JOM MASUK AHLI

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

DENGARKAN KOBAT FM ONLINE

Ahad, 3 Januari 2010

Najib bukan punca - Tun Mahathir


KUALA TERENGGANU - Bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad menganggap krisis dalaman yang melanda komponen parti kerajaan sebagai tidak pernah berlaku dalam sejarah Pengerusi Barisan Nasional (BN) sebelum kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bagaimanapun, beliau tidak menyalahkan Najib dan mengatakan ia bukan berpunca daripada kepimpinan Perdana Menteri sekarang.

Sebaliknya, beliau mengakui ia berpunca daripada peninggalan atau warisan daripada Pengerusi BN sebelumnya.

“Saya dapati seluruh BN hadapi masalah termasuk UMNO, MCA, Gerakan, PPP dan MIC. Ini adalah hasil bukan kerana Datuk Seri Najib, ini ‘warisan’,” katanya kepada pemberita ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, BN hanya mempunyai masa dua tahun dari sekarang untuk memperbetulkan pelbagai perkara bagi memperkukuhkan kedudukan politik parti kerajaan di negara ini.

Ditanya pandangan beliau berhubung penyelesaiannya, Tun Mahathir menyerahkan sepenuhnya kepada Najib dengan cara beliau sendiri bagi memastikan BN tetap menang pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata, kemelut politik turut berlaku pada zaman Tun Abdul Razak Hussein yang juga bapa kepada Najib, namun dapat diselesaikan dengan menyatukan parti kerajaan dan pembangkang dalam BN.

“Tahun 1970 yang mana Tun Razak telah menguasai keadaan dengan membuka perikatan menjadi BN. Dengan itu diserap masuk parti lain, itu cara Tun Razak, jadi saya fikir tidak tahulah cara anak dia, Datuk Seri Najib, terpulang pada dialah,” katanya.

Mengenai konsep 1Malaysia, Tun Mahathir mengakui belum memahami sepenuhnya pendekatan yang dibawa Najib dan hakikat tersebut dilihat tidak seiring dengan apa yang berlaku dalam negara ketika ini apabila Malaysia dilihat menggunakan tiga bahasa pengantar ilmu dalam sistem pendidikan.

Menurutnya, keadaan itu perlu direalisasikan melalui cara tertentu yang mampu menyatukan semua kaum di Malaysia bagi menjadikan rakyat negara ini benar-benar bersatu dengan 1Malaysia.

“Kita hanya laung, tetapi benarkah 1Malaysia? Kalau benar, kita adalah orang Malaysia. Tiadalah Melayu, Cina, India, Melanau dan Iban (semuanya) belajar dalam satu bahasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada salah seorang peserta dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sempena Konvensyen Mahasiswa Melayu 2010 (Konmam:) anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), di sini, semalam.

Pada majlis itu, Tun Mahathir membentangkan kertas kerja bertajuk Mahasiswa Melayu Cabaran dan Masa Depan.

Turut hadir isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Naib Canselor UMT, Profesor Dr Aziz Deraman.

Mengulas lanjut, Tun Mahathir memberitahu, sebelum ini beliau pernah mencadangkan diwujudkan Sekolah Wawasan bagi menggabungkan sekolah kebangsaan, Cina dan India dalam satu kampus.

Katanya, sekolah berkenaan tidak sesekali bertujuan menggugurkan bahasa pengantar ketiga-tiga bahasa tersebut namun katanya, matlamat utama adalah penyatuan dalam kalangan pelajar berbilang kaum.

“Hanya ada satu sahaja dewan untuk perhimpunan dengan itu dapat bergaul dengan semua kaum tetapi ditolak oleh satu pihak (kerana) tidak mahu bercampur dengan kaum lain. Ia tidak menggugurkan bahasa, apa salahnya,” katanya.

Mengenai Penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan mingguan Herald-The Catholic Weekly pula, Dr Mahathir berkata, ia perlu dikenakan syarat ketat bagi mengelakkan kemarahan umat Islam di negara ini.

Beliau mengakui, penggunaan kalimah tersebut begitu sensitif terutama di Semenanjung Malaysia walaupun diakui sebelum ini digunakan di Sabah dan Sarawak.

“Ini akan menimbulkan kemarahan lagi. Kalau pun nak guna perkataan Allah, perlu gunakan syarat yang ketat. Kalau di Sabah dan Sarawak, saya fikir tidak boleh hilang. Di Semenanjung ini, kita tidak pernah dengar perkataan ini walaupun di Indonesia dan di Mesir (guna) tetapi bukan di Malaysia,” katanya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tiga hari lalu membenarkan Herald-The Catholic Weekly menggunakan perkataan Allah dalam penerbitannya atas alasan ia mempunyai hak dalam Perlembagaan./Sinar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan