KELANTAN negeri yang diperintah oleh PAS selama 20 tahun, kini mencipta rekod menjejakkan kaki ke Perlawanan Akhir Piala Malaysia setelah menewaskan Perlis malam tadi. Manakala, Negeri Sembilan yang terkenal dengan negeri `keUmnoannya' turut melangkah ke Perlawanan Akhir setelah berjaya menewaskan Terengganu pada malam yang sama. Tahniah kepada Kelantan dan Negeri Sembilan.
Sepanjang perlawanan yang telah diadakan di Stadium Sultan Mohamed Ke IV Kota Bharu, suasana kibaran bendera hijau bulatan putih dan merah dapat dilihat. Sukan sewajarnya tidak boleh dikaitkan dengan politik tetapi pada waktu ini amat sukar untuk menyekat penyokong-penyokong bola sepak Kelantan khususnya yang juga terdiri dari penyokong tegar PAS untuk mengibarkan bendera negeri dan juga bendera parti. Anehnya, tiada berlaku kekecohan di dalam stadium angkara bendera yang dikibarkan tetapi yang berlaku kekecohan adalah kerana suasana hangat perlawanan sahaja. Mungkin di negeri Serambi Mekah itu sudah sinonim dengan hijau bulatan putih. MB Kelantan juga tidak senang dengan kibaran bendera parti di dalam acara sukan tetapi beliau lebih bimbang dengan keganasan penyokong seperti melontar botol mahu pun mercun ke dalam padang kerana ia lebih merbahaya dari kibaran sehelai kain berwarna hijau.
Perlawanan Akhir Piala Malaysia menyaksikan perlawanan di antara negeri Tuan Guru Nik Aziz bertemu dengan Dato' Mohamad Hassan. Di arena politik, negeri di bawah PAS ini masih tidak hilang ingatan mereka peristiwa di Bagan Pinang sewaktu PRK Dun Bagan Pinang baru-baru ini. Adakah peristiwa keganasan terhadap penyokong PAS di Bagan Pinang akan mempengaruhi penyokong PAS ketika kedua-dua negeri ini bertemu di arena sukan pula? Mudah-mudahannya tidak berlaku sesuatu yang buruk nanti, tetapi saya ingin menyeru mana-mana peminat bola sepak yang menyokong kepimpinan Tuan Guru Nik Aziz agar hadir memakai jersey penyokong Kelantan.
Penyokong-penyokong yang berada di Wilayah Persekutuan dan Selangor terutamanya, ayuh ke stadium untuk bersama dengan pasukan Tuan Guru Nik Aziz. Tunjukkan disiplin kita semua walaupun kita merasakan wajar untuk membawa bersama bendera hijau bulatan putih. Alangkah indahnya stadium nanti jika dipenuhi dengan warna kehijauan di samping kain pemidang terpamir wajah MB Kelantan yang amat disayangi itu. Ayuh....lakukan rancangan ini mulai sekarang. Bersedialah untuk gegarkan Stadium Bukit Jalil, meriahkan dengan kibaran bendera negeri Serambi Mekah ini./Mandor.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan