JOM MASUK AHLI

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

DENGARKAN KOBAT FM ONLINE

Ahad, 13 Jun 2010

ISU PASIR - JAWAPAN BUAT KHIR TOYO

Isu pasir: K'jaan S'gor jawab Khir Toyo
Jun 13, 10


Kerajaan negeri Selangor menjelaskan bahawa ganjaran RM5,000 yang diberikan kepada pemimpin masyarakat dan kakitangan kerajaan yang berjaya membantu kerajaan negeri membanteras jenayah curi pasir adalah untuk melengkapi usaha penguatkuasaan pejabat daerah.

Oleh itu tidak timbul persoalan ketidakpercayaan kepada pejabat daerah yang mempunyai peranan utama dalam membanteras rasuah, kata setiausaha politik menteri besar Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Menurutnya, ini kerana ganjaran ini adalah untuk menggalakkan jawatankuasa keselamatan dan kemajuan kampung (JKKK), ketua kampung membantu pejabat daerah dalam menangani kecurian pasir di tempat mereka.

"Sepertimana yang dimaklumkan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, tawaran ganjaran ini dibuat untuk memberi peluang kepada pemimpin masyarakat mengambil bahagian dalam menaikkan kutipan hasil perlombongan pasir," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Saya tidak faham bagaimana ketua pembangkang Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo boleh membuat tafsiran bahawa ganjaran adalah kerana kerajaan negeri mengambil sikap “lepas tangan' dalam membanteras curi pasir serta tiada kepercayaan kepada pejabat daerah.

"Kritikan-kritikan beliau menunjukkan ketua pembangkang ini tidak memahami proses pentadbiran perlombongan pasir – baik yang dahulu atau yang baru diperkenalkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat selepas Mac 2008.

"Mungkin sebab itu beliau telah memberi maklumat yang salah dengan mendakwa bahawa pada 2007 beliau telah berjaya mengutip RM20.5 juta dari royalti pasir sedangkan laporan rasmi oleh Pejabat Tanah dan Galian mengesahkan hanya RM2.9 juta dikutip pada tahun itu," katanya.

Di samping itu, Nik Nazmi menegaskan bahawa Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) iaitu syarikat milik penuh Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), tiada kuasa mengeluarkan lesen.

Sebaliknya, kata beliau, lesen dikeluarkan oleh Pejabat Tanah kepada KSSB yang kemudiannya membuat tender terbuka bagi memilih kontraktor kerja melombong mengikut lesen yang dikeluarkan.

"KSSB juga memantau untuk memastikan syarikat membuat pengisytiharan yang betul dan membayar royalti kepada kerajaan negeri," katanya sambil menambah, yang jelas, kutipan royalti jauh lebih tinggi daripada kutipan melalui cara lama.

"Sebenarnya kerajaan terdahululah yang telah “lepas tangan” dalam pengurusan dan pentadbiran perlombongan pasir sehinggakan banyak syarikat atau kontraktor yang tidak membuat pengisytiharan yang benar (under-declare) sehingga mengakibatkan negeri ini kehilangan royalty bernilai ratusan ribu ringgit," kata Nik Nazmi.

Menurunya, kerajaan terdahulu juga tidak pernah membuat apa-apa usaha dalam untuk membanteras jenayah curi pasir sehinggalah keadaan menjadi teruk pada masa kini.

"Dr Khir Toyo tidak pernah memanfaatkan potensi industri pasir di Selangor. Adalah tidak masuk akal apabila beliau tiba-tiba memperjuangkan isu ini sedangkan sebelum ini beliau tidak pernah melakukan apa-apa untuk meningkatkan sistem ketika beliau mentadbir Selangor.

"Kerajaan negeri komited untuk membanteras jenayah curi pasir dan berharap rakyat terus memberi sokongan kerana royalti pasir dipulangkan semula kepada rakyat menerusi program Merakyatkan Ekonomi Selangor," tegas Nik Nazmi./Malaysiakini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terdapat ralat dalam alat ini