JOM MASUK AHLI

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

DENGARKAN KOBAT FM ONLINE

Isnin, 17 Mei 2010

PRK SIBU - UNDI POS TIDAK MAMPU SELAMATKAN BN

SIBU 16 MEI: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia sebentar tadi mengumumkan calon Pakatan Rakyat, Wong Ho Leng, berjaya memenangi Pilihan raya Kecil P212 Sibu dengan majoriti 398 undi.

Beliau memungut 18,845 undi mengalahkan calon Barisan Nasional, Robert Lau Hoi Chew yang mendapat 18,447 undi.

Calon Bebas, Narawi Haron cuma mendapat 232 undi.

Keputusan ini diumumkan oleh Pegawai Pilihan raya, Wong See Meng sebentar tadi.

Kemenangan Wong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak bagi kerusi Bukit Assek sekaligus menebus kekalahan Pakatan Rakyat pada Pilihanraya Kecil Hulu Selangor 25 April lalu.

Tidak seperti di Hulu Selangor, di mana media melaporkan dengan agak terperinci setiap pergerakan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional apabila keputusan hampir diumumkan, sehingga jam 8.45 malam tadi, tiada seorangpun pemimpin utama Barisan Nasional yang kelihatan tiba di Dewan Sivik Sibu.

Kejayaan Wong yang juga Pengerusi DAP Sarawak menandakan angin perubahan mula bertiup di Sarawak menjelang pilihanraya negeri yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

Bagaimanapun sebelum itu keadaan di pusat pengiraan di Dewan Sivik Sibu kecoh apabila Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sehingga jam 9 malam masih belum mahu membuat pengumuman walaupun jumlah semua peti undi sudah siap dikira.

Ketika itu tiada alasan diberikan oleh SPR meskipun pemimpin Pakatan Rakyat mendesak supaya badan itu berbuat demikian.

Beberapa pemimpin DAP, termasuk Penasihat parti itu, Lim Kit Siang pergi ke pejabat SPR di Wisma Sanyan untuk mendapatkan penjelasan.

Sementara itu pemimpin DAP lain seperti Ronnie Liu berhadapan dengan pegawai-pegawai pilihan raya di Dewan Sivik menuntut pengumuman keputusan dibuat segera.

Bagaimanapun SPR dikatakan meminta polis mengarahkan semua pemimpin Pakatan Rakyat yang berada dalam Dewan Sivik beredar keluar.

Maklumat yang diperolehi dari dalam dewan membayangkan calon DAP, Wong Ho Leng, mendahului dengan majoriti lebih 2,600 undi sebelum dimasukkan kiraan undi pos.

Adalah difahamkan terdapat perbalahan berhubung undi pos.

Keputusan pilihanraya kecil ini agak lewat dari jadual diumumkan kerana difahamkan DAP membuat bantahan terhadap jumlah pengundi pos.

Seramai 1,910 anggota tentera dan 627 anggota polis telah membuang undi secara pos pada hari Khamis dan Jumaat lepas.

Bagaimanapun Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke yang berada di Pusat Undi Pos Sibu siang tadi membuat kenyataan membantah ketelusan proses undi Pos itu .

Beliau mendakwa jumlah pemilih yang mengundi melalui pos telah melebihi bilangan pengundi pos yang berdaftar untuk P212 Sibu.

SPR sebelum ini mengumumkan tidak sampai 60 % daripada 52,158 pengundi dalam pilihanraya kecil P212 Sibu keluar mengundi hari ini.

Pada kira-kira jam 10.40 malam undi pos dilaporkan dibawa masuk ke dalam dewan.

Pada 10.44 malam, calon Pakatan Rakyat, Wong Ho Leng tiba di dalam dewan.

Calon BN, Robert Lau tidak kelihatan./TVSelangor

Tiada ulasan:

Catat Ulasan