JOM MASUK AHLI

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

DENGARKAN KOBAT FM ONLINE

Isnin, 17 Februari 2014

Anwar sebagai MB Selangor seharusnya dialu-alukan

Satu-satunya kejayaan yang terlihat menonjol di sebalik tindakan SPR melewatkan tarikh pilihanraya kecil DUN Kajang ialah menjadikan peluang Anwar Ibrahim menjadi MB Selangor mula tidak menentu dan caca-marba.

Walaupun DAP amat konsisten dan lebih memandang peluang yang mungkin lebih terbentang dalam PRU14 jika Anwar menjadi MB Selangor, PAS sebaliknya tidak mempunyai kesepakatan pemikiran yang sama.

Selain sikap PAS yang masih menjadi perbualan, semakin masa berlalu, tersebar pula pelbagai berita mengenai MB Selangor, Khalid Ibrahim yang kononnya tidak mahu berundur dan bakal merencatkan peluang Anwar untuk menggantikannya.

Semua ini seolah-olah permainan yang sengaja diatur kerana dengan ruang masa yang masih terbuka, banyak duri dan jarum dapat dicucuk-cucukkan untuk menggugat kesepakatan dalam PR.

Meskipun pimpinan tertinggi PAS memberi sokongan kuat untuk memastikan kemenangan beliau di Kajang, tetapi masih kedengaran suara-suara kecil daripada Dewan Ulama, Dewan Pemuda PAS dan bekas Ketua Pemudanya, Nasharuddin Tantawi yang seolah-olah tidak bersetuju dengan pendekatan politik PKR memaksa pilihan raya kecil DUN Kajang ini diadakan.

Lebih dari itu, seperti dalam keadaan terpaksa juga mereka hanya bersedia memberikan sokongan dan memastikan kemenangan Anwar dalam pilihan raya kecil itu saja, tetapi tidak mahu ia melibatkan pertukaran jawatan MB Selangor.

Dengan memberi hujah bahawa jawatan MB Selangor haruslah disepakati bersama antara PAS, PKR dan DAP dan Anwar atau PKR tidak seharusnya memandai-mandai sendiri memutuskan jawatan itu milik mereka, terlihat bahawa PAS cuba menghantar mesej tentang jumlah kerusi DUN dimilikinya adalah 15 berbanding PKR yang hanya 14.

DAP, walaupun juga mempunyai jumlah kerusi 15 tetapi tidak berpeluang menjadi MB kerana peruntukan memutuskan jawatan itu mesti dipegang oleh Melayu dan Islam.

Tindakan beberapa gelintir dalam Pas mula mengocakkan keadaan dalam Pakatan dan seolah-olah mereka sudah termakan dengan hasutan bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad yang berulang-kali mengatakan bahawa jawatan MB Selangor sepatutnya dipegang oleh PAS kerana parti itu mempunyai jumlah kerusi DUN yang lebih berbanding PKR.

Sementara Dr Mahathir terlupa atau buat-buat lupa bahawa Umno yang mempunyai jumlah kerusi lebih juga memberikan jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang kepada Gerakan, beberapa gelintir dalam PAS tadi juga mungkin terlupa atau buat-buat lupa bahawa kerana pertembungan PAS dengan PKR yang sama-sama meletakkan calon di DUN Kota Damansaralah yang menjadikan jumlah kerusi PKR menjadi 14.

Jika tidak, komposisi Pakatan Rakyat di Selangor ialah 15-15-15 dan mungkin tidak merangsang sesiapa untuk bangga kepada kelompok sendiri.

Dengan DAP tiada masalah untuk menyokong Anwar sebagai MB Selangor, PAS juga seharusnya memberikan sokongan yang sama bulat sebagai menebus kesilapan yang dilakukan di Kota Damansara dulu.

Lagi pula, dengan menyokong Anwar sebagai MB Selangor, ia juga turut memberi keuntungan kepada PAS sendiri dari segi keupayaan menembusi dan mendapat sokongan yang lebih meluas di kawasan bandar, separa bandar dan juga daripada kalangan pengundi bukan Melayu.

Berbanding dengan adanya kerjasama dengan PKR dan DAP, PAS sejak dua pilihan raya yang lalu telah berjaya memenangi beberapa kerusi bandar yang sebelum ini dianggap mustahil kerana sokongan PAS secara sendirian lebih tertumpu kepada kawasan kampung, pedalaman dan kelompok Melayu sahaja.

Harus juga diakui bahawa keinginan rakyat untuk berubah begitu terserlah dalam PRU13 lalu. Kemenangan BN yang hanya bertunjangkan sokongan 47% pengundi, turut juga dibantu oleh persempadanan kawasan pilihan raya.

Oleh yang demikian, untuk meneruskan momentum dalam PRU14, pemikiran dan gerak kerja yang luar biasa amat diperlukan. Salah satunya ialah dengan menjadikan Anwar sebagai MB Selangor.

Dengan kedudukan sebagai MB Selangor, Anwar akan mempunyai ruang yang lebih luas untuk berperanan, bukan saja di Selangor tetapi juga di seluruh negara.

Beliau bukan saja berpeluang membuktikan keupayaan mentadbir sebuah negeri terlebih dahulu untuk meyakinkan keupayaan mentadbir negara pula, hubungan dan buah fikirannya juga boleh dilontarkan ke arena yang lebih meluas seperti dalam mesyuarat Menteri-Menteri Besar serta mengiringi Sultan Selangor dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja.

Semua ini, jika Anwar dapat melakukan dengan baik, lebih-lebih lagi jika cemerlang, pasti akan mempengaruhi keputusan pilihanraya 2018 nanti.

Dalam masa yang sama, jika Anwar menjadi MB Selangor selepas 23 Mac nanti, terdapat tempoh kira-kira empat tahun sebelum PRU 14 nanti.

Dengan Dr Mahathir sendiri tidak menyembunyikan kerisauannya bahawa jawatan MB Selangor itu akan menjadi tangga untuk Anwar mencapai cita-citanya menjadi Perdana Menteri, dalam tempoh yang sama juga akan menyaksikan kekuatan politik yang seimbang antara BN dan PR.

Politik yang seimbang ini tentu saja akan membuatkan kedua-dua pihak, iaitu BN dan PR, saling berlumba-lumba untuk menawarkan sesuatu yang terbaik untuk rakyat.

Bukan saja berlaku "check and balance" yang lebih menguntungkan rakyat, malah rakyat tidak lagi menjadi mangsa buli mana-mana parti yang berkuasa.

Setelah kejayaan Anwar mewujudkan gabungan pembangkang yang kuat sehingga menggegar Putrajaya dalam PRU13 lalu, mewujudkan kekuatan seimbang antara BN dan PR dalam tempoh empat tahun akan datang yang sekaligus mengalir pelbagai faedah dan kebaikan untuk rakyat, ia merupakan satu lagi sumbangan yang seharusnya dihargai dan
dialu-alukan.

Menyokong Anwar sebagai MB Selangor sebenarnya tidak merugikan sesiapa, bahkan semua pihak yang menyokong itu ada bahagian keuntungan masing-masing. Yang rugi hanyalah Umno dan BN. Tetapi, tidak mengapalah Umno dan BN rugi kali ini kerana mereka sudah untung sejak lebih 50 tahun lalu./ – shahbudindotcom

1 ulasan:

  1. Anwar Jadi MB - Skuad Sayang Selangor Bubar Ganti Terengganu

    LIHAT BUKTI DI SINI
    LIHAT BUKTI DI SINI

    'Please Note'

    - Pelaburan jutaan ringgit 'skuad sayang selangor' sepanjang 5 tahun untuk merampas kembali selangor di tangan PKR tidak berhasil. Malah memberi 8 lagi kerusi Dun kepada PR

    - Walaupun beribu kali lakonan @ provokasi yang dimainkan oleh media UMNO BN ia tidak lagi relevan untuk Rakyat Selangor. Begitu juga Kelantan dan Pulau Pinang. Ia tetap akan menjadi milik kekal PR.

    - Terengganu juga bakal mengikut jejak selangor... Lihat saja pru 13 hanya 2 kerusi sahaja berbeza dan kemerosotan ketara BN..

    - UMNO BN akan membubarkan 'Skuad Sayang Selangor' dan mengantikan 'Skuad Sayang Terengganu' pula. UMNO BN yakin bila perlaburan jutaan ringgit diberikan kepada rakyat Terengganu terutama anak muda akan mengekalkan Terengganu ditangan mereka

    - UMNO BN akan kekal memerintah Terengganu jika pelaburan mereka berjaya dalam 'Skuad Sayang Terengganu'... Lihat saja bukti jelas apabila pelaburan RM15,000 untuk satu keluarga FELDA dapat mengekalkan undi mereka kpd UMNO BN walaupun sedikit merosot... Jadi apa sangat bezanya level pemikiran anak muda FELDA dan Anak muda Terengganu?

    - UMNO BN tetap akan membubarkan 'Skuad Sayang Selangor' apabila Anwar berjaya menjadi MB selangor. Aura Anwar yang kian kuat kpd anak muda Selangor hanya menjadikan usaha mereka sia2. Lebih baik mereka tumpukan Negeri lain yang juga akan jatuh ke tangan PR...

    Akhir Sekali, adakah UMNO BN akan menyumbat kembali Anwar ke penjara untuk tempoh 10 tahun lagi untuk menghalang daripada menjadi MB Selangor??..... Tetapi yang pasti, UMNO BN akan 'ketandusan strategi' untuk merampas kembali Selangor dan menemui 'jalan mati' untuk menarik sokongan pengundi muda dan pengundi baru yang sudah terdidik sejak 5 tahun dulu..

    BalasPadam

Terdapat ralat dalam alat ini