JOM MASUK AHLI

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

DENGARKAN KOBAT FM ONLINE

Ahad, 28 November 2010

PESANAN TERBUKA BUAT AMK

Oleh: WFAUZDIN NS

SEDIH juga apabila mendengar khabar bahawa dewan di mana berlangsungnya Kongres PKR agak lengang ketika mana Ketua AMK menyampaikan ucapan. Diberitakan hanya 200 perwakilan, dan ada yang kata 400 perwakilan sahaja yang berada di dalam dewan tersebut.

Ramai di antara kita faham mengapa situasi ini berlaku. Mungkin ada yang merajuk, berkecil hati, marah atau sebagai tanda protes kepada keputusan yang diumumkan bagi jawatan Ketua AMK. Mengapa demikian? Tidak perlu diulas lagi kerana sebelum ini di merata-rata blog telah menceritakan segalanya.

Saya cuma ingin mengulas samada AMK masih lagi dianggap barisan hadapan di dalam PKR. Jika dilihat suasana semalam, sukar untuk mencari jawapannya. Saya tidak tahu samada situasi ini terjadi diwaktu Ketua AMK berucap sahaja, mungkin pada ketika persidangan atau perbahasan nanti situasi bakal berubah. Sekiranya keadaan sedemikian berterusan sehingga tamatnya kongres nanti, maka berjayalah musuh parti untuk melihat AMK menjadi lemah dan lesu, lebih teruk lagi AMK bakal berpecah belah.

Jangan salahkan yang berbaju biru laut, tidak juga boleh disalahkan kepada yang `berbaju hitam' sepanjang kongres ini. Mereka semua adalah ahli parti, tetapi ada yang kurang sayang pada parti dan ada yang terlebih sayangkan parti. Ada golongan yang semenjak awal lagi mahu melihat parti ini menjadi parti yang bermaruah, telus dan adil. Terdapat juga golongan yang tidak berbuat apa-apa cuma menanti apa yang parti boleh berikan pada dirinya. Tetapi, mereka semua ahli parti.

Golongan yang mendapat tempat di dalam parti selepas pemilihan ini tidak boleh mendabik dada dengan apa yang mereka perolehi kerana kenyataannya boleh dilihat dari suasana sepi di dalam dewan. Adakah di dalam keadaan sedemikian, kita boleh meraikan kemenangan yang dicapai dengan rasa megah? Bagi satu pihak yang tidak bernasib baik pula, mereka juga tidak boleh mendakwa mereka `menang' dengan `menghukum' parti dengan tindakan seolah-olah memulaukan program parti.

Pemenang dan yang tewas, kedua-duanya tidak menang di dalam ertikata sebenar. Di dalam keadaan sedemikian, pemenangnya adalah musuh parti. Mereka sebenarnya tidak peduli siapakah Ketua AMK. Apa yang mereka mahu lihat adalah AMK tidak lagi seutuh dulu. AMK sudah tidak boleh berganding tangan dan bahu untuk melawan mereka. AMK sudah tewas di dalam gelanggangnya sendiri, bukan berdepan dengan Umno/Bn, tetapi tewas sesama mereka. Itu yang musuh parti mahu lihat.

Saya mengharapkan agar `kemenangan' yang diperolehi oleh musuh parti ini tidak lama dan kekal. AMK harus membuktikan bahawa musuh parti di luar sana silap jika ingin melihat AMK berpecah-belah. Pada waktu inilah jika kita ingin melihat mana-mana pemimpin atau ahli yang sanggup menjadi `lilin' untuk menerangi parti yang jauh lebih penting dari individu.

Setelah kita berusaha, kita patuhi arahan parti, kita kritik dan tegur parti, maka kita sudah dianggap berjaya sebenarnya sebagai seorang pejuang. Selebihnya, kita serah pada Allah yang maha kuasa. Tentulah ganjaran dari Allah lebih hebat dari apa yang sepatutnya kira terima di dunia ini. Selamat Berjuang Wahai AMK./wfauzdin.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan