JOM MASUK AHLI

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

DENGARKAN KOBAT FM ONLINE

Isnin, 31 Mei 2010

MB SELANGOR - TAN SRI KHALID IBRAHIM MESTI KEKAL TAPI WAJIB BERUBAH

Sunday, May 30, 2010

Oleh: WFAUZDIN NS

MENGAPA kita harus memikirkan Tan Sri Khalid Ibrahim MB Selangor sekarang perlu disingkirkan? Tidak dapat dinafikan desas desus yang menyatakan bahawa ada usaha untuk menggugurkan Tan Sri Khalid sebagai MB Selangor dan isu ini nampaknya seolah-olah menggambarkan Tan Sri Khalid telah gagal menjalankan tugasnya selaku MB Selangor di bawah PR. Benarkah beliau gagal?

Saya secara peribadi tidak menyokong sebarang usaha untuk menggugurkan Tan Sri Khalid selaku MB Selangor selagi beliau tidak melakukan sebarang kesalahan besar atau penyelewengan. Faktanya, beliau kini berjaya mentadbir Selangor dengan baik dan efisyen serta lebih penting lagi berusaha untuk melaksanakan ketelusan di dalam pentadbirannya. Jika ingin dibandingkan dengan MB negeri-negeri di bawah kuasa Bn/Umno, jauh bumi dari langit walaupun Tan Sri Khalid baru mencapai lebih kurang 2 tahun pentadbirannya. Berbagai usaha telah beliau lakukan sejajar dengan dasar merakyatkan Selangor. Tetapi, jangan kita taksub dengan beliau kerana masih ada beberapa kelemahan Tan Sri Khalid sepanjang pentadbirannya.

Saya bersetuju dengan beberapa pandangan ahli-ahli dan para penyokong PKR terutamanya yang ingin melihat Tan Sri Khalid tidak `meletakkan jawatan' beliau selaku ahli politik setelah beliau menduduki kerusi empuk MB. Beliau sebelum ini terkenal sebagai ahli koperat sebelum dibawa ke gelanggang politik dan kemudiannya agak lama juga berjuang sebagai pemimpin politik. Hasil perjuangannya di dalam politik lah maka beliau berpeluang menduduki kerusi MB Selangor kerana rakyat inginkan beliau menunaikan janjinya sebagai ahli politik. Politik bukan kotor jika kita tahu bermain politik yang bersih.

Pemimpin politik umpama panglima perang juga di dalam medan perjuangan. Panglima Perang dan juga askar laskar bukan sahaja tahu menggunakan senjata tetapi mesti tahu dan arif di dalam strategi peperangan. Panglima Perang yang bijak adalah yang arif tentang tipu muslihat musuh dan bagaimana untuk menghadapinya. Begitulah juga dengan pemimpin politik. Tan Sri Khalid kini umpama Panglima Perang di dalam PR di Selangor dan bertuahnya kita telah kenal musuh kita iaitu Umno. Tan Sri Khalid tidak boleh bermegah hanya dengan kepandaiannya `bermain senjata' tetapi alpa tentang strategi musuh. Di sinilah saya melihat kekurangan yang ada pada Tan Sri Khalid.

Sukar untuk kita nafikan sememangnya ada beberapa kroni Umno yang dahulunya makan hasil dari suapan Khir Toyo, kini masih menganga untuk disuap pula oleh Tan Sri Khalid. Saya bukan bermaksud Tan Sri Khalid wajib hanya memberi makan di kalangan kita sahaja, tetapi sekurang-kurangnya peluang boleh diberikan kepada muka-muka baru ini untuk merasai nikmat rezeki di bawah pemerintahan PR yang mereka bersusah payah menyokongnya sebelum ini. Jika di waktu zaman Bn/Umno samada di zaman Muhammad Taib atau Khir Toyo, mereka-mereka ini umpama `pengutip sisa' di jalanan dan tidak diberi peluang kerana di waktu itu amalan kronisma amat menebal, amat tidak masuk akal sekiranya ketika kita memerintah mereka ini masih menjadi `pengutip sisa' di jalanan lagi?

Jika pengalaman dijadikan faktor Tan Sri Khalid untuk terus memilih orang yang sama, maka sampai kiamatlah golongan mereka yang terpinggir di zaman Bn/Umno memerintah dulu tidak akan merasai kesan dan nikmat rezeki di bawah parti yang mereka sendiri perjuangkan kerana sampai bila mereka akan mendapat pengalaman sekiranya tidak diberi peluang? Seandainya mereka diberi peluang dan ternyata mereka gagal atau semata-mata ingin kaya cepat tanpa usaha, kita tidak akan membantah sekiranya Kerajaan Selangor tidak lagi memberi peluang kepadanya.

Sekarang ini bukan sedikit rungutan yang kita dengar bukan tentang keupayaan atau ketelusan Tan Sri Khalid sebagai MB, tetapi kerana sikapnya yang tidak bijak atau mempunyai kepintaran sebagai pemimpin politik. Beliau dikatakan mentadbir Kerajaan Negeri seperti mentadbir sebuah syarikat gergasi yang pernah beliau warisi dahulu. Mentadbir sebuah syarikat terlalu jauh bezanya dengan mentadbir sebuah negeri, apatah lagi sebuah negeri yang besar dan kaya seperti Selangor ini. Terlalu banyak musuh yang mengintai untuk merampas kuasa dan mereka ini mempunyai strategi yang mungkin Tan Sri Khalid tidak sedari. Mungkin mereka sudah ada yang meletakkan askar laskar mereka di dalam bangunan pejabat MB atau juga di mana-mana anak syarikat dan Majlis Perbandaran atau di mana jua dengan tujuan untuk meruntuhkan Kerajaan PR Selangor.

Tindakan segera mestilah dibuat dari sekarang. Tan Sri Khalid tidak perlu turun dari kerusi MB Selangor kerana beliau telah berjaya menunjukkan prestasi yang baik setakat ini. Tan Sri Khalid hanya perlu bertindak sebagai pemimpin politik atau sebagai Panglima Perang yang masih lagi di medan peperangan. Lakukan lah yang terbaik dan penuh kebijaksanaan asalkan tidak lari dari prinsip keadilan dan ketelusan. Semoga Selangor terus maju dan rakyatnya diberkati, InsyaAllah./wfauzdin.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan