JOM MASUK AHLI

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

DENGARKAN KOBAT FM ONLINE

Selasa, 9 Mac 2010

YB ZUL BOLEH BERKATA APA JUA, PKR TETAP BERI KEADILAN TERHADAPNYA

Saifuddin : Zulkifli Masih Boleh Kemuka Rayuan

PASIR PUTEH, 9 Mac — Ahli Parlimen Kulim–Bandar Baharu, Zulkifli Noordin yang dipecat dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabtu lalu masih boleh mengubah fikirannya dan mengemukakan rayuan agar hukuman ke atas beliau dikaji semula.

Zulkifli yang dipecat dan diarah mengosongkan kerusinya sudah menyatakan pendirian tidak mahu merayu, sebaliknya akan bertindak sebagai Ahli Parlimen Bebas.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail (gambar) berkata walaupun Zulkifli telah membuat kenyataan tidak akan mengemukakan rayuan, namun tempoh selama 14 hari itu berjalan mengikut peruntukan perlembagaan.

“Bagi saya, tempoh 14 hari itu masih berjalan. Sekiranya Zul (Zulkifli) mengubah pendirian maka pilihan yang ada lagi ialah mengemukakan rayuan.

“Tetapi kalau tidak juga, maknanya dengan sendiri Zul mengesah atau memuktamadkan bahawa beliau tidak ada lagi hubungan dengan Keadilan,” kata beliau sewaktu ditemui selepas merasmikan majlis Mesyuarat Agung PAS Pasir Puteh di sini lewat malam tadi.

Zulkifli sekali lagi mengesahkan pendiriannya lewat semalam dengan turut menggesa Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail agar melepaskan jawatannya dan melawan beliau di kawasannya dalam pilihan raya umum ke-13.

Saifuddin berkata surat berhubung keputusan PKR Sabtu lalu akan dihantar kepada Zulkifli selewat-lewatnya hari ini.

“Sepatutnya surat itu sudah pun diserahkan hari ini (Isnin), namun tak sempat,” katanya.

Dalam pada itu, ketika memberikan reaksi Zulkifli yang bersedia untuk menimbang segala bentuk tawaran parti politik kepadanya selepas dipecat dari PKR berkata, Ahli Parlimen itu bebas menentukan pilihannya.

“Zul bebas menentukan pilihan sendiri. Sama ada untuk kekal sebagai Ahli Parlimen Bebas atau menyertai mana-mana parti politik yang dianggap sesuai dengan prinsipnya,” jelasnya.

Difahamkan setakat ini Umno dan Parti Progresif Rakyat (PPP) mempelawa Zulkifli menggunakan platform parti masing-masing.

Ketua Umno bahagian Kulim–Bandar Baharu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir mempelawa Zulkifli menyertai Umno sebagai platform untuk terus berkhidmat kepada rakyat.

Naib Presiden PPP, Datuk Nik Sapeia Nik Yusuf yang menyifatkan mereka terbabit sebagai “hero” sudah sampai masanya menyertai parti berkenaan untuk sama-sama berganding meneruskan agenda kepentingan tiga kaum terbesar di negara ini.

Mengulas lanjut gejala keluar parti yang mengancam kestabilan PKR sejak kebelakangan ini, Saifuddin percaya ia tersirat dengan satu hikmah di sebaliknya.

Bagaimanapun Saifuddin tidak menyatakan maksud hikmah tersebut, namun sebaliknya dengan nada yang sinis beliau cuma berkata “ruang untuk memperkayakan diri dalam Pakatan sebenarnya tidak ada.”

“Dan, Pakatan bukan platform untuk membina kekayaan,” katanya.

Malah secara peribadi beliau tidak pernah percaya selain alasan agama, faktor Pakatan yang tidak membela kepentingan Melayu menyebabkan beberapa Ahli Parlimen terbabit bertindak keluar parti sebagai alasan yang diada-adakan.

Sebelum Zulkifli dipecat, Ahli Parlimen Bayan Baru, Nibong Tebal dan Bagan Serai juga telah keluar PKR dan menjadi wakil rakyat Bebas.

“Saya seorang yang sangat ragui kalau itu alasan yang mereka kemukakan, barangkali kerana saya mengenali watak-watak ini dengan lebih dekat semasa bersama dalam Pakatan,” katanya bersama ukiran senyum yang sinis.

Sementara itu semasa menyentuh kenyataan Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bersedia melepaskan jawatannya sebagai Ketua Pembangkang kepada DAP yang mendominasikan jumlah kerusi di Parlimen, dengan tegas beliau berkata, “itu menggambarkan bahawa Datuk Seri Anwar sebenarnya bukanlah seorang yang kemaruk atau gilakan kuasa.”

Pun begitu Saifuddin tidak menafikan amalan tradisi seseorang Ketua Pembangkang dipilih berdasarkan majoriti kerusi parti pembangkang.

Ketika ditanya perkembangan terkini berhubung perkara berkaitan beliau difahamkan setakat ini Pakatan yang terdiri dari PAS, PKR dan DAP masih setia untuk menyokong dan mengekalkan Anwar sebagai Ketua Pembangkang.

“Walau apa pun, apa-apa hal yang berbangkit, sama da perkara ini akan diteruskan atau tidak, Pakatan Rakyat mempunyai platform mesyuarat mingguan yang bersedia untuk bincangkan perkara itu,” ujarnya.-MalaysianInsider

Tiada ulasan:

Catat Ulasan