JOM MASUK AHLI

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

DENGARKAN KOBAT FM ONLINE

Sabtu, 15 Mei 2010

SATU KERUSI PARLIMEN DARI PKR BAKAL HILANG?

Gobala didenda RM3k, hadapi risiko hilang MP
Mei 14, 10


Ahli parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan hari ini didapati bersalah kerana menghalang tugas polis dalam satu kejadian yang berlaku lebih lapan tahun lalu pada Januari, 2002.

Beliau kini menghadapi risiko hilang kelayakan sebagai wakil rakyat apabila didenda RM3,000 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Pulau Pinang.

Gobalakrishnan didapati bersalah mengikut Seksyen 186, Kanun Keseksaan terhadap pertuduhan menghalang anggota polis sebagai penjawat awam menjalankan tugas pada tahun 2002.

Majistret Ainol Bashirrah Dona Don Biyajid menjatuhkan hukuman itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan wujud kes prima facie terhadap Gobalakrishnan.

Gobalakrishnan dituduh dengan sengaja menghalang C/Insp. V. Saravanan daripada menjalankan tugasnya di Jalan Utama di Georgetown kira-kira jam 12.20 tengah malam, 29 Januari 2002.

Ketika dihubungi, pemimpin PKR itu berkata beliau cuba membayar dendanya tetapi kaunter bayaran telah ditutup pada jam 12.15 petang tadi untuk solat Jumaat.

"Saya mungkin terpaksa menghabiskan masa di lokap," katanya kepada Malaysiakini.

Gobalakrishnan, yang juga ahli majlis tertinggi PKR berkata beliau akan membuat rayuan.

Pada kejadian itu, beliau ditahan selepas mempersoalkan tindakan polis menghalang 30 penyokong Keadilan (sekarang PKR) daripada menari ketika sambutan Thaipusam di Geogetown.

Beliau yang dihubungi petang tadi berkata ditahan di lokap mahkamah sehingga jam 2.45 petang berikutan kaunter pembayaran ditutup kerana solat Jumaat.

Mengikut Artikel 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, mana-mana Ahli Parlimen yang didapati bersalah oleh mahkamah dan dipenjara melebihi setahun atau denda melebihi RM2,000, boleh dilucutkan jawatannya.

Mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, jawatan seseorang sebagai Ahli Parlimen akan terlucut sekiranya mahkamah menolak rayuannya dan mengekalkan hukuman itu.

Beliau bagaimanapun, dibenarkan membuat rayuan terhadap keputusan berkenaan.

Sementara itu, Gobalakrishnan ketika ditemui pemberita selepas membayar denda, berkata beliau akan membuat rayuan terhadap keputusan itu dalam masa terdekat.

Beliau turut menegaskan masih lagi wakil rakyat dan tidak akan menyerahkan kerusi Parlimen Padang Serai yang dimenanginya pada pilihan raya umum 2008.

"Saya tidak akan letakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen sehingalah semua proses perundangan selesai," katanya./Malaysiakini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan