JOM MASUK AHLI

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

DENGARKAN KOBAT FM ONLINE

Ahad, 17 Julai 2011

Keluarga Baharudin harap tiada 'cover up'

Anggota keluarga Baharudin Ahmad hari ini menyerahkan memorandum kepada Ketua Polis Tan Sri Ismail Omar ekoran kematian arwah selepas menyertai perhimpunan BERSIH 2.0 genap seminggu lalu.

Diwakili adik lelaki arwah Kassim dan anaknya Azhar, mereka diiringi beberapa pemimpin utama PKR, termasuk naib presidennya N Surendran, dan aktivis daripada kumpulan peguam Lawyers for Liberty.

Menurut memorandum yang diedarkan pengarah biro guaman parti Latheefa Koya, anggota keluarga pemandu teksi itu antaranya mahukan penjelasan berhubung "serangan fizikal" terhadap peserta BERSIH 2.0, termasuk Baharudin.

"Allahyarham berada di kawasan Jalan Ampang apabila serangan polis termasuk dengan gas pemedih mata dilakukan.

"Terdapat saksi-saksi kukuh yang menyatakan bahawa percubaan dibuat untuk mendapatkan bantuan bagi allahyarham daripada dua anggota polis yang berada di kawasan tersebut, tetapi tidak diendahkan oleh mereka," memorandum itu dipetik.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh pada 10 julai lalu dilaporkan berkata kematian Baharudin akibat komplikasi jantung dan bukannya berpunca daripada gas pemedih mata.

Bagaimanapun, memorandum hari ini mendakwa beberapa tulang rusuk allahyarham patah, giginya hilang sebatang dan terdapat luka pada bibir.

Mahu laporan disiar pada awam

Sebaliknya pihak polis dan kerajaan segera menafikan bahawa pihak polis bertanggungjawab bagi kematian ini, tanpa melakukan sebarang siasatan yang lengkap.

"Tindakan ini adalah tidak ikhlas dan dilihat oleh orang awam sebagai satu percubaan untuk cover-up (menutup) peristiwa ini," memorandum itu dipetik.

Sehubungan itu, anggota keluarga, PKR dan aktivis peguam itu menuntut supaya kesemua pegawai polis, termasuk pegawai-pegawai tertinggi yang memerintah operasi di kawasan tersebut digantung tugas sehingga selesai penyiasatan kes.

Manakala tuntutan lain dalam memorandum itu supaya:

  • Penyiasatan yang komprehensif tanpa sebarang percubaan untuk melindung mana-mana pihak dijalankan dengan segera.
  • Laporan penuh penyiasatan ini dicetak dan disiarkan kepada orang awam.
  • Tindakan pendakwaan dibawa ke atas semua pegawai polis walaupun seberapa tinggi pangkatnya, yang bertanggungjawab bagi kematian arwah.
  • Ketua polis negara dengan segera meminta maaf dengan keluarga allahyarham dan keseluruhan rakyat Malaysia kerana menyalahguna kuasa dan menggunakan kekerasan berlebihan terhadap rakyat.
Sumber: Malaysiakini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan