JOM MASUK AHLI

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

DENGARKAN KOBAT FM ONLINE

Rabu, 6 Oktober 2010

PRK DUN GALAS - MENGUNDI 04 NOV, PENAMAAN CALON 26 OKT


Okt 6, 10
Tarikh pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, di Gua Musang, Kelantan ditetapkan pada 4 November ini.

Manakala tarikh penamaan calon ditetapkan pada 26 Oktober, kata Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

Keputusan itu dibuat selepas SPR bermesyuarat pagi ini, katanya dalam satu sidang akhbar di Putrajaya.

Pilihan raya kecil itu akan menggunakan Daftar Pemilih Induk (DPI) 2009 yang digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama dan Suku Tahun Kedua 2010 yang telah dikemaskini sehingga 27 September lalu.

Menurut Wan Ahmad, seramai 11,553 pengundi yang melibat 11,426 pengundi biasa dan 127 pengundi pos, layak memilih ADUN Galas.

"Pengundi di Galas ini, yang berumur 21 tahun pun ada, yang lebih 100 tahun pun ada, yang paling tua berumur 111 tahun," katanya.

SPR juga, katanya, telah menamakan Ketua Jajahan Gua Musang, Wan Mustaffa Wan Abdul Halim sebagai pegawai pengurus pilihan raya yang akan dibantu oleh tiga penolong pengurus.

Penamaan calon yang dijadualkan pada 26 Oktober ini, akan diadakan di Bilik Gerakan dan pejabat Tanah Jajahan Gua Musang manakala Pusat Sivik Gua Musang akan dijadikan pusat penjumlahan undi pada malam 4 November.

Sebanyak 11 sekolah, sebuah balai dan dewan akan digunakan sebagai tempat mengundi yang membabit 25 saluran.

Wan Ahmad juga berkata 323 petugas telah dilantik oleh SPR bagi melicinkan perjalanan pilihan raya itu.

Beliau berkata kira-kira RM1.3 juta diperuntukkan bagi menjalankan pilihan raya kecil itu berikutan kawasannya luas dan melibatkan empat pusat mengundi yang perlu menggunakan perkhidmatan helikopter.

Kerusi DUN Galas kosong selepas kematian penyandangnya, Chek Hashim Sulaima, 48, akibat barah usus pada 27 September lalu.

Dalam Pilihan raya umum 2008, Chek Hashim mendapat 4,399 undi, menewaskan penyandang dari BN, Mohd Saufi Deraman (3,753 undi) dengan majoriti 646 undi.

Galas terletak dalam kawasan Parlimen Gua Musang bersama DUN Nenggiri dan DUN Paloh.

Wan Ahmad berkata SPR menjangkakan lebih 81 peratus pengundi akan keluar mengundi dalam pilihan raya kecil itu, iaitu peratusan dalam pilihan raya umum lalu berikutan tumpuan kini terarah pada kawasan berkenaan.

Katanya, bagi tujuan memantau semua aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR bersetuju untuk menubuhkan tiga Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang diketuai oleh seorang pegawai penguatkuasa bagi setiap pasukan.

Beliau turut meminta parti-parti politik, calon, petugas, penyokong parti serta individu lain yang terlibat supaya mematuhi undang-undang dan peraturan pilihan raya serta tatasusila berkempen yang ditetapkan./Malaysiakini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan