JOM MASUK AHLI

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

DENGARKAN KOBAT FM ONLINE

Jumaat, 11 Disember 2009

KELANTAN ATUR STRATEGI


KOTA BHARU - Pengerusi Jawatankuasa Petroleum Kelantan, Datuk Husam Musa berkata, Kerajaan Negeri tidak akan tergesa-gesa membawa isu tuntutan minyak ke mahkamah sebaliknya menggunakan percaturan politik semasa terlebih dahulu.

Menurutnya, pendekatan tersebut perlu bagi memastikan rakyat dapat menghukum tindakan zalim Kerajaan Persekutuan pada pilihan raya umum akan datang kerana tidak memberi hak sepenuhnya kepada Kerajaan Negeri pimpinan Pas.

“Hujah yang dilakukan di luar mahkamah akan memberikan satu impak kepada rakyat bahawa tindakan yang dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) salah.

“Sebelum kita menghulur kepala kita dalam satu medan yang agak samar integritinya, biarlah kita bergelumang menerusi pentas politik dulu. Nanti istilah ‘subjudice’ akan menjadi benteng memagari kita daripada terus bercakap tentang penganiyaan Kerajaan Persekutuan dalam isu ini.

“Biarlah penghakiman rakyat mengambil tempat terlebih dahulu dalam berbagai bentuk sebagai hamparan menuju Mahkamah,” katanya dipetik menerusi blognya semalam.

Husam berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abd Aziz supaya Kelantan mengemukakan kes tuntutan royalti minyak di mahkamah berbanding usaha retorik yang dilakukan Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ketika menjawab cabaran tersebut kelmarin, Nik Abdul Aziz berkata, kerajaan Pas Kelantan sedia menyahut kenyataan Nazri tersebut jika tuntutan itu gagal dilakukan secara rundingan.

Husam yang juga Exco Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri berkata, usaha tuntutan itu diteguhkan lagi dengan penubuhan Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) yang menyemarakkan lagi usaha Kerajaan Negeri sebelum ini.

“Program mereka antara lain membawa ‘kuda jagoan’ UMNO sendiri untuk bercakap bahawa keputusan Kerajaan UMNO/BN adalah nyata salah. Kalau Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah) sebagai pengasas Petronas kata royalti adalah hak dan ihsan adalah pelanggaran terhadap perjanjian, siapalah Nazri?

“Penjelasan demi penjelasan nanti akan menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap Kerajaan(pusat) dan rasanya ini lebih mahal dan berharga. Hujah yang benar tetap kuat sekalipun diucapkan di luar mahkamah,” katanya./Sinar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan