JOM MASUK AHLI

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

DENGARKAN KOBAT FM ONLINE

Ahad, 7 Februari 2010

Keputusan Zambry Atau Nizar Sebagai MB Perak Diketahui Selasa Ini

07 Februari, 2010

Oleh Jocelyn Ann Dragon

PUTRAJAYA, 7 Feb (Bernama) -- Teka-teki siapakah yang menerajui Perak, akan terjawab apabila Mahkamah Persekutuan mengumumkan keputusannya Selasa ini (9 Feb).

Pada hari tersebut, panel lima hakim, yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff, akan mengumumkan keputusan mereka sama ada Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir daripada Barisan Nasional (BN) kekal sebagai Menteri Besar atau Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin daripada pakatan DAP-PKR-PAS, mendapat semula jawatan itu.

Penghakiman itu juga akan merungkai isu perlembagaan sama ada ketua negeri boleh membuat pertimbangan dengan mengatasi undang-undang sedia ada, dalam menentukan sama ada ketua kerajaan telah hilang kepercayaan daripada majoriti wakil-wakil yang dipilih.

Selain Alauddin, panel hakim berkenaan dianggotai Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria dan Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin, Datuk Wira Ghazali Mohd Yusoff dan Datuk Abdull Hamid Embong.

Ini merupakan rayuan peringkat terakhir bagi Mohammad Nizar dalam cubaannya mendapatkan semula jawatan Menteri Besar Perak. Bagaimanapun, pihak yang kalah dalam sesuatu kes mahkamah, boleh memohon Mahkamah Persekutuan menyemak semula penghakimannya mengikut Peraturan 137 Peraturan-peraturan Mahkamah Persekutuan bagi mencabarnya berdasarkan hujah daripada sudut perlembagaan.

Panel hakim itu telah menangguhkan penghakimannya pada 5 Nov tahun lepas setelah selesai mendengar hujah para peguam yang mewakili Dr Zambry dan Mohammad Nizar dalam kes berkenaan.

Konflik tentang siapakah yang sebenarnya berhak menjadi Menteri Besar Perak, timbul tahun lepas apabila tiga wakil rakyat daripada pakatan DAP-PKR-PAS meninggalkan parti masing-masing untuk menjadi wakil Bebas dan menyebabkan kedua-dua pihak mempunyai jumlah kerusi yang sama iaitu 28, dalam Dewan Undangan Negeri Perak yang mempunyai 59 kerusi.

Mereka ialah Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering), yang meninggalkan PKR pada 30 Jan dan mengisytiharkan diri sebagai anggota Bebas yang menyokong BN. Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Jelapang Hee Yit Foong daripada DAP mengikut jejak mereka empat hari kemudian.

Berikutan perkembangan itu, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah menitahkan Mohammad Nizar, iaitu anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Pasir Panjang, supaya melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar dan menitahkan Dr Zambry mengangkat sumpah menduduki kerusi itu pada Februari tahun lepas setelah mengisytiharkan bahawa BN mempunyai majoriti dalam dewan undangan negeri itu.

Pada 13 Feb tahun lepas, Mohammad Nizar, 52, mengambil tindakan undang-undang bagi mendapatkan perisytiharan bahawa beliau adalah Menteri Besar Perak yang sah dan memohon perintah mahkamah bagi menghalang Dr Zambry daripada menunaikan tugas sebagai Menteri Besar.

Pada Mei tahun lepas, dalam keputusannya, Mahkamah Tinggi mengembalikan kedudukan Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah, sebelum Mahkamah Rayuan mengubah keputusan itu dan mengisytiharkan bahawa pelantikan Dr Zambry sebagai Menteri Besar Perak adalah mengikut perlembagaan.


-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan