Mereka hadir Ceramah Perdana Tawan Melaka PRU-13, ‘Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia’ di Pejabat Pas Kawasan dan Unit Peti Undi Bukit Katil dan walaupun ia berlangsung di markas PAS, ceramah itu menarik khalayak pelbagai kaum.
Pengerusi Majlis Pimpinan Melaka merangkap Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Shamsul Iskandar Mat Akin memulakan ceramah dengan memohon maaf kerana hadirin terpaksa bersusah payah untuk hadir ke ceramah.
Shamsul kemudian meningkatkan ‘suhu’ ucapan dengan menyegarkan ingatan hadirin kepada penganiayaan terhadap Anwar. “16 Mei ini, Datuk Seri (Anwar) tak perlu dipanggil bela diri sebab sepanjang perbicaraan tiada bukti Anwar terhadap pertuduhan yang dikenakan,” katanya.
Beliau sempat berjenaka dengan berpesan kepada hadirin agar ‘memasang’ niat betul apabila menonton atau membaca media kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) supaya mudah terpengaruh dengan putar belit mereka. “Kalau baca Utusan atau tengok TV3, kena pasang niat. ‘Sahaja aku tengok TV3 atau baca Utusan tak mahu percaya apa yang dilapor,” katanya dengan disambut gelak tawa.
Ahli Parlimen Hulu Langat, Abdullah Sani kemudian mengambil tempat untuk berceramah tetapi ucapannya kerap diganggu sekumpulan kira-kira 20 penyokong Umno yang berteriak ‘Hidup Saiful’ dan ‘Anwar b*b*’ dari seberang jalan.
Sebaik sahaja Anwar mengambil tempat untuk berceramah, beliau menempelak penyokong Umno itu. “Bayar RM50, tolong jerit pada ceramah. Jangan jadi hamba orang rasuah. Kerja tidak ada. Pendidikan, tidak ada. Yang ada RM50, upah jerit. Dalam Quran, disebut ‘keldai’,” katanya disambut sorakan gemuruh.
Anwar turut menempelak Puteri Umno yang pernah menyamakan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat dengan pemimpin ajaran sesat, Ayah Pin. “Orang begini jahil, angkuh, bodoh. Paling saya menyampah dengan orang macam ini,” kata Anwar. Berucap lebih lanjut, Anwar berkata, walaupun berhadapan dengan pelbagai dugaan, beliau bersyukur ke mana-mana beliau pergi, sokongan tetap diberi. “Hari-hari dicerca, mana-mana saya pergi sokongan tetap ada. Maknanya, bukan semua rakyat bodoh,” katanya.
Dalam ucapan, Anwar juga menjelaskan, isu jam Omega tidak diteruskan polis dan Umno kerana jam yang diserahkan Eskay kepada polis sebenarnya ‘dibeli’ beliau pada 2004, sewaktu masih dalam penjara. Beliau juga sempat berkongsi pengalamannya dipujuk Ahli Lembaga Pengarah Bank Baraqa untuk tinggal di luar negara sewaktu berkunjung ke Bahrain baru-baru ini. “Tak payah duduk di situlah (Malaysia), kami tengok (dugaan yang dihadapi Anwar) kami pun tak tahan,” cerita Anwar yang tetap mahu meneruskan perjuangan demi rakyat Malaysia. “Rakyat tidak cerca saya, yang cerca saya pemimpin Umno,” kata Anwar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan