JOM MASUK AHLI

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

DENGARKAN KOBAT FM ONLINE

Khamis, 27 Mei 2010

P. BATU PUTEH DIMILIKI SINGAPURA DIKATAKAN MENANG-MENANG, KALI INI PUN `MENANG-MENANG' JUGA?

Oleh: Puad Ibrahim

SELEPAS hampir 20 tahun dipertikaikan, Singapura dan Malaysia akhirnya mencapai kata sepakat bersejarah untuk menghuraikan isu-isu tertunggak dalam Butiran Perjanjian (POA) melibatkan tanah Kereta api Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Dalam satu pertemuan retreat antara Perdana Menteri, Lee Hsien Loong, dengan rakan sejawatannya dari Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, kededua pihak bersetuju antara lain memindahkan stesen KTMB di Tanjong Pagar ke Pusat Pemeriksaan Kereta api Woodlands (WTCP) menjelang 1 Julai tahun depan.

Singapura dan Malaysia juga bersetuju membangunkan secara bersama tiga bidang tanah di Tanjong Pagar, Kranji dan Woodlands serta tiga lagi di Bukit Timah milik KTMB.

Singapura pula akan menawarkan kepada Malaysia tanah-tanah yang dibangunkan itu ditukar ganti kemudian berdasarkan nilai tanah yang sama dengan tanah-tanah di Marina South dan/atau Ophir-Rochor.

Dalam hal ini, Lee akan melawat Kuala Lumpur dalam masa sebulan ini untuk menyarankan pertukaran tersebut bagi pertimbangan Malaysia.

Dalam sidang media bersama selepas retreat itu di Hotel Shangri-La semalam, Lee menyifatkan pertemuannya dengan Datuk Seri Najib sebagai satu pertemuan membuahkan hasil.

'Saya dan Najib (Datuk Seri) mengadakan perbincangan dan perjanjian yang membuahkan hasil pagi ini (semalam). Kami membincangkan pelbagai bidang.

'Fokus kami ialah untuk meningkatkan hubungan dua hala pada masa kita menghadapi banyak cabaran dalam dunia yang tidak menenentu dan sedang melalui proses globalisasi pesat,' kata Lee.

Datuk Seri Najib pula berkata persetujuan yang dicapai merupakan satu detik bersejarah kerana isu-isu tertunggak POA selama 20 tahun seharusnya dapat dihuraikan.

'Hari ini adalah hari bersejarah kerana kita dapat melihat cahaya di hujung jalan berhubung isu-isu tertunggak berlarutan selama hampir 20 tahun,' katanya.

POA ditandatangani pada 1990 antara Perdana Menteri Singapura ketika itu, Lee Kuan Yew, dengan Menteri Kewangan Malaysia, Tun Daim Zainuddin.

Dalam POA itu, KTMB perlu memindahkan stesennya di Tanjong Pagar ke Bukit Timah dan selepas pemindahan itu tanah di Tanjong Pagar boleh dibangun secara bersama tetapi pelaksanaan perjanjian itu dipertikaikan kededua pihak.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas retreat itu, kededua pemimpin bersetuju menyerahkan pembangunan bersama tanah-tanah KTMB itu kepada sebuah syarikat M-S Pte Ltd bagi melaksanakan pembangunan bersama.

Syarikat yang akan dibentuk secepat mungkin tetapi tidak selewat-lewatnya pada 31 Disember 2010 itu akan dimiliki oleh Khazanah Nasional Berhad dengan 60 peratus taruhan dan Temasek Holdings Limited 40 peratus taruhan.

Penyerahan tanah-tanah itu kepada M-S Pte Ltd pula akan berkuatkuasa pada masa ketika KTMB meninggalkan Stesen Kereta api Tanjong Pagar (TPRS).

Malaysia juga akan meletakkan pusat pemeriksaan Imigresen dan Kuarantin (CIQ) kereta apinya di WTCP, dengan Singapura membantu memudahkan pemindahan itu dan memastikan khidmat bas antara Stesen KTMB di WTCP dengan stesen MRT berdekatan disediakan untuk keselesaan penumpang.

Dalam kenyataan itu, kededua pemimpin juga bersetuju untuk menugaskan sebuah pasukan pelaksana bersama, diketuai Setiausaha Agung Kementerian Ehwal Luar Malaysia dan Setiausaha Tetap Kementerian Ehwal Luar Singapura, membincangkan butiran pelaksanaannya.

Ini termasuk penubuhan rangka kerja bagi mentadbir M-S Pte Ltd, melaksanakan sistem perhubungan gerak cepat antara Johor Bahru dengan Singapura dan menempatkan secara bersama CIQ di WTCP.

Pasukan pelaksana itu akan menyelesaikan kerja-kerja mereka menjelang 31 Disember ini dan hasil yang dicapai akan ditandatangani selepas diluluskan kededua pemerintah.

Sementara itu Terminal Penumpang Stesen Kereta api Tanjong Pagar juga akan dikekalkan memandangkan ia mempunyai ciri-ciri sejarah penting, bahkan bakal menjadi pusat utama bagi pembangunan yang disarankan itu. Bangunan lama Stesen Kereta api Bukit Timah di Blackmore Drive juga boleh dikekalkan.

Ditanya tentang nilai tanah-tanah yang akar ditukar ganti itu, Lee berkata:

'Ia adalah bidang-bidang tanah amat bernilai yang telah kami bangunkan, dan sebab itu POA, seperti yang dahulu, dan lebih-lebih sekarang ia telah dikemaskini, merupakan saranan yang saling menguntungkan kededua negara.'


PERJANJIAN YANG DICAPAI

  • Stesen KTMB di Tanjong Pagar akan dipindahkan ke WTCP menjelang 1 Julai 2011.
  • Tiga bidang tanah di Tanjong Pagar, Kranji dan Woodlands serta tiga lagi di Bukit Timah dibangunkan bersama.
  • Syarikat M-S Pte Ltd dibentuk bagi membangunkan tanah-tanah itu.
  • Penyerahan tanah-tanah itu kepada M-S Pte Ltd berkuatkuasa apabila KTMB meninggalkan Stesen Kereta api Tanjong Pagar.
  • Sistem kereta api gerak cepat antara Tanjung Puteri (JB) dengan Singapura akan dibangunkan bersama.
  • Bangunan Terminal Penumpang Stesen Kereta api Tanjong Pagar akan dikekalkan dan dipulihara
  • Syarikat usaha sama Khazanah Nasional Berhad dan Temasek Holdings Limited dibentuk bagi menjalankan projek pembangunan ikonik di Iskandar
  • Loji air di Johor akan diserahkan kepada Johor selepas Perjanjian Air tamat tempohnya tahun depan.
  • Bayaran tol di laluan Linkedua akan dikurangkan.
  • Khidmat bas rentas sempadan di pertingkat manakala peraturan khidmat teksi dilonggarkan.

  • Najib dan Lee Hsien Loong `Menang-Menang'?

    Sumber: KLPost

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan