Apa pun terjadi, AMK pertegas perkasakan parti |
Hazayani Zakaria |
PETALING JAYA, 26 Nov: Meski apa pun yang terjadi, Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini mempertegaskan komitmen untuk terus memperkasakan Parti Keadilan Rakyat. “Kita adalah barisan hadapan yang sejak sekian lama bersedia dan akan terus bersedia menghadapi apa sahaja serangan yang dilancarkan terhadap parti ini. Insya Alah kita tidak akan gentar, kita tidak akan goyah,” tegas ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin semasa menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional Tahunan Angkatan Muda Keadilan Malaysia Ketujuh, di sini, hari ini. Katanya, jika aduan dan teguran dibuat demi memperbaiki kelemahan yang wujud dalam sistem yang digunakan parti, beliau menggesa diambil tindakan segera. Menurutnya, sistem yang digunakan adalah ciptaan manusia yang sudah tentu tidak sempurna kerana pelaksananya juga manusia. Beliau menambah, pengalaman akan menjadikan ahli lebih cekap dalam melaksanakannya sementara teguran dan saranan akan membantu memperbaikinya. “Tetapi kita tidak akan sekali-kali kompromi dengan tindakan menyerang dan menghina parti, menggunakan media musuh untuk membuat pelbagai fitnah dan tohmahan tanpa sebarang bukti yang kukuh,” tegasnya. Baginya, mereka itu menjadi perkakas Barisan Nasional menyerang untuk melemahkan parti. Tegasnya lagi, Angkatan Muda Keadilan tidak akan bertolak ansur dengan sikap begitu. “Kita percaya kepada misi perjuangan parti ini. Kita mempunyai keyakinan penuh terhadap nilai-nilai yang mendasari perjuangan ini. Kita komited untuk menjayakan matlamat-matlamat perjuangan parti,” katanya. Untuk itu, beliau dengan rendah hati mengajak semua anggota untuk merapatkan saf perjuangan, seperti kata pepatah Melayu air dicincang tak akan putus di samping mengamalkan pesan lama biduk lalu kiambang bertaut. Menurutnya, meski mempunyai pandangan dan pendekatan yang berbeza, ahli parti harus insaf bahawa paksi perjuangan adalah sama. Kerana itu, ujarnya semua anggota harus bekerjasama dan bekerja bersama demi menjayakan cita-cita besar perjuangan parti. “Sebagai keluarga marilah kita manfaatkan kongres ini untuk saling bermaafan dan meletakkan segala pengalaman berkempen untuk pemilihan ini sebagai azimat yang mendewasakan kita dalam perjuangan politik,” katanya lagi. Beliau berharap kongres dimanfaatkan sebagai latihan memantapkan jentera dan kemahiran anggota menghadapi pilihan raya./Harakahdaily |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan