JOM MASUK AHLI

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

DENGARKAN KOBAT FM ONLINE

Jumaat, 22 Januari 2010

KHALID SOKONG ISMAIL KAMUS, HARON DIN

Jais, Mais perlu dirombak: Khalid

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad meminta supaya kepimpinan yang menerajui Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dirombak semula agar ia selari dengan perubahan pentadbiran yang berlaku di negeri ini.

Menurut Khalid, pentadbiran agensi itu perlu ditukar dengan mereka yang berpengetahuan agama serta bebas dari kefahaman politik selain politik Islam.

“Saya berkeyakinan bahawa masanya telah tiba untuk ulama-ulama yang selama ini dipinggirkan oleh pentadbiran lama (UMNO) atas sebab kepentingan politik mereka, diberi peluang dan kedudukan yang sewajarnya di dalam institusi keagamaan di Selangor.

“Kita kena ingat keadaan sudah berubah dan rakyat hendak lihat perubahan itu. Sepatutnya Jais, Mais perlu juga berubah dan perlu ditukar selari dengan perubahan pentadbiran di Selangor,” katanya ketika sidang media di pejabatnya di sini semalam.

Katanya, ramai ulama yang berpengalaman seperti Daeng Sanusi Daeng Mariok, Datuk Ismail Kamus dan Datuk Haron Din, boleh diberi peluang untuk menerajui pentadbiran baru.

“Hanya orang-orang yang mempunyai pengetahuan agama (ulama) kerana apabila timbul isu-isu seperti ini (kalimah Allah), mereka mampu beri jawapan yang sebaiknya,” katanya.

Khalid yang juga Yang Dipertua Pas Shah Alam juga turut meminta pihak berkenaan supaya Enakmen Agama Bukan Islam 1998 itu dikaji semula dan menyifatkannya (enakmen) sudah ketinggalan zaman.

“Bagi pandangan saya, ya (ketinggalan zaman). Ia (enakmen) merupakan undang-undang pentadbiran keagamaan dan bukanlah hukum yang bersifat ‘Qatii’ yang tidak boleh berubah.

“Ia bercanggah dengan dakwah Islam dan tiada sebab enakmen-enakmen tersebut tidak boleh dikaji semula dan diubahsuai,” katanya.

Bagaimanapun katanya, ia haruslah dibuka kepada perbincangan terlebih dahulu sebelum diambil sebarang tindakan selanjutnya.

Sementara itu, beliau turut menafikan bahawa beliau tidak menghormati Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan mengheret institusi di bawah naungan baginda ke kancah politik.

“Saya ingin menafikan tuduhan tersebut, dengan sekeras-kerasnya. Pada hakikatnya ucapan saya bertujuan untuk menghalang golongan yang berkepentingan daripada menggunakan institusi di bawah naungan DYMM Sultan Selangor untuk tujuan politik mereka.

“Peringatan dan teguran saya bertujuan untuk menghalang nama baik baginda Sultan dari tercemar atas perbuatan yang tidak bertanggungjawab ini.

“Malah, usaha untuk mengheret institusi di bawah naungan Sultan Selangor, dilakukan oleh golongan ini, bukan saya,” katanya.

Khalid berkata demikian ketika mengulas laporan polis yang dibuat terhadapnya pada 18 Januari lalu oleh 16 NGO di Shah Alam yang menuduhnya tidak menghormati Sultan Selangor sebagai pemerintah dan sultan di negeri./Sinar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan