Anggota polis yang berpakaian biasa itu, tanpa menunjukkan kad kuasanya dan juga waran tangkap, menayangkan senjata apinya yang terselit di pinggang sewaktu Mohd Syahruldeen Ahmad Rosli ditangkap di rumah sewanya di Kampung Kerinchi, 25 Jun lalu.
Mohd Syahruldeen yang dituduh bersama rakannya Mohd Izzuddin Hilmi Mohamad Zaini akan dibicarakan 7 Disember depan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Beberapa kumpulan mahasiswa akan membuat aduan berhubung perkara itu kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) jam 10 pagi esok.
Presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI), Hilman Idham memberitahu Malaysiakini, kedua-dua tertuduh kes tersebut dijangka turut serta membuat laporan.
"Tidak sepatutnya berlaku perkara tersebut, polis ada etika dan cara untuk menjalankan soal siasat," katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd Izzuddin Hilmi dan Mohd Syahruldeen dituduh mengikut Seksyan 427, 436 dan 447 Kanun Keseksaan berhubung insiden awal pagi 24 Jun lalu, beberapa jam sebelum isteri perdana menteri Rosmah Mansor hadir untuk satu program di dewan berkenaan.
Mereka didakwa cuba melakukan perbuatan khianat di pintu dewan kuliah utama Akademi Pengajian Islam (API).
Kedua-duanya pelajar tahun dua jurusan syariah API Univerisiti Malaya.
Menurut Hilman lagi, selain aduan berhubung kes tersebut, kumpulan mahasiswa tersebut turut membuat aduan berhubung penahanan tujuh mahasiswa, termasuk dua wanitam pada Jumaat lalu.
Mereka ditahan berhubung perhimpunan untuk menyerahkan memorandum kepada kedutaan Thailand bagi membantah keganasan terhadap rakyat Islam Thailand di selatan negara itu.
Selain itu, tambah Hilman, aduan itu juga berkaitan penahanan dua aktivis Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (Dema) yang didakwa menceroboh Universiti Malaya, 12 Julai lalu.
Kedua-dua pelajar tersebut – setiausaha Dema, Ong Jing Cheng dan penyelaras pelajar Dema Yap Heng Lung – ditahan di kampus kira-kira jam 9 malam.
Mereka ditahan reman selama dua hari.
Selain KAMI dan Dema, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) akan hadir di pejabat Suhakam di Jalan Raja Laut./Malaysiakini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan