID SAMAD ATAU HASSAN ALI ?

Keputusan kes Hasan Ali, Khalid bulan depan
Andrew Ong


Jawatankuasa disiplin PAS akan mendengar keterangan daripada Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali dan bekas timbalannya, Khalid Samad bulan depan.

Pengerusi jawatankuasa tersebut, Tuan Ibrahim Tuan Man memberitahu Malaysiakini bahawa Khalid dipanggil memberi keterangan pada 7 Januari, diikuti Dr Hasan dua hari berikutnya pada 9 Januari.

Menurutnya, Hasan disiasat berhubung tindak tanduknya yang didakwa boleh menjejaskan Pakatan Rakyat.

Manakala Khalid pula disiasat kerana membuat kenyataan yang boleh menjejaskan kepimpinan kerajaan negeri.

Kedua-duanya telah menerima surat tunjuk sebab ekoran aduan dari kalangan ahli parti itu.

Mereka dipanggil memberi keterangan di ibupejabat PAS di Kuala LUmpur dan jika tiada saksi lain dipanggil, maka keputusan boleh dibuat beberapa jam selepas siasatan ke atas mereka selesai.

"Ada kemungkinan tiada lagi saksi lain dipanggil (berasaskan kepada keadaan sekarang," kata Tuan Ibrahim yang juga naib presiden PAS./Malaysiakini