JOM MASUK AHLI

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

DENGARKAN KOBAT FM ONLINE

Rabu, 15 Julai 2009

UMNO SELAMAT DITALKINKAN DI MANEK URAI

Alfatihah....
Oleh: Mandor.blogspot.com

ALFATIHAH. Maka, secara sahnya Umno berjaya juga ditalkinkan di Manek Urai walaupun mengalami `kecederaan ringan' hasil pertarungan dengan Pas, namun sudah cukup untuk membuatkan Umno bersemadi di kawasan majoriti Melayu Islam itu. Kecederaan parah atau tidak tidak lagi penting, yang penting Umno berjaya ditamatkan riwayatnya sepertimana yang dijanjikan oleh Pas dan PR di Manek Urai. Maka, lengkaplah jaringan kemenangan 6 - 0 buat Pas memalukan Umno di Semenanjung termasuk di Penanti yang mana Umno langsung tidak `berketik' untuk melawan. Kemenangan dengan hanya majoriti 65 undi sudah cukup untuk Pas mencacakkan batu nisan Umno di Manek Urai.

Kemenangan Pas di Manek Urai lebih bergaya kerana ramai yang terfikir mana mungkin Pas boleh mempertahankan kerusi Dun Manek Urai kerana hampir 100 % pengundi di sana adalah Melayu yang Umno dakwa semakin menyokong parti tersebut. Bertambah lagi Pas sebenarnya bukan sahaja berdepan dengan Umno tetapi turut berdepan dengan jentera kerajaan. Saban hari siang dan malam media kerajaan digunakan berkempen untuk Umno dan memburukkan Pas di Kelantan sehinggakan RTM terpaksa mengadakan satu siri atau slot khas tentang Pakatan Rakyat yang dikatakan semakin retak itu. Akhir sekali, Umno terpaksa memainkan air liur mereka untuk berjanji bermacam janji kepada penduduk-penduduk di Manek Urai sehinggakan terpaksa menyogok sebuah jambatan bernilai 7 ke 10 juta jika Umno menang. Itulah yang dihadapi oleh Pas dan PR di Manek Urai.

Dari segi lojik mustahil Pas boleh menewaskan Umno dengan keadaan sedemikian, apatah lagi Umno mengemukakan calon mereka yang bertaraf profesional dan bijak pandai itu. Manakala Pas mengambil risiko dengan menampilkan calon rakyat biasa yang hanya berpengalaman di dalam perniagaan sebagai Peraih Ikan. Maka, pada awal kempen Umno di Manek Urai calon Pas ini telah diperlekehkan. Tidak cukup dengan itu, sehinggakan MB Kelantan juga turut diperlekehkan oleh mereka serta dibantu juga oleh raja katak dari Pasir Mas yang tidak mengenang budi itu. Tidak lupa kita bagaimana Shahrizat Jalil memperlekehkan Kelantan dengan menyatakan Kelantan adalah negeri termiskin di negara ini sedangkan semua mengetahui bahawa Kelantan bukan berada di tangga pertama, kedua atau ketiga termiskin.

Atas semua tekanan ini, Pas masih mampu bertahan dengan mengharapkan bantuan dari Allah SWT di samping mengharapkan sokongan rakyat yang masih mempunyai harga diri dan maruah mereka untuk menyokong Pas di dalam pilihanraya kecil ini. Ternyata usaha Pas berbaloi kerana majoriti rakyat di Manek Urai tidak `lapar' kepada bayang-bayang `jambatan emas' tersebut. Jika Pas menang walau hanya kelebihan 1 undi sekali pun sudah cukup untuk membuat Umno derita sepanjang hayat. Umno sudah tidak mampu hidup tanpa talian hayat mereka iaitu `3 M' (Material, Machinery, Media). Tetapi di Manek Urai kali ini, talian hayat mereka hanya sekadar cukup untuk meringankan luka yang dialaminya daripada cedera yang lebih parah. Apabila ajal sudah sampai, ianya tidak kira samada luka itu parah atau ringan.

Esok, pastinya media mereka akan heboh memperkatakan Umno sudah semakin kuat kerana berjaya mengurangkan majoriti Pas di Manek Urai. Ibarat orang bertinju di dalam gelanggang, jika dahulu Umno tumbang di pusingan pertama, kali ini Umno hanya tumbang di pusingan kedua setelah dibantu dengan senjata-senjata dari luar yang dibenarkan pula oleh pengadil perlawanan untuk dibawa masuk ke gelanggang. Itukah yang dikatakan Umno semakin kuat? Jika Umno yakin sememangnya parti tersebut sudah betul-betul hebat dan kuat, ayuh, bubarkan Dun Perak pula selepas ini. Adakah Umno berani berbuat demikian? Jawapannya, kirim salam kalau Umno berani.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan