12 March 2010
Penulis Tamu - Mohd Sayuti Omar(MSO)
MALAM tadi bertempat di Pusat Khidmat Rakyat Adun Bukit Antarabangsa dan Ahli Parlimen Gombak Mohd Azmin Ali di Taman Melawati Ulu Klang telah berlangsung majlis penerangan isu-isu semasa berkaitan serangan geruda ke atas parti itu dan penasihat Anwar Ibrahim. Majlis itu dikhasnya kepada PKR cabang Gombak. Lebih 200 yang hadir. Penerangan disampaikan Azmin sendiri, Adun Batu Cave, Amiruddin Shari dan Saifuddin Nasution.
Sebelum majlis itu bermula sekumpulan anak muda Selangor mengadakan upacara simbolik secara spontan membakar akhbar Utusan Malaysia.
Saya tidak mengikut acara berkenaan dan tidak pun melihat akhbar itu dibakar. Asap pembakaran itu tidak pun masuk ke lubang hidung saya. Saya terus masuk mengambil tempat di dalam Dewan. Saya lebih berminat untuk mendengar penjelasan berkaitan isu semasa khasnya serangan geruda ke atas Anwar.
Pada saya Utusan Malaysia bukan untuk dibakar tetapi dibaca tetapi tidak dipercayai apa yang dilaporkan. Akhbar itu tidak perlu bakar kerana edarannya setiap hari merudum. Menurut maklumat dalaman terbaru akhbar itu kini sudah jatuh dibawah 100,000 naskah sehari. Khabarnya sudah jadi 75,000 saja. Ini bermakna 'pembakaran' ke atas Utusan sudah berjalan dengannya ekoran pemberitaannya yang tempang dan mengada-nga.
Sementara menanti majlis bermula saya sempat berbicara dengan Azmin beberapa topik terkini dan juga perihal Keadilan Gombak yang kononnya hendak berombak tetapi tidak jadi. Azmin menjelaskan mengenai ada beberapa ranting yang kurang senang dan membuat tuduhan tidak adil kepadanya.
Antaranya ialah mengenai ketidakhadiran beliau pada majlis hari raya Aidifitri dan khatan beramai-ramai anjuran tujuh ranting dalam DUN Gombak Setia baru-baru ini. Ketiadaan beliau di situ menyebabkan timbul berbagai tanggapan kononnya beliau tidak pedulikan ranting berkenaan. Sebenarnya apa yang berlaku katanya jemputan begitu semput sedang beliau terpaksa menghadiri majlis lain yang agak besar dari itu. Tetapi beliau menghantar wakil menurutnya.
Manakala untuk majlis khatan beliau sudah jelaskan, beliau baru pulang dari mengerjakan haji dimana beliau perlu berihat. "Itu saja sebabnya, lain tidak ada," katanya. Azmin menjelaskan itu apabila dalam blog ini saya ada menukilkan kisah berkenaan. Tetapi katanya itu tidak menjadi masalah, ia perkara biasa dalam parti.
"Dan malam ini saya menjemput semua kepimpinan cabang Gombak untuk mendengar perkembangan semasa. Soal perselisihan kecil itu kita lupakan dan kita sama-sama menumpukan fokus kita kepada masalah parti lebih besar terutamanya perbicaraan Anwar Ibrahim ini, inilah penting... tak elok bermasam muka sewaktu bos kita bermasalah", katanya.
Selain daripada Azmin memberi penjelasan, turut sama ialah Amiruddin Shari yang juga Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan. Boleh tahan juga anak muda ini. Saya melihat dia mempunyai potensi untuk meningkat lebih jauh dan menjadi salah seorang barisan pemimpin PKR di masa depan. Air mukanya jernih menandakan dia seorang yang ikhlas dan tekad dalam perjuangan. Apa lagi malam tadi dia berkopiah nampak semacam seiras dengan anak muda Pas keluaran pondok.
Majlis malam tadi sungguh bermakna dan penting. Apa yang menarik dijelaskan Azmin ialah para aktor yang lompat parti. Menurutnya parti tidak gundah dan akan hancur dengan tindakan mereka. Malahan katanya ia lebih selamat buat parti. Justeru, ahli tidak perlu gusar mengenainya. Tiga atau empat orang keluar, tetapi ribuan yang menyertai PKR. "Biarlah mereka pergi ia tidak akan menyusahkan kita lagi!"
Mengenai perkembangan perbicaraan ke liwat Anwar ada perkembangan baru yang cukup menyakinkan bahawa tuduhan itu bohong. Salah satu ialah mengenai laporan perubatan dari tiga orang pakar dari Hospital Kuala Lumpur, mereka ialah Dr Khairulnizam Hassan, Dr Mohd Razali Ibrahim dan Dr Siw Sheue Feng. Ketiga pakar itu mengesahkan si pembacuh kopi tidak diliwat. Sepatutnya AG tidak membawa kes mahkamah.
Mengenai penangguhan perbicaran seperti mana yang digembar gembur, Azmin menjelas yang tangguh bukan Anwar tetapi mahkamah. Misalnya sewaktu pihak peguam Anwar bersedia untuk menyoal balas si pembacuh kopi, tiba-tiba mahkamah menangguh ke tarikh lain, 23 Mac. Jadi dalam soal ini katanya siapa yang "meliwat" kes, bukan Anwar tetapi mahkamah. "Mungkin ada yang sesuatu yang membimbangkanlah maka perbicaraan itu terpaksa ditangguhkan," jelas Azmin.
Saifuddin tidak banyak memberi penjelasan mengenai isu sekitar perbicaraan tetapi menumpukan kepada gerak kerja mengukuh dan menambah keahlian parti. Beliau yang turut berada di sisi Anwar sewaktu disoalsiat polis pagi semalam menceritakan bagaimana polis serba salah untuk mengambil kenyataan daripada Anwar.
Katanya berkali-kali polis memohon kemaafan setiap kali menanya soal dan memberi tahu mereka terpaksa mengambil keterangan disebabkan ada laporan. Kenyataan itu berhubung tiga perkara, iaitu mengenai ucapan Anwar yang menyebut kes Altantuya, kes kapal selam yang tidak boleh menyelam (scorpene) dan isu kehilangan enjin jet penggempur.
Menurut Saifuddin ternyata pegawai polis, tiga dari Pulau Pinang dan selebihnya dari KL itu serba salah. Tetapi mereka tidak boleh buat apa kerana menjalankan tugas yang diarahkan saja. Katanya, kedatangan polis itu tidak memberi apa-apa kesan kepada PKR dan ianya adalah perkara biasa.
Selain gerak kerja menambah ahli katanya pihaknya juga sedang menyusun program mendaftar pemilih baru. Program bersepadu dengan kerjasama dan gabungan dengan Pas dan DAP akan dilakukan. Pendaftaran ahli katanya penting. Terdapat lebih 4 juta ahli yang belum berdaftar. Mereka ini adalah pengundi muda yang terbuka dan berpotensi untuk menerima politik baru yang diacuankan oleh Pakatan Rakyat.
Sehubungan dengan itu beliau menggesak seluruh Cabang Keadilan bersiap sedia untuk melaksanakan program ini kerana kalah menang nanti ia sangat bergantung kepada seramai mana kita berjaya mendaftarkan mereka sebagai pemilih./Kedahlanie
Tiada ulasan:
Catat Ulasan