KOTA BHARU. 16 Dis: Belum pun sampai setahun Datuk Seri Najib Razak berada di puncak kuasa, kini kepemimpinannya mulai kelihatan tergugat. Detik cemas pengundian untuk meluluskan Bajet 2010 pada 14 Disember lalu dengan hanya kelebihan tiga undi, nyaris membawa kerajaan BN yang diketuai Najib terbubar.
Pada undian tersebut BN hanya mendapat 66 undi berbanding Pakatan Rakyat 63 undi.
Saat cemas itu turut diakui Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia di mana katanya, berdasar kepada konvensyen negara berparlimen, sekiranya bajet tidak diluluskan kerajaan BN terpaksa dibubar dan pilihan raya perlu diadakan.
Selain itu, konsep 1Malaysia dan Salam 1Malaysia yang dicipta perdana menteri juga dipertikaikan banyak pihak.
Difahamkan inisiatif-inisiatif membabitkan konsep 1 Malaysia khususnya berhubung soal perpaduan dan integrasi nasional terpaksa ditangguh berikutan kesukaran mencapai kata sepakat di kalangan menteri Umno.
Keputusan penangguhan itu diputuskan ketika retreat khas yang diadakan di ibu negara Ahad lalu.
Selain itu ramai ulama mempertikai Salam 1Malaysia yang dianggap boleh menjejas aqidah seseorang Muslim kerana cuba merendah-rendahkan salam sedia ada dalam Islam.
Ulama terkenal, Datuk Dr Harun Din menyebut dalam tulisan seperti disiarkan Harakah minggu lalu - Salam 1Malaysia merupakan kerja-kerja sia-sia kerana tidak diberi pahala.
Bekas penyarah Akademik Islam, Universiti Malaya, Mohamad Mustafa (gambar bawah) juga menganggap Salam 1Malaysia seperti syirik nasional yang cuba menyembunyikan keindahan Islam dengan slogan ciptaan manusia.
“Ucapan Salam 1Malaysia adalah perbuatan bidaah kerana tidak ada dalam amalan Islam, yang ada ialah ucapan salam yang sempurna iaitu “assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh”.
“Salam 1Malaysia adalah salam nasionalisme yang berpokok kepada nasionalisme, sedangkan Rasulullah saw sendiri tidak pernah mengajar ‘Salam Satu Madinah’.
“Sekiranya mahu melaksanakan Islam dan bukan menjadi penghancur (kepada amalan Islam), berilah salam yang sempurna,” katanya.
Beliau yang juga bekas Yang Dipertua Abim Kelantan turut mempersoalkan konsep 1Malaysia kerana teras penyatuan yang cuba dibawa perdana menteri tidak mempunyai elemen Islam.
“Amerika juga mengajak rakyatnya bersatu di atas dasar United State - satu Amerika, sementara Russia dengan satu Russia, demikian juga dengan ‘United Malay’.
“Persoalan sekarang, aspek penyatuan itu disuruh Islam, tetapi hendaklah dipastikan sama ada penyatuan tersebut atas dasar tauhid atau syirik.
“Bagi orang Islam, sama ada 1Malaysia atau pun tidak, itu tidak kisah, namun konsep ‘1Malaysia’ yang dicetuskan dipastikan sama ada berlandaskan dasar tauhid atau tidak,” katanya yang juga Adun Demit.
Oleh itu katanya, pendekatan 1Malaysia menggambarkan kemuncak kepada ajaran nasionalisme yang meninggalkan agama dalam gerak kerjanya.
Begitu juga katanya, slogan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ nampak elok, tetapi dalam Islam, Allah swt mestilah didahulukan.
“Allah swt mesti didahulukan. Jangan bertindak seolah-olah hak Allah swt tidak ada dalam senarai urusan negara kita sekarang,” katanya./Harakahdaily |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan