Sekat Anwar jadi PM, Khairy tak matang - Shamsul Iskandar |
Ikrar yang dilaungkan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin untuk menyekat kemaraan Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri (PM) menunjukkan pemimpin pelapis Umno itu tidak matang.
Sebagai pemimpin pelapis yang akan menentukan kesejahteraan negara, Khairy sewajarnya memikirkan agenda yang lebih penting seperti membanteras rasuah, dan membebaskan institusi kehakiman.
"Namun, nampaknya Pemuda Umno hari ini hanya mementingkan soal kebimbangan mereka terhadap survival Umno, tanpa memikirkan usaha atau agenda untuk merubah kepincangan yang dilakukan Umno selama memerintah negara," selar Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK), Shamsul Iskandar Mat Akin, kepada Harakah.
Tegas beliau, Pemuda Umno seharusnya berdiri di atas agenda yang lebih besar dan penting, berbanding isu menyekat Anwar menjadi PM kerana soal memilih pemimpin ini akan kembali kepada sistem demokrasi.
Jelas Shamsul, sekiranya rakyat memilih Pakatan Rakyat sebagai parti memerintah pada pilihan raya umum ke-13 akan datang, soal ikrar Pemuda Umno untuk menyekat kemaraan Anwar tidak relevan lagi.
Justeru, kata beliau apa yang dilakukan Pemuda Umno, khususnya Khairy adalah strategi beliau untuk popular dan mencari publisiti.
Malah, katanya AMK berterima kasih kepada Pemuda Umno kerana menjadikan Anwar sebagai satu ikon atau tokoh yang relevan sehinggakan sentiasa 'takut' dengan bayang-bayang Anwar.
"Setiap kali perhimpunan Umno, nama Anwar akan disebut-sebut di bibir pemimpin Umno. Mereka bimbang dengan ketokohan Anwar sebenarnya. Sindrom Anwarisme menular di kalangan mereka hingga menyebabkan mereka lupa agenda yang lebih besar yang perlu dilakukan untuk kepentingan negara," tegas beliau./Detikdaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan