JOM MASUK AHLI

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

DENGARKAN KOBAT FM ONLINE

Khamis, 6 Januari 2011

Gobind: Kecederaan Pada leher Teoh Beng Hock Perlu Penjelasan

05/01/2011


SHAH ALAM 5 DIS: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapat tamparan hebat hari ini apabila Koroner Mahkamah Shah Alam, Azmil Muntapha Abas mengesahkan terdapat kecederaan di bahagian leher mendiang Teoh Beng Hock ketika beliau ditemui mati 16 Julai 2009.

Justeru peguam Gobind Singh Deo mendesak SPRM menjelaskan kepada negara bagaimana seorang saksi kes rasuah mati ketika dalam tahanan SPRM dua tahun lalu. "Pada saya ini adalah keputusan yang positif untuk kita kerana ia membuktikan teori kami bahawa memang Teoh Beng Hock ketika di SPRM tercedera di bahagian leher. Sehingga sekarang pihak SPRM menafikan bahawa sebarang kekerasan digunakan. "Saya tidak tunjuk jari kepada sesiapa, tapi saya rasa keputusan ini meletakkan beban kepada SPRM untuk jawab, bagaimana boleh dikatakan seorang yang masuk dalam SPRM tanpa sebarang kecederaan, tidak keluar dari SPRM dan jatuh tetapi ada kecederaan di bahagian leher," ujar beliau kepada media.

Mahkamah Shah Alam petang tadi mengumumkan keputusan “terbuka” mengenai punca kematian Teoh Beng Hock justeru menolak teori bahawa beliau dibunuh atau membunuh diri. Menurutnya lagi, punca utama kematian dikenalpasti dengan terdapat kecederaan serius pada leher mangsa akibat jatuh dari tempat tinggi dan masa kematian adalah di antara 7.15 pagi hingga 11.15 pagi di tingkat 5, Plaza Masalam, Shah Alam.

Gobind yang juga Ahli Parlimen Puchong ketika ditemui media di perkarangan mahkamah menyifatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak melaksanakan tugas dengan rapi berhubung kes tersebut sehingga memaksa mahkamah menentukan kecederaan yang ditemui pada Teo sebelum beliau ditemui mati. Beliau turut menyalahkan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail yang memperlekeh sistem keadilan di negara ini dengan tahap siasatan kurang memuaskan sehingga mahkamah tidak dapat mencari pihak yang harus dipertanggungjawabkan atas kematian pembantu Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah itu.

"Saya mahu minta Peguam Negara jawab, adakah kamu selesa dengan tahap siasatan dalam kes ini di mana semua pegawai mengatakan tidak tahu tidak tahu, tiada siasatan, tiada arahan, tidak tahu dan tidak tahu. Adakah ini jenis sistem keadilan yang kita ada sekarang dan adakah kita terima sistem sebegini. "Satu tahun kita lawan tapi hari ini tiada keputusan. Cuba bayangkan bagaimana perasaan keluarga. Walhal apa yang berlaku mahkamah menerima memang ada kecederaan tapi tidak ada bukti yang mencukupi untuk menunjukkan bagaimana kecederaan itu berlaku," kata Gobind.

Menurutnya, beliau dan pihak pendakwaraya akan membuat permohonan supaya kes kematian misteri Teoh Beng Hock dibawa ke mahkamah tinggi untuk disemak semula. Sementara itu, keluarga Teoh yang tidak boleh menerima keputusan itu menuntut agar ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kemungkinan yang membawa kepada kematian Teoh termasuk dakwaan dia dipaksa terjun dari tempat tinggi. Inkues yang dijadualkan selesai dalam masa sebulan berlarutan sehingga 4 November lalu, di mana koroner mendengar keterangan daripada 37 saksi termasuk 12 pakar.

Sementara itu, keluarga Beng Hock yang tidak boleh menerima keputusan itu menuntut agar ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kemungkinan yang membawa kepada kematian Teoh termasuk dakwaan dia dipaksa terjun dari tempat tinggi. Inkues yang dijadualkan selesai dalam masa sebulan, akhirnya berlarutan sehingga lebih setahun./TVNews

Tiada ulasan:

Catat Ulasan